fbpx

Fasa Kedua Agihan Tabung Sinar4Rohingya

Fasa Kedua Agihan Tabung Sinar4Rohingya

Fasa Kedua Agihan Tabung Sinar4Rohingya

BANGLADESH, 1 Dis 2017 — Usaha murni rakyat Malaysia untuk membantu pelarian Rohingya yang terus dicengkam derita di kem-kem pelarian di Cox’s Bazar diteruskan lagi melalui misi penghantaran bantuan kemanusiaan kecemasan di bawah projek Sinar4Rohingya.

HALUAN yang mewakili Sekretariat Sinar4Rohingya telah menghantar dua wakil sukarelawannya untuk menyempurnakan amanah rakyat Malaysia tersebut dengan menyampaikan bantuan daripada peruntukan tabung Sinar4Rohingya berupa agihan set hygiene kits kepada pelarian yang memerlukannya. Mereka akan berada di sana selama enam hari mulai 30 November hingga 6 Disember ini.

Menurut ketua unit Rohingya Biro Misi Kemanusiaan HALUAN yang mengetuai misi ini, pemergian kali ini merupakan projek fasa kedua agihan kesinambungan kepada fasa 1 yang selesai pada Oktober 2017.

Fokus agihan adalah kepada pelarian yang baru tiba khasnya yang berada dan mendiami kawasan sekitar perkampungan Asean yang kini di beri nama ‘Village for Hope’ di kem Balukhali.

HALUAN difahamkan masih ada ratusan pelarian yang hidup tanpa keperluan asas seperti khemah, bekalan air bersih, peralatan memasak dan pakaian yang sempurna. Keadaan mereka akan bertambah buruk kerana musim sejuk sudahpun bermula di mana suhu waktu malam mungkin menjunam ke sekitar 8 darjah Celsius sekiranya hujan.

Justeru mereka sangat memerlukan khemah berlindung yang baik dan selimut tebal untuk mengelak daripada kesejukan melampau. Pihak kami juga akan membantu NGO lain yang bergabung di bawah projek Sinar4Rohingya untuk mengagihkan selimut kepada pelarian di samping tambahan pembinaan shelter (khemah), pembinaan telaga tiub dan agihan makanan.

Pihak HALUAN mewakili Sekretariat Sinar4Rohingya merakamkan ucapan terima kasih kepada para penderma yang ikhlas membantu mangsa penindasan Rohingya melalui projek kebajikan Sinar4Rohingya ini.

HALUAN komited membantu pelarian Rohingya dan akan terus berperanan memberi kesedaran dan mengajak masyarakat serta mengumpul dana bagi membantu mereka kerana penderitaan yang mereka tanggung sangat menyedihkan dan tidak dapat dipastikan bila kesudahannya.

Bagi anda yang prihatin, silalah menderma seikhlas hati untuk kami membawa sumbangan anda kepada mereka di kem-kem pelarian di sana.

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Islamic Berhad

Sila emel resit bayaran ke unit.kewangan@haluan.org.my dengan tajuk “Sinar4Rohingya”.


Disediakan oleh Abd Bashir Abd Ghani, Ketua Unit Rohingya, Biro Misi Kemanusiaan HALUAN.