fbpx

Dan saya berlari di sekelilingnya

Dan saya berlari di sekelilingnya

Dan saya berlari di sekelilingnya

Masuk bulan Julai.

Saya sedang menjalani fasal soifi, atau dalam bahasa Melayunya – Musim Panas – di Jordan ini.

Musim panas, pelajar University of Yarmouk diberi dua pilihan. Iaitu hendak mengkuti kelas semester pendek, atau tidak mahu mengikuti kelas. Namun, untuk orang sikit duit, dan rasa ingin habis belajar cepat macam saya, maka mengikuti kelas akan menjadi pilihan.

Dalam hal tak mahu balik Malaysia ni, ada perkara baru juga saya dengar di Jordan ini. Selain tak ada duit, ada satu lagi alasan popular kenapa pelajar malas balik. Alasan itu adalah – segan.

Kenapa segan? Kata sahabat saya:
“Segan la, sebab ilmu tak cukup lagi. Orang akan expect tinggi pada kita yang belajar di Timur Tengah ni.”

Hem, kena diambil iktibar kata-katanya itu. Sudah belajar jauh-jauh, patut ambil peluang. Tidak sama sebenarnya studi di perantauan berbanding studi di dalam Malaysia. Studi di perantauan lebih terbuka dan pemikiran lebih jauh. Kadang-kadang, jauh sampai tak terjangkau. Itu masalah juga. Semua benda ada sahaja pro dan kontra. Tapi sejauh mana kita ambil kebaikan di dalam medan dan peluang yang kita ada, maka itu persoalan yang sebenarnya perlu kita ambil tahu dan rasa.

Baru-baru ini, ALLAH izinkan saya berlari di sekeliling rumahNya, dan menziarahi makam Rasul-Nya, kekasih-Nya.

Alhamdulillah.

Saya baru sahaja menunaikan umrah, semasa cuti musim panas.

Teringat Lagu Outlandish yang bertajuk Beyond Words:

I ran around the black house, the ancient black house
Built by Ibrahim, peace be upon him, circlin' 24 no doubt
I got closer, as did my heart, as did my soul, amazing
How everyone had their attention only on worshippin'
All concerns forgotten, focused on prayin'
Forgettin' everything matters and happenings just giving

Rasa diri ini macam melayang ketika berlari di sekeliling Kaabah semasa melakukan tawaf. Perasaan yang tidak pernah saya rasa selama hidup saya di atas dunia ini. Bercampur baur. Namun, pengharapan kepada kasih sayang ALLAH adalah yang tertinggi ketika itu. Rasa takut apabila laungan “ Labbaikallahumma labbaik” itu ditolak. Rasa takut bahawa ALLAH tidak memandang. Sudah bergerak sejauh ini, tetapi sia-sia. Takut, takut yang aneh. Bukan takut semakin menjauh seperti takutnya kita dengan Pak Belang, tetapi takut yang membuatkan kita semakin mendekat.

Semasa saya berada di Masjidil Haram, ada seorang pelajar UTP bernama Zainol. Dia berumur 19 tahun. Saya memang mengambil peluang untuk bersembang dengan mana-mana Melayu yang saya jumpai, lebih-lebih lagi kalau dia duduk di sebelah saya di dalam Masjid.

Mendengar saya ini pelajar University of Yarmouk Jordan, dia terus mengadu akan masalahnya.
“Bang, kenapa ya, saya berdiri di hadapan Kaabah, dah ziarah Makam Rasulullah, tetapi saya tak menangis? Sedangkan saya tahu besarnya ALLAH, dan perjuangan Rasulullah. Kenapa saya tak menangis?”

Saya, secara jujurnya terasa dengan pertanyaannya. Ya, saya amat cemburu dengan manusia lain yang saya lihat menangis sehingga basah wajahnya ketika menghadap Kaabah dan menziarahi Makam Rasulullah. Saya? Biar saya rahsiakan urusan saya.

Saya bersembang-sembang dengan Zainol tadi. Saya bersembang dengannya berkenaan ALLAH, dan nikmatNya kepada kita. Akhir sembang saya, saya kata: “ Kita, tidak menangis, kerana hati kita masih ada ego.”

Tidak semena-mena, Zainol tadi menangis teresak-esak.

Ego, kadang-kadang kita junjung ego kita, hatta di hadapan Kaabah. Ego untuk tunduk, walaupun kita tahu ALLAH itu Maha Besar. Kadang-kadang, kita rasa ego sebab kita tahu itu ini. Da’ie boleh rasa ego dengan menyatakan orang lain kotor dan dia rasa dirinya bersih kerana dia seorang pejuang deen ALLAH. Sebab itu kadang-kadang, apa yang kita sampaikan langsung tidak menyentuh jiwa manusia melainkan hanya melekat di cuping telinga kemudian dilupa.

Saya tidak rasa, saya mentazkirah Zainol apabila melihat air matanya yang mengalir. Dalam hati, saya merasakan bahawa Zainol itu didatangkan kepada saya, untuk saya sendiri bermuhasabah diri. Ego, ya, masih melekat dalam jiwa kita sebenarnya, cuma kadangkala kita tidak perasan. Tidak hairanlah, apabila kita berseorangan di kala malam pun, mengadu meminta kepada ALLAH dengan rasa penuh berharap pun, air mata kita tidak tumpah. Bukan kerana kita tidak beriman, tetapi kerana kita ego. Rasanya, dengan air mata yang tumpah kerana ALLAH, kita seakan jadi rendah.

Kerendahan kita kepada ALLAH sebenarnya adalah satu ketinggian.
“ Adapun hamba-hamba Ar-Rahman itu adalah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah hati…” Surah Al-Furqan ayat 63.

Banyak lagi pengajaran yang saya dapati dalam perjalanan melaksanakan umrah. Ternyata, diri ini masih jauh lagi hendak menyaingi sahabat-sahabat as-sabiquunal awwalun. Tapi, saya tak akan lupa kata-kata guru saya, Pakcik Rosdi:
“Kita ini, tidak boleh rasa puas hati dengan taraf kita sekarang di sisi ALLAH. Kena sentiasa sasarkan matlamat untuk tingkatkan lagi darjat kita di sisi ALLAH”

Ya. ALLAH, ALLAH, ALLAH dan ALLAH. Itulah matlamat kehidupan kita. Datang daripadaNya, kembali kepadaNya, maka semestinya hidup untuk DIA.

Berdiri di tengah lorong-lorong yang dipijak para sahabat, duduk di raudhah yang pernah sahabat-sahabat bersempit di dalamnya, dan berdiri di hadapan makam Rasul yang pernah sahabat-sahabat hadapi hari hitam di kala kewafatan baginda, saya rasa saya rendah dan terasa seperti saya sedang bermain-main dalam kehidupan saya.

Pulang dengan seribu cita-cita bermatlamatkan satu perkata – keredhaan ALLAH sebelum dipanggil semula ke sisi-Nya –
Kita ini, tiadalah sesiapa sebenarnya. Hanya seorang hamba, yang diberikan peluang untuk berusaha, di atas dunia yang sementara sahaja.

Sama-sama, kita muhasabah diri, dan koreksi kondisi jiwa dan hati.

Salam rantau daripada saya. Semoga perkongsian ini bermakna, dan dikira sebagai saham di sisi-Nya.
Sama-sama terus kita menembak doa untuk diri, keluarga, dan sahabat-sahabat kita.