fbpx

Derma Anda Sampai ke Syria

Derma Anda Sampai ke Syria

Derma Anda Sampai ke Syria

LUBNAN, 6 Mac 2017 — Misi Warmth for Syria-Lebanon yang sudah tiba di sana telah memulakan aktiviti pada hari ini. Sukarelawan HALUAN telah dibawa bertemu lima pertubuhan di lokasi untuk memulakan kerjasama aktiviti kemanusiaan secara lebih meluas lagi.

Pasukan tersebut telah mengunjungi pejabat Humanitarian Relief for Development (Al-Ghawth) untuk penyerahan wang bantuan kemanusiaan hasil derma rakyat Malaysia di samping melihat beberapa pembentangan projek mereka yang disampaikan oleh pengurus eksekutifnya, Encik Mohammed Mahmoud Maarouf. Seterusnya sukarelawan dibawa ke Klinik Al-Shifaa untuk penyerahan ubat-ubatan untuk pesakit.

Kemudian, pasukan HALUAN telah pergi ke Balsamah Centre yang merupakan sebuah pusat penyediaan perkhidmatan pemulihan anggota iaitu pembuatan anggota palsu (prosthesis) bagi mereka yang kudung anggota akibat peperangan. Ianya juga mempunyai unit ‘speech therapist’ dan ‘audiologist’ bagi pemulihan pendengaran dan pertuturan. Pusat ini diketuai oleh Encik Ramzi Zeidan.

Para sukarelawan HALUAN juga telah berkunjung ke Centre Al-Shifaa yang diketuai oleh Dr Majdi. Pusat ini menguruskan enam buah cawangan klinik Al-Shifaa di seluruh Lebanon dan juga “Mobile Clinic”.

Mereka kemudiannya menziarahi Al-Hayatu An-Nisaiyyah الهيئة النسائية. Ia adalah sebuah pertubuhan yang diketuai oleh pengurus eksekutifnya, Encik Amal Hassan yang khususnya membantu golongan wanita samada pelarian, anak yatim, dan mereka yang memerlukan.

Akhir sekali sukarelawan berkunjung ke Maahad Tahfiz Qiblah Al-Uula (القبلة الاولى) yang diketuai oleh Syeikh Mohamad El-Ali, di mana HALUAN telah menyerahkan bantuan sebanyak US$2,000 untuk aktiviti pendidikan yang dijalankan di maahad tersebut.

Misi kali ini membuktikan kesungguhan HALUAN dalam memastikan bahawa setiap derma rakyat Malaysia akan sampai kepada pihak yang memerlukan di kem-kem pelarian perang di Lubnan mahupun di Syria. Kunjungan tersebut juga bertujuan mewujudkan peluang kerjasama dan jaringan di antara HALUAN dan beberapa pertubuhan sukarelawan lain yang turut membantu pelarian Syria dan Palestin dari pelbagai sudut dan pengkhususan selain daripada AlGhawth.

Peluang masih dibuka kepada anda masyarakat Malaysia yang prihatin untuk terus memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan melalui Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN di akaun Maybank <5622 6350 2611>.

Emailkan slip/resit sumbangan anda dengan tajuk [Warmth4Syria-Lebanon] ke unit.kewangan@haluan.org.my


Laporan Biro Misi Kemanusiaan HALUAN