fbpx

Dana Sumbangan Rakyat Malaysia Bekalkan Air Bersih Untuk Mangsa Bencana di Donggala

Dana Sumbangan Rakyat Malaysia Bekalkan Air Bersih Untuk Mangsa Bencana di Donggala

Dana Sumbangan Rakyat Malaysia Bekalkan Air Bersih Untuk Mangsa Bencana di Donggala

DONGGALA, SULAWESI, 17 Okt 2018 – Pasukan relawan HALUAN yang sedang membantu dan menyantui mangsa-mangsa gempa dan tsunami di sini mendapati sesetengah pusat pemindahan masih belum menerima bekalan air bersih yang mencukupi, selepas hampir tiga minggu dilanda bencana besar itu.

Bekalan air bersih menjadi sangat kritikal dalam suasana bencana seperti ini. Menurut Pak Ari, 35, yang berasal dari perkampungan Labuan Bajo di Kota Donggala, mereka terpaksa berjalan jauh bagi mendapatkan air bersih untuk mandi dan memasak. “Rumah kami sudah rata dengan tanah. Air bersih sangat susah di sini, sesudah terjadinya tsunami. Hingga saat ini kami belum mendapatkan bantuan air bersih,” ungkap beliau.

Selain menghancurkan bangunan, bencana ini juga menyebabkan kerosakan sumber air bersih serta infrastrukturnya, termasuk saliran dan alatan sanitasi.

Melihat keadaan yang mendesak ini, sukarelawan HALUAN hari ini telah menyalurkan air bersih ke khemah mangsa di perkampungan Labuan Bajo. Kira-kira 20 keluarga menerima manfaat bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia ini.

Kerjasama daripada NGO tempatan, PKPU Human Initiative membolehkan HALUAN membeli bekalan air bersih dari sebuah syarikat air, Perusahaan Daerah Air Minum (PDAM) Kota Palu. Bekalan air ini dihantar menggunakan lori tangki, di mana sebuah lori mampu membawa hampir 5,000 liter air.

Di samping itu HALUAN juga merancang untuk membina beberapa telaga tiub dan sistem rawatan air bagi keperluan jangka masa panjang penduduk di sini.

HALUAN mempunyai ahli-ahli yang pakar dalam teknologi rawatan air bersih. Insya-Allah kita akan membawa teknologi tersebut untuk manfaat penduduk di sini,” jelas ketua Pasukan 2 relawan HALUAN, Mohd Jamil Muda, kepada pihak media ketika ditemui di lapangan.


Laporan mediaHALUAN