fbpx

Disiplin Masa Bagi Aktivis HALUAN

Disiplin Masa Bagi Aktivis HALUAN

Disiplin Masa Bagi Aktivis HALUAN

Ibnu Qayyim Al Jauzi pernah berkata:

“Sebenarnya masa bagi manusia adalah umurnya, masa boleh berfungsi sebagai bahan abadi kehidupannya yang penuh nikmat atau bahan kehidupannya yang sempit dalam azab yang pedih. Masa berlalu bagai berlalunya awan. Setiap kali masanya untuk dan bersama Allah. itulah kehidupan dan umurnya. Selain dari itu, tidak dapat dianggap sebagai kehidupannya walaupun dia hidup bagai hidupnya haiwan ternak. Dan jika dia habiskan waktunya dalam kelalaian dan angan-angan kosong maka yang dipilih setelah itu adalah tidur yang panjang, maka kematiannya adalah lebih baik dari hidupnya”. (Dari kitab Al-Iwabu Al-Kahfi, hal 184, karangan Ibnu Qayyim).

Disiplin masa adalah penentu kehidupan. Keterbatasan waktu, peluang dan kesempatan dalam kehidupan ini menuntut adanya kedisiplinan waktu sebagai syarat mencapai ”hayatan thoyyibah”. Tanpa kedisiplinan masa, yang ada hanya penyia-nyiaan terhadap potensi dan kekuatan yang ada pada seseorang anggota.

Antara faktor yang menghambat seorang aktivis dalam kedisiplinan masa adalah:

Mengikut hawa nafsu
Angan-angan kosong
Kekosongan hati
Tidak faham mengurus masa/waktu
Suka bersantai, istirehat, banyak makan dan tidur
Tidak tetap pendirian
Keletihan jiwa (futur)
Tekad dan jiwa yang lemah
Hilang perasaan akan pentingnya masa
Tidak terbiasa mengurus masa sejak dari kecil
Tidak pernah / jarang berkumpul dan bersama-sama dengan orang yang bijak menggunakan waktunya dengan baik.
Tidak menghadirkan diri dalam siri latihan dan kursus mengurus masa secara efektif.
Faktor keletihan jiwa (futur) sebenarnya merupakan hal yang selalu ditemui pada diri para da’ie, bukan suatu aib, tetapi ia akan menjadi aib jika jiwa itu terus menerus berada dalam lingkungan futur. Persoalannya, apakah jalan keluar untuk menghilangkan situasi lemah jiwa di saat kita mengalaminya. Ali bin Abi Talib ra. menjelaskan:

”Sesungguhnya hati-hati ini akan merasa bosan sebagaimana bosannya badan ketika sering melakukan suatu pekerjaan, maka carilah jalan untuk menghindarinya dengan kebijaksanaan.”

Abu Darda r.a pernah mengatakan:

”Sesungguhnya ketika hatiku sedang bosan dan berat melakukan suatu amal maka aku sibukkan ia dengan sedikit lahwan (permainan/riadhah) agar ia dapat semakin kuat untuk melaksanakan kebenaran.”

Antara benteng utama bagi kita untuk menghilangkan faktor-faktor kepada ketidak disiplinan kita dalam mengurus masa adalah dengan memberi perhatian kepada perkara berikut:

Memahami pentingnya masa.
Zuhud di dunia dengan memalingkan jiwa dari syahwat.
Zikrul maut akan membuat hati menjadi asyik mengoptimumkan waktu dengan kelazatan beramal.
Takut kepada Allah dengan menyintai syurga Allah, takut dan harap keampunan dari-Nya. Takut kepada Allah akan menyebabkan kita memenuhi segala ruang masa kita dengan sentiasa beramal dan taat kepada-Nya.
Mempelbagaikan kegiatan harian bagi mengelakkan rasa keletihan dan kebosanan. Menurut Ibnu Abas, ketika mula merasa letih untuk berbicara, maka beliau akan meminta agar dibacakan syair-syair padanya. Atau ’Ikrimah r.a yang menuntut ilmu selama 40tahun berkata, setiap kali datang rasa jemu maka beliau mengambil masa untuk rekreasi bagi menggantikan suasana, sehingga seluruh kegiatannya terisi dengan efektif.
Menumbuhkan tekad dan himmah yang tinggi.
Mengetahui akibat dari kesia-siaan waktu. Nabi saw. menjelaskan: ”Tidak ada yang dirasakan ahli Syurga akan kerugian waktunya kecuali dengan berlalunya waktu sedang mereka tidak berzikir kepada Allah swt di dalamnya”.
Mengkaji bagaimana salafus soleh menggunakan waktu mereka. Allah swt dalam mendidik Nabi Muhammad saw. juga menggunakan kaedah ini dengan mengenalkan baginda kepada kehidupan para anbiya’ sebelum baginda, sehingga hal ini semakin menambahkan keyakinan dan kesabaran baginda saw. dalam membawa misi Ilahiyah.
Menghadiri latihan, pelatihan semula (retraining), kursus dan menyertai medan amal. Hal ini akan meningkatkan pengalaman, pengetahuan dan penambahbaikan kelemahan diri.
Doa. Berdoalah kepada Allah swt. agar kita dapat menggunakan masa dan waktu sebaik mungkin, insyaAllah akan terkabul kerana Allah swt tidak pernah melanggar janji-Nya:
”Mintalah kepada-Ku, pasti aku akan penuhi.” (Ghofir: 60)
Demikianlah sewajarnya kita mendisiplinkan masa dan hidup kita untuk kemasyarakatan dan dakwah, sehingga kita mampu memikul dakwah bukan dipikul dakwah dan akhirnya kita hidup dengannya baik selagi lapang mahupun selagi sempit. Wallahua’lam.

Mohd Razali Maarof
Ketua Biro Latihan HALUAN Pusat