fbpx

Di Sebalik Bulan Ramadhan

Di Sebalik Bulan Ramadhan

Di Sebalik Bulan Ramadhan

Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan keizinan-Nya kita dipilih oleh Allah s.w.t. untuk merasai bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Inilah dia Madrasah Ramadhan yang seharusnya dirindui oleh setiap Muslim di serata dunia.


Dalam kita melalui dan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, menjadi kemestian untuk kita merasai akan erti sebenar di sebaliknya. Ramadhan merupakan ibadah khusus yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. kepada seluruh umat Islam. Di samping kewajiban puasa yang tergantung ke atas setiap individu muslim itu, bulan Ramadhan juga menjadi suatu medan intensif kepada hamba-Nya dalam melaksanakan ibadah dengan penuh ketaatan.

Di sebalik bulan Ramadhan ini terkandung padanya didikan Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya. Sememangnya aturan Allah s.w.t. sangat istimewa dalam mengajar dan melatih hamba-Nya agar semakin patuh dan tunduk kepada Pencipta. Rahmat dan nikmat Allah s.w.t. yang sangat luas serta tarbiyah yang diberikan adalah bukti kasih sayang kepada hamba-Nya yang tidak terhingga. Seharusnya kita menyedari dan menginsafi akan kekerdilan diri dan sejauh mana ketaatan kita kepada-Nya.

Allah s.w.t melatih hamba-Nya pada bulan Ramadhan ini agar akur untuk meninggalkan segala larangan-Nya iaitu menahan diri dari makan dan minum, menahan pancaindera mata, telinga, mulut dan lidah dari melakukan perkara maksiat dan menahan hati serta jiwa daripada menyukai perkara yang Allah s.w.t. tidak suka. Melakukan perkara yang Allah s.w.t suruh juga merupakan latihan pada bulan yang penuh barakah ini. Sebagai hamba Allah s.w.t., maka menjadi keperluan bagi kita untuk menggunakan anggota tubuh badan yang dikurniakan dalam rangka pengabdian kepada Maha Pencipta. Bulan Ramadhan merupakan fatrah (tempoh) yang sangat stategik untuk meningkatkan lagi mutu ibadah kita sama ada yang wajib atau sunat seperti solat, berzikir, berdoa, bacaan al-Quran, qiammullail dan lain-lain lagi.

Selain itu, melatih diri agar menjadi pemurah dengan menginfakkan sebahagian dari harta yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita merupakan latihan pengorbanan yang dapat menyumbang kepada kerendahan hati dan ketaatan kepada Allah s.w.t.. Pada bulan inilah seharusnya kita membanyakkan lagi amalan sunat lain seperti bersedekah dan menderma kepada yang memerlukan, menyediakan hidangan berbuka puasa untuk orang lain dan lain-lain lagi.

Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Infakkanlah sebahagian dari rezeki yang telah kami berikan kepadamu sebelum datang hari ketika tidak ada lagi jual beli, tidak ada lagi persahabatan dan tidak ada lagi syafaat. Orang-orang kafir itulah orang yang zalim”.  (al-Baqarah:254)

Dalam melaksanakan amalan suruhan dan larangan Allah s.w.t., seharusnya hati kita tidak terputus dari berhubung dengan-Nya. Ketaatan yang diiringi dengan keikhlasan dan kerendahan hati pada Ilahi akan membuahkan lagi kemanisan dengan hadirnya ketenangan dan keseronokan dalam beramal.

Dalam konteks kebiasaan yang berlaku, seseorang yang diuji dengan kesakitan kesan dari kecuaian dalam menjaga hak diri maka dia akan berusaha menemui doktor untuk mendapatkan rawatan di samping berdoa dan bertawakkal kepada Allah s.w.t. agar diberi natijah kesihatan. Begitulah jika kita melihat pada diri. Hati menjadi kotor dan sakit kesan dari kemaksiatan melakukan kesilapan dan kesalahan pada Allah s.w.t.. Bagi yang menyedari akan kesakitan hatinya, maka dia juga akan berusaha untuk merawat kembali kelukaan itu. Maka rawatan yang paling efektif tidak lain dan tidak bukan melainkan dengan cara bertaubat iaitu membanyakkan istighfar.

Kita disunnahkan untuk membaca doa sekaligus membanyakkannya. Telah diriwayatkan dari Aisyah r.a., dia bercerita: “Pernah kutanyakan: Wahai Rasulullah, bagaimana pandanganmu jika aku mendapatkan Lailatur Qadar, apa yang mesti aku ucapkan? Beliau bersabda: Bacalah, Allaahumma innaka ‘afuwun, tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, yang mencintai maaf. Karena itu, berilah maaf kepadaku)”.
(Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah).

Dalam bulan yang penuh rahmat ini merupakan medan intensif yang sangat efektif untuk kita berubah kepada status yang lebih tinggi. Proses yang dilalui dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. menjadi suatu momentum peningkatan untuk lebih dekat kepada Allah s.w.t.. Sebagai seorang hamba kepada Pencipta, seharusnya kita berusaha untuk meningkat dari tahap beriman kepada kepada bertakwa. Takwa merupakan bekalan terbaik sepanjang kehidupan kita di dunia dan menuju akhirat kelak.

…وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً )الطلاق :   (2وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً )الطلاق :3 (
Firman Allah s.w.t. bermaksud: “ …Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya”. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya.

Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu”. (at-Talaq: 2-3)
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَآمِنُوا بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِن رَّحْمَتِهِ وَيَجْعَل لَّكُمْ نُوراً تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ )الحديد :28 (
Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya (Muhammad), niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan cahaya untukmu yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan serta dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”. (al-Hadid: 28)

Proses peningkatan seseorang muslim untuk lebih taat dan berhubung dengan Allah s.w.t. dan peningkatan iman ke arah ketakwaan kepada Illahi merupakan persediaan persiapan ke arah menyemarakkan Islam dalam diri dan masyarakat. Amalan memperbaiki diri yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan seharusnya dilakukan secara berterusan ke arah melahirkan generasi yang bukan sahaja gigih melaksanakan pembaikan diri tetapi juga terlibat dalam usaha mengajak orang lain kepada kebaikan iaitu dakwah. Menyemarakkan obor dakwah dan tarbiyah dalam diri individu muslim ke arah keharmonian Islam dalam diri masyarakat dan negara merupakan aspek penting yang dicita-citakan.
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ )آل عمران :104 (
Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Dan Hendakalah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Ali-Imran:104)

Untuk mencapai tahap individu muslim yang beriman dan beramal soleh, maka tuntutan untuk melakukan segala arahan dan meninggalkan segala larangannya perlu dilaksanakan.
وَالْعَصْرِ )العصر :1 (
إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ )العصر :2 (
إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ )العصر :3 (
Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali yang beriman dan beramal soleh serta menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”. (al-‘asr: 1-3)

Tetapi apabila kita melihat realiti masyarakat sekarang, mereka banyak melupakan proses saling ingat memperingati sesama manusia demi kebaikan ummah. Amalan ini tidak kurang pentingnya untuk mengajak orang lain kepada kebenaran dan kebaikan. Kita perlu sedar bahawa usaha pembaikan dan peningkatan sepanjang bulan Ramadhan ini bukanlah semata-mata matlamat yang dicari. Namun hakikatnya kita berhajat kepada usaha ini sebagai persiapan dan latihan dalam rangka berubudiyah kepada-Nya. Dalam memahami konsep ubudiyah yang sebenar, kita bukan hanya dituntut untuk melaksanakan arahan dan meninggalkan suruhan Allah s.w.t. sahaja, bahkan kita perlu menyampaikan segala kebaikan yang diperolehi kepada orang lain.

Tanpa usaha menyampaikan kebaikan kepada orang lain, maka tidak berfungsilah peningkatan dan pembaikan yang dilakukan ke atas diri. Ini diumpamakan seperti kita mengumpul harta, tetapi hakikatnya langsung tidak dimanfaatkan. Aspek persiapan diri perlu dipandang secara syumul yang mana melibatkan pelbagai aspek pembaikan. Dalam masa yang sama usaha ini perlu dijelmakan supaya dapat dikembangkan kepada masyarakat pula.

Seperti kata-kata al-Maududi: “Baiknya manusia seperti air batu, jahat manusia seperti api”.
Namun tidaklah dilihat air batu dan api itu melainkan kepada fungsinya. Fungsi air batu yang menyejukkan air minuman, pengawet makanan dan lain-lain diumpamakan sebagai suatu kebaikan. Bukan sahaja baik pada zatnya tetapi yang lebih penting ialah apabila dapat memberi kebaikan pada yang lain. Manakala api sebaliknya pula. Begitulah seharusnya kita menjelmakan kebaikan agar dapat berfungsi dan memberi manfaat kepada yang lain. Maka untuk menyebarkan kebaikan, ibadah puasa di bulan Ramadhan perlu diberi perhatian dengan berusaha ke arah mengumpulkan sebagai menjadi bekal ketakwaan demi melaksanakan tugas untuk kebaikan orang lain.
…وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى وَاتَّقُونِ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ )البقرة:197  (
Firman Allah s.w.t bermaksud: “Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalahtakwa. Dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang mempunyai akal sihat”. (al-Baqarah:197)

Jadi kita perlu melihat bahawa puasa merupakan alat untuk kita lebih mentaati dan berubudiyah kepada Allah s.w.t.. Dalam konsep Islam, ibadah itu merupakan sesuatu yang syumul. Sejarah dahulu membuktikan bahawa orang Arab dahulu telah mengetahui bahawa ibadah itu merupakan sesuatu yang menyeluruh. Namun hakikat kurangnya kefahaman pada diri manusia kini, menyebabkan proses pembangunan ummah tidak berkesan. Berpuasa di bulan Ramadhan hanya menjadi seperti rutin tahunan serta adat yang ditradisikan dan bukannya ibadah. Proses mendidik diri seperti menahan diri dari lapar dan dahaga dikalahkan dengan nafsu ketika berbuka puasa. Buktinya ketika bulan Ramadhan, aktiviti urusniaga makanan semakin menjadi-jadi.

إِنَّ اللَّهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ مَثْوًى لَّهُمْ )محمد :12 (
Firman Alah s.w.t. bermaksud: “Sungguh Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan (dunia), dan mereka makan seperti haiwan makan, dan (kelak) nerakalah tempat tinggal bagi mereka”. (Muhammad:12)    

Melihat dari sudut kesihatan, puasa seharusnya menjadikan seseorang itu lebih sihat. Sekiranya kita tidak menjaga pemakanan maka akan mengundang penyakit yang tidak diingini seperti kencing manis, kegemukan dan lain-lain. Ini jika dilihat dari sudut perubatan dan kesihatan yang mana menggalakkan kita menjaga pemakanan. Konsep ini sebenarnya tidak lari dari Islam. Islam menggalakkan kita berpuasa agar dapat mendidik hawa nafsu. Sekiranya terlalu banyak makan, maka hawa nafsu akan tertingkat.

Oleh yang demikian, kita perlu berusaha memartabatkan amalan puasa ini agar ia benar-benar mampu menjadi wasilah kepada peningkatan manusia. Marilah kita kembali semula seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullahn s.a.w.. Baginda mengajak manusia ke arah kebaikan dan kebenaran iaitu Islam, akhirnya memberi impak besar kepada pembangunan ummah. Jiwa-jiwa yang bersih perlu kita himpunkan dan kesedaran perlu disebarkan.

Jiwa-jiwa bersih dan sedar itu perlu dibina, ditingkat dan dibangunkan agar boleh berperanan dalam menyebarluaskan Islam pada yang lain pula. Kesabaran dan kegigihan perlu disemai walaupun bermula dengan bilangan yang kecil dan serba kekurangan. Proses pengislahan perlulah dilakukan secara istiqamah iaitu berterusan. Semoga ibadah dibulan Ramadhan menjadi medan menuju kebangkitan dan penyumbang ke arah mengembalikan sinar Islam yang kian samar.