fbpx

Edar Bubur Lambuk Pupuk Budaya Memberi

Edar Bubur Lambuk Pupuk Budaya Memberi

Edar Bubur Lambuk Pupuk Budaya Memberi

SHAH ALAM, 12 Mei 2019 — Memanfaatkan kehadiran bulan Ramadan yang penuh barakah ini, pemuda dan pemudi HALUAN Cawangan Selangor dibawah Persatuan Belia HALUAN Shah Alam (PBHSA) dan Unit Pemudi HALUANITA Cawangan Selangor mengambil inisiatif menganjurkan program memasak bubur lambuk yang diadakan di kawasan kantin Sekolah Ibn Khaldun.

Seawal jam 9 pagi para petugas memulakan proses awal persediaan bahan dan bertungkus lumus menyiapkan hidangan istimewa Ramadan ini hingga berjaya menyediakan hampir 500 bekas bubur lambuk. Sepanjang enam jam proses ini berlangsung, banyak bimbingan dan tunjuk ajar telah diberikan oleh para senior dan veteran HALUAN Selangor kepada para pemuda dan pemudi yang terlibat dalam acara ini

Suasana begini sangat indah, merapatkan silaturahim dan pada masa yang sama memberikan peluang kepada generasi muda menimba pengalaman dari generasi lama dalam pelbagai perkara. Ibadah puasa di siang hari adakalanya memenatkan, namun semangat kerjasama dan sikap saling bantu-membantu melancarkan proses memasak bubur ini.

Pengarah program ini, En Muhammad Zawir Amin Ahmad Farid berkata, pihaknya sangat bersyukur atas sambutan yang diberikan oleh para petugas program ini terutamanya golongan pemuda dan pemudi HALUAN yang memberikan kerjasama yang terbaik untuk acara khidmat kali ini.

Menurutnya, proses edaran dan agihan bubur lambuk tersebut dimulakan pada jam 5 petang hingga selesai melibatkan beberapa surau di sekitar Kampung Jalan Kebun. Untuk orang ramai juga diedarkan melalui khemah kecil yang didirikan berhampiran jalan menuju ke bazar Ramadan.

“Antara tujuan program ini adalah memupuk dan mendidik budaya memberi di kalangan para pemuda, pemudi dan anak-anak. Bahkan, bahan-bahan dan peralatan untuk program ini banyak disumbang oleh mereka,” ujarnya lagi.

HALUAN Selangor merancang pelbagai lagi program khusus untuk Ramadan pada tahun ini. Selain agihan bubur lambuk, pihak mereka dengan kerjasama Biro HALUAN Palestin menganjurkan Ramadan bersama Huffaz dari Palestin dan Syria. Program khas yang memasuki tahun ke sembilan ini, menampilkan para Huffaz dari negara bergolak dengan bacaan yang merdu bagi memimpin solat sunat tarawih di masjid dan surau sekitar Shah Alam, Klang dan juga beberapa kawasan berhampiran.


Laporan Amirul Anuar Azman, Setiausaha Kerja HALUAN Selangor