fbpx

Dana Sinar4Rohingya Disalurkan

Dana Sinar4Rohingya Disalurkan

Dana Sinar4Rohingya Disalurkan

BANDAR BARU BANGI, 2 Feb 2019 — HALUAN telah meneruskan Misi Kemanusiaan Rohingya dan kali ini ia sekali lagi bersama gabungan NGO-NGO di bawah program Tabung Sinar4Rohingya kendalian Kumpulan Media Karangkraf.

Tabung Sinar 4 Rohingya adalah satu  program bersama sejak September 2017 dengan tujuan utamanya untuk menyampaikan amanah rakyat Malaysia yang telah menderma  melalui tabung ini atas dasar keprihatinan terhadap isu pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar di Bangladesh.

Dua sukarelawan HALUAN terdiri daripada Ketua Biro Pemuda, Encik Hasri Ahmad, dan Pegawai Logistik, Encik Abdul Halim Kudri telah menyertainya. Mereka disertai dua wakil daripada MAPIM dan Yayasan Amal Malaysia untuk misi gabungan kali ini yang bermula dari 2 hingga 5 Februari, 2019.

HALUAN secara khususnya akan memberikan fokus bantuan dan agihan dalam bidang pendidikan. Village of Hope Educare Centre di Kem Balukhali yang telah dibina pada Disember 2017 dan mempunyai 170 pelajar serta tujuh tenaga pelajar terus diberikan perhatian seperti bantuan buku teks, peralatan pembelajaran dan juga elaun tenaga pengajar agar ia menjadi sebuah pusat pendidikan yang membangunkan modal insan di kalangan anak-anak Rohingya.

Selain itu, HALUAN juga turut membantu daripada segi dana untuk pengupayaan beberapa pusat tahfiz yang di kendalikan oleh rakan-rakan NGO tempatan. Bantuan pembuatan telaga tiub juga masih diteruskan agar setiap keluarga di kem pelarian mendapat akses bekalan air bersih.

Daripada dana Sinar4Rohingya ini juga, MAPIM dan Yayasan Amal Malaysia akan mengagihkan bantuan selimut dan makanan keperluan asas untuk warga pelarian yang masih memerlukan.