fbpx

Ekstival KUIS 15 Beri Perhatian Kepada Permasalahan Palestin

Ekstival KUIS 15 Beri Perhatian Kepada Permasalahan Palestin

Ekstival KUIS 15 Beri Perhatian Kepada Permasalahan Palestin

KAJANG, 6 Julai 2012 -– Sambutan Konvokesyen Ke-15 Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) atau Ekstival KUIS 15 telah diserikan dengan program Ruhul Jadid Dhuha yang menampilkan pelbagai acara dan ceramah khas berkaitan Palestin dan Masjid Al-Aqsa.

HALUAN Malaysia melalui Biro HALUAN Palestin telah bekerjasama menjayakan proram ini di mana Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan, telah menyampaikan ceramah dan berkongsi pengalaman di Masjid Al-Azhar KUIS di sini. Dalam ceramah beliau di hadapan lebih 350 pelajar KUIS, Dr Syed Muhammad Haleem mengungkap kepentingan solat Dhuha dengan memetik kata-kata AlMarhum Sayyid Qutb bahawa solat Dhuha adalah suatu kesinambungan manusia dengan alam dan hubungan mereka dengan amalan dan pekerjaan harian. Menceritakan pengalaman beliau ketika berada di Gaza pada bulan April lalu, Dr Syed Muhammad Haleem menggambarkan bagaimana anggota polis di pos imigresen Gaza berlumba-lumba untuk mendirikan solat Dhuha.

Dr Syed Muhammad Haleem turut menyeru setiap orang Islam supaya memberi perhatian kepada kewajipan mereka untuk membebaskan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa daripada penjajahan Zionis Yahudi. “Mengapa perlunya kita peduli kepada permasalahan Palestin, apakah sebab tiada orang yang pedulikannya jadi kita memberi perhatian kepadanya?”, soal beliau kepada para hadirin. “Ini tidak lain tidak bukan kerana bumi Palestin yang merupakan tanah warisan para anbiya’ dan tanah wakaf bagi seluruh umat Islam dan juga Masjid Al-Aqsa serta Baitulmaqdis masih lagi berada di dalam cengkaman Zionis laknatuLlah. Bahkan saudara-saudara seakidah kita di Palestin terus dizalimi, dipenjara dan dibunuh dengan kejam. Sudah menjadi kewajipan setiap orang Islam untuk membebaskan Palestin dan Masjid Al-Aqsa,” jelas beliau.

Menurut respon beberapa wakil pelajar di sini, program kali ini sangat berbeza daripada tahun-tahun lalu kerana para siswazah didedahkan dengan isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa secara lebih jelas melalui pameran foto, tayangan slaid dan video yang menarik dan terkini.

Biro HALUAN Palestin turut mengadakan gerai pameran dengan memaparkan poster-poster berkaitan Palestin, pengalaman aktivis HALUAN dan juga projek-projek bantuan yang dijalankan untuk rakyat dan pelarian Palestin. HALUAN telah menghantar pasukan kemanusiaan seramai 11 orang ke Gaza pada akhir bulan April lepas selama 10 hari.

Di penghujung majlis, kutipan derma untuk rakyat Palestin turut diadakan. Warga KUIS dan para jemaah solat Jumaat di sini telah menyatakan komitmen mereka terhadap Palestin dengan terkumpulnya kutipan derma sebanyak RM2,509.25. Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata oleh Wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), En. Muhammad Fathi Hamdan, kepada Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr. Syed Muhammad Haleem Syed Hassan.


Laporan oleh Sdr Mus’ab Saari, petugas Biro HALUAN Palestin.