fbpx

Derita Etnik Rohingya Turut Dirasai Pelajar Maahad

Derita Etnik Rohingya Turut Dirasai Pelajar Maahad

Derita Etnik Rohingya Turut Dirasai Pelajar Maahad

KANGAR, 28 Okt 2017 – Tangisan dan penderitaan ratusan ribu anak-anak Rohingya di Rakhine, Myanmar dan di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh turut dirasai bersama oleh lebih 400 pelajar-pelajar Maahad AtTarbiyyah Islamiyyah (MATRI), Beseri, Perlis.

Tragedi kemanusiaan yang amat tragis tersebut dipaparkan semasa satu sesi ceramah dan tayangan video bertajuk ‘Rohingya- the most persecuted minority’ yang telah disampaikan oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr. Baharudin Suri. Ia turut disertai oleh sebahagian guru dan ibubapa pelajar yang tinggal berhampiran.

Perkongsian slot yang sama juga telah dilaksanakan pada malam sebelumnya bersama lebih 200 pelajar sebuah lagi maahad iaitu Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR) di Changlun, Kedah.

Apa yang memeranjatkan pelajar-pelajar di kedua-dua buah maahad tersebut ialah bagaimana peristiwa penindasan dan kekejaman bermula sejak puluhan tahun lalu terus dan masih berlaku hingga kini, sedangkan etnik Rohingya adalah penduduk yang sah di sisi sejarah, dilahirkan dan tinggal di bumi Arakan (Rakhine) bermula seawal abad pertama tahun Hijrah. Paparan peristiwa-peristiwa kezaliman ke atas remaja-remaja lelaki, pembunuhan kejam anak-anak yang masih bayi dan pemerkosaan gadis-gadis Rohingya tanpa ada erti kemanusiaan membuatkan hati hadirin tersentuh dan sedih, seolah-olah kehadiran masyarakat Rohingya di atas muka bumi ini tidak dikehendaki oleh kaum lain di Myanmar.

Dr. Baharudin turut menjelaskan mengapa etnik Rohingya yang merupakan penduduk majoriti Arakan tidak diberikan hak kemerdekaan oleh penjajah British pada tahun 1948. Perlaksanaan perlembagaan ‘Citizen Law 1982’ oleh kerajaan tentera Burma telah menggugurkan etnik Rohingya sebagai penduduk sah bumi Arakan. Pelajar-pelajar juga didedahkan bagaimana sifat kebencian oleh kaum Rakhine terutama golongan ekstremis kepimpinan agama Buddha terhadap Rohingya dan sumber kekayaan yang ada bumi Arakan menjadi antara punca mengapa etnik Rohingya menjadi ‘stateless people’ serta terus menjadi pelarian menagih simpati di negara-negara jiran.

Para pelajar juga amat tersentuh melihat bagaimana rakan-rakan Rohingya yang sebaya mereka di Rakhine dan juga di kem-kem pelarian di Bangladesh tidak berpeluang mendapat pendidikan asas, tiada ruang untuk berinteraksi serta terpaksa melalui kehidupan yang paling trauma sehingga usia dewasa.

Apa yang mereka lihat, melalui paparan-paparan kehidupan di dalam khemah pelarian benar-benar telah memberi keinsafan kepada pelajar-pelajar MASDAR dan MATRI, betapa perlunya pendidikan dan sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka kecapi sekarang.

Sebelum mengakhiri perkongsian isu pembersihan etnik dan genosida ke atas Rohingya, Dr Baharudin juga mengajak para pelajar dan hadirin untuk sentiasa peka dan prihatin kepada apa jua isu kemanusiaan yang sedang berlaku.

Hanya melalui sebaran informasi yang benar akan membangkitkan rasa ingin membantu etnik Rohingya samada di Arakan, di kem pelarian mahupun yang ada di Malaysia. Sebagai tanda keprihatinan, para pelajar serta staf MATRI dan MASDAR pada malam tersebut turut berpeluang menghulurkan sumbangan derma mereka melalui tabung Sinar4Rohingya untuk meringankan beban yang sedang dirasai oleh masyarakat terpinggir tersebut.


Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja, Biro Misi Kemanusiaan