fbpx

Eksklusif : Doktor Syria Berkorban Demi Membela Mangsa Kezaliman

Eksklusif : Doktor Syria Berkorban Demi Membela Mangsa Kezaliman

Eksklusif : Doktor Syria Berkorban Demi Membela Mangsa Kezaliman

ANTAKYA, TURKI, 12 Jun 2012 — “Kami baru dibebaskan dari penjara rejim Bashar dua bulan yang lalu. Saya ditangkap hanya kerana membantu dan merawat ahli keluarga saya yang tercedera.”

Begitulah ungkapan pengenalan daripada seorang pakar urologi dan seorang lagi pakar paediatrik dari Syria apabila ditanya tentang kejadian di tanah air mereka. Kedua-dua orang doktor pakar ini kini berkhidmat secara sukarela dengan misi kemanusiaan Insani Yardim Vakfi (IHH) di Antakya, kawasan penempatan khemah-khemah pelarian di sempadan Turki-Syria.

Dr Salim* yang enggan fotonya diambil menceritakan kepada pasukan relawan HALUAN pengalaman yang terpaksa beliau harungi ketika rakyat Syria bangkit menentang kezaliman rejim pemerintah di Syria. Pasukan relawan HALUAN kini di dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Syria 2 (MBKS2).

Pada mulanya beliau teragak-agak untuk berbicara dengan kami walaupun boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Namun setelah dia mengetahui bahawa kami adalah relawan bantuan kemanusiaan dari Malaysia yang bekerjasama dengan IHH, barulah beliau mula menceritakan pengalaman bagaimana mereka diseksa oleh rejim Bashar. Dr Salim adalah antara ribuan doktor yang terpaksa atau dipaksa meninggalkan bukan sahaja rumah dan kaum keluarga malahan juga premis mereka berkhidmat mencari rezeki sebelum ini.

“Saya ditangkap hanya kerana membantu dan merawat keluarga saya yang tercedera,” cerita Dr Salim lagi. Beliau merayu agar fotonya tidak diambil kerana bimbang ianya tersebar di internet dan ini boleh mengancam keselamatan ahli-ahli keluarganya yang masih bertahan di dalam Syria. Doktor yang berumur awal 40-an itu mempunyai sebuah klinik persendirian dan juga servis ambulan untuk penduduk Iblid. Bulan Oktober lalu, beliau telah dipenjarakan selama enam bulan.

“Setiap hari kami akan diinterogasi tidak kurang dari empat kali. Setiap kali kami gagal memberikan jawapan, kami akan dipukul, disepak terajang dan banyak kali dikenakan kejutan elektrik,” katanya lagi. Dalam sebuah penjara yang jauh dari keluarga beliau, Dr Salim dimasukan ke dalam sebuah sel yang amat kecil. Beliau hanya diberikan 2 keping roti setiap hari dan tidak dibenarkan untuk bersolat dengan sempurna. Rejim Bashar berketurunan Syiah Alawiyin itu tidak mementingkan solat.

Setelah enam bulan berada dalam seksaan, akhirnya beliau dibebaskan melalui pembayaran tebusan sebanyak USD 6 ribu. Beliau berkata, “bukanlah bayaran tersebut sebagai harga diri saya, tetapi memandangkan masa depan rakyat Syria yang memerlukan tenaga-tenaga pakar seperti saya, saya terpaksa melakukan tebusan.” Sehingga kini, ramai para doktor yang telah dibunuh dan masih dipenjarakan, hanya kerana mereka menjalankan tugasan professional sepertimana doktor-doktor di tempat lain.

“Saya tidur di dalam sel penjara dengan hanya berbantalkan kepingan roti yang saya simpan untuk mengelakan daripada kesejukan lantai,” kata Dr Malek*, seorang doktor pakar kanak-kanak dari Latakya, Syria.

Kami relawan HALUAN terharu dan sebak apabila Dr Malek menceritakan pengalaman beliau yang sering dikenakan kejutan elektrik di dalam penjara rejim Bashar. Kami dapat saksikan mata beliau berkaca-kaca dengan air mata ketika beliau menceritakan bagaimana tahanan bukan sahaja diseksa secara fizikal bahkan juga psikologikal.

“Kamu boleh sembahyang, tetapi semasa takbir kamu mestilah menyalak seumpama bunyi seekor anjing,” kata Dr Malek mengimbas kembali apa yang tentera rejim Bashar perintahkan ketika beliau mahu menunaikan solat di dalam penjara. Di waktu lain, dia juga pernah didatangi oleh empat orang gadis cantik yang datang meraba-raba tubuh beliau dengan nada rayuan menggoda ketika mata beliau ditutup. Begitulah saban hari mereka mendapat seksaan, agar mereka tunduk mengakui kebaikan rejim pemerintah dan menjadikan Bashar Assad sebagai tuhan.

Sejak dibebaskan dua bulan lalu, Dr Malek yang berusia lewat 30-an kini amat bersemangat bersama relawan IHH membantu pelarian Syria di sempadan berhampiran Latakya. Sebagai seorang pakar kanak-kanak, beliau kini sedang berusaha untuk membuka klinik rawatan khas untuk kanak-kanak di kem pelarian. Beliau telah dibebaskan setelah ahli-ahli keluarga beliau merayu kepada pihak regim bahawa Dr Malek tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Keesokan hari selepas beliau dibebaskan, beliau ditemui oleh pihak sabiha (mafia rejim) yang mengarahkan beliau supaya meninggalkan Syria jika mahu terus hidup!

Inilah sebahagian daripada kisah benar yang dapat kami rakamkan sebagai mengesahkan bahawa apa yang berlaku di Syria bukanlah sekadar konflik dalaman tetapi atrositi yang dilakukan oleh rejim Bashar Assad sejak 40 tahun lalu kepada sesiapa sahaja yang menentang beliau. Ia sekaligus mendedahkan pekung kejahatan pengikut ajaran Syiah Alawiyin di mana saja di dunia ini serta menginsafkan semua umat Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

Pencetus utama kepada kebangkitan rakyat adalah kerana keadaan hidup mereka yang amat ditekan dari pelbagai segi termasuklah ekonomi, kebebasan menyuarakan pendapat dan juga partisipasi yang lebih terbuka dalam pentadbiran negara. Rakyat dari pelbagai lapisan dan profesyen turun berdemonstrasi demi mendapatkan hak untuk hidup sebagai warganegara sah dan bebas. Sayangnya, tindakan mereka dibalas oleh regim dengan kekejaman. Kini ratusan ribu rakyat Syria menjadi pelarian di negara-negara jiran manakala puluhan ribu lagi merengkok di dalam penjara menahan seksaan.

Bagi kita, tidak kira samada seorang doktor atau apa jua profesyen, keutamaan kehidupan kita bukanlah demi kemewahan duniawi semata-mata. Kita juga tidak mahu mengikut telunjuk manusia secara membuta-tuli, tetapi kita ingin meletakkan diri kita sebagai hamba Allah yang taat, bertaqwa serta melaksanakan tugasan untuk kesejahteraan sejagat lalu mendapat redha Allah SWT.

Sesungguhnya para doktor dan rakyat di Syria sedang diuji keimanan mereka dengan atrositi rejim Assad. Tetapi semua mereka yang ditemui oleh para relawan HALUAN di Antakya begitu yakin kemenangan akan bersama mereka.

“InsyaAllah, apa yang berlaku di Syria khususnya adalah ujian Allah ke atas seluruh umat Islam, dan yakinlah apabila kemenangan berpihak kepada rakyat Syria, ia sebenarnya membuka jalan kepada perjuangan pembebasan seluruh bumi Syam termasuklah Masjidil Aqsa,” ujar seorang aktivis Syria yang temui relawan HALUAN di Istanbul.


Laporan oleh Dr Baharuddin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN yang sedang menjalankan Misi Bantuan Kemanusiaan Syria 2 (MBKS2) bersama 3 orang lagi relawan HALUAN di Antakya.