fbpx

Di perantauan

Di perantauan

Di perantauan

Pejam celik pejam celik, 2hb 6 2009 sudah berlalu pergi.

“Oh, dah 9 bulan?” Saya tertanya sendiri.

Bulan Jun 2009 ini, merupakan bulan ke-10 saya berada di Jordan, selepas bertolak meninggalkan Malaysia pada 2hb 9 2008. Rasa sebentar sahaja. Semuanya berjalan dengan pantas. Hari ini, saya amat-amat faham kenapa ALLAH SWT bersumpah dengan masa atas kerugian manusia.

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian” Surah Al-‘Asr ayat 1-2.

Masa memang berharga. Selain sifatnya yang tidak akan kembali, masa itu bergerak teramat pantas sebenarnya. Justeru, manusia yang tidak bijak menyusun kehidupan mereka, memang benar-benar manusia yang telah kerugian akan hayatnya. Rugi duit boleh dicari semula, tetapi rugi hayat, tidak akan mampu kita menggantikannya.

Hidup ini banyak rahsia. Ada yang ALLAH bukakan kepada kita, dan ada juga yang ALLAH simpan dari pengetahuan kita. Ada rahsia yang boleh kita cari buka untuk mengetahuinya, tetapi ada juga rahsia yang tidak akan kita tahu berkenaan halnya walaupun kita mengkaji bertahun-tahun lama.

Berada di Jordan selama 9 bulan, membuatkan saya sedar banyak perkara. Memang, kata orang, bila kita tidak bersama dengan kaum kerabat, sahabat handai, maka kita akan menjadi lebih rajin dan pandai menghargai apa yang ada dengan kita. Begitulah saya di Jordan ini.

Ketika berada di rantau orang ini, dan menuntut di universiti dengan semua pensyarah berbahasa arab, malah ada juga yang berbahasa arab ‘ammi, barulah teringat betapa dahulu saya tidak rajin mengambil peluang dengan guru-guru sekolah yang mengajar dalam bahasa melayu, walaupun untuk pelajaran bahasa arab dan bahasa inggeris.
Ketika ini jugalah baru hendak teringatkan ibu ayah, adik beradik, sahabat handai yang tidak kita hargai sebaik mungkin sepanjang hidup kita dengan mereka dahulu. Di tanah orang, walaupun tidak rapat, namun melayu tetap akan baik dengan melayu, tetap bantu membantu. Terasa keeratan. Kalau ada melayu yang punya masalah, hati ini akan turut tidak tenang. Rasa sungguh kebersamaan. Bila melalui hari raya, manusia-manusia yang serumpun dengan kita inilah yang kita peluk seerat-eratnya. Baru kita faham, erti ukhuwwah, hubungan, dengan mereka yang kenal dan memahami kita.

Duduk di rantau ini jugalah yang mendidik saya betapa keimanan itu begitu mudah dicalar rosak, dirampas pergi. Dahulu, dari tadika saya dihantar ke tempat pengajian yang berbentuk keISLAMan. Saya ada guru-guru, dan sistem sekolah yang menjaga serta mendidik akhlak murid. Ada peraturan itu, ada hukuman ini. Secara tidak langsung, kita terbentuk dan terdidik melakukan semua ajaran ALLAH. Namun, rupanya iman itu tidakan akan terus meningkat, dan tidak akan hanya mendatar sahaja selama-lamanya. Kekuatan keimanan manusia itu tidak boleh dikira hanya dengan ukuran semasa dia berada di zon selamat.

Bila duduk di rantau, tiada peraturan, tiada ibu bapa yang hendak menjaga, sedikit kawan yang hendak mengingatkan, tiada pula guru-guru yang hendak memberikan hukuman, maka ketika inilah baru kita boleh lihat, setinggi mana tahap keimanan kita. Kalau dahulu di sekolah dan rumah, pagi baca Al-Quran, petang baca Al-Quran, malam sebelum tidur baca Al-Quran lagi. Tapi bila tinggal sendiri, kadang-kadang sehari suntuk tidak menyentuh Al-Quran langsung.

“Oh, iman aku macam ni je rupanya” Barulah nak tersedar.

Bila duduk di rantau orang, pandangan juga terbuka luas. Dulu, semasa saya kecil, saya memandang bahawa identiti orang beriman ini adalah mereka yang sering memakai jubah, memakai kopiah. Malah, dahulu saya cukup mengagumi mereka yang memakai serban dan membawa kalungan tasbih, dan menganggap bahawa iman mereka lebih dari orang yang berpakaian biasa. Ketika saya kecil itu, kalau melihat orang yang berjanggut panjang, maka saya akan terus katakan dia adalah orang yang alim. Kalau orang tu fasih bercakap arab, saya akan anggap dia macam alim ulama’ la.

Bila berada di negara yang dipanggil negara ISLAM ini, yang penduduknya 90% adalah muslim, yang ulama’-ulama’nya ramai, yang kitab-kitabnya bertimbun di kedai-kedai yang tidak terkira banyak,saya nampak orang yang memakai jubah, memakai serban, menghisap syisya di tepi jalan. Di sini, saya nampak bagaimana mereka yang berjanggut panjang, melompat-lompat macam orang gila apabila kumpulan bola sepak kegemaran mereka menang. Di sini, saya berjumpa dengan manusia yang ke sana sini membawa kalungan tasbih, tetapi masih menghisap rokok seperti menghisap gula-gula. Saya juga nampak dengan mata kepala saya sendiri, bagaimana satu stadium bola sepak, penuh dengan orang berjuba putih, memakai igal, meninggalkan solat semata-mata menonton bola sepak di stadium.

Akhirnya saya faham dan nampak apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: “Akan datang kepada manusia satu zaman, tidak tinggal ISLAM itu melainkan nama sahaja, dan tidak tinggal Al-Quran melainkan tulisan semata” Baru saya benar-benar nampak dan faham apa yang dikatakan bahawa ISLAM dan IMAN itu bukan semata perkara zohiri sahaja. Tidak terwaris IMAN dan ISLAM itu melalui genetik, bukan juga melalui perkauman, bukan juga melalui warna kulit. IMAN dan ISLAM itu, datang dari keyakinan yang kuat di dalam hati, kefahaman yang benar di dalam akal, dan penterjemahan kefahaman itu kepada amal.

Di rantau orang juga, saya nampak bagaimana manusia yang faham akan ISLAM cuba memperjuangkan deen ALLAH, ditekan-tekan, dalam keadaan majoriti masyarakat adalah ISLAM juga. Saya dapat lihat bagaimana Palestina meronta-meronta menyabung nyawa dan negara-negara di sekelilingnya berdiam membuta mata. Saya dapat melihat betapa dalam kesukaran hidup dan suasana di sini, ada sahaja manusia-manusia yang terus berusaha dan berusaha hendak menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi ini.

Sedar tak sedar, 9 bulan saya hidup dalam suasana ini. Pemikiran saya terbuka luas. Pandangan saya mencapai kejauhan. “Oh begini rupanya, oh macam tu ya” Itulah yang berkali-kali saya ulang, apabila ALLAH membuka pandangan saya. Banyak perkara saya belajar dari kehidupan masyarakat di perantauan ini, dari sikap pelajar-pelajar melayu yang hidup di perantauan ini, dan dari gaya pensyarah-pensyarah di universiti.

Rupanya, benarlah kata-kata orang: Menuntut ilmu itu tidak akan habis, melainkan apabila maut menyambar waktu. Kita akan terus belajar, kita akan terus menimba pengalaman, pandangan kita akan terus terbuka, makin jauh berjalan makin luas pengetahuan, dan kebesaran-kebesaran ALLAH itu akan terus tertonjol dalam perjalanan kehidupan.

Namun siapakah yang mengambil manfaat? Siapakah yang membuang perkara mudarat?