fbpx

Dakwah Perlu Seiring Dengan Media Baharu

Dakwah Perlu Seiring Dengan Media Baharu

Dakwah Perlu Seiring Dengan Media Baharu

PUTRAJAYA, 17 Dis 2017 – Pengaruh teknologi media baharu semakin meresap ke urat saraf masyarakat hingga memerlukan para pendakwah untuk pantas menyesuaikan kaedah berdakwah dengan perkembangan ini.

Seramai 166 peserta Konvensyen Wanita Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya pada 17 Disember lepas didedahkan tentang peranan unggul media baharu yang jika tidak dimanfaatkan akan merugikan umat. Tema Konvensyen kali ini ialah “Wanita dan Media Baharu”.

Perasmi konvensyen, Pengarah Bahagian Penyelarasan, Pemantauan dan Penilaian, Jabatan Pembangunan Wanita Encik Mohd Hazimin Jamaludin, telah memberikan ucaptama yang bertajuk ‘Peranan Wanita dalam Era Media Baharu’. Beliau mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau menceritakan beberapa kisah krisis yang melanda semua lapisan masyarakat masa kini yang terdedah dengan arus media baharu yang negatif. Kata beliau, ancaman terkini kepada golongan wanita ialah digunakan sebagai ‘keldai dadah’ akibat bermulanya keterbukaan maklumat diri, aktiviti harian, gambar dan lain-lain di media sosial seperti Facebook. Bagi golongan belia, ancaman adalah dadah yang dijual secara sintetik seperti gula-gula melalui aplikasi WeChat. Bagi golongan yang telah berumahtangga pula melibatkan pergaulan bebas melalui media sosial sehingga mampu meruntuhkan rumahtangga yang telah dibina.

“Penganjuran konvensyen wanita ini adalah satu usaha yang tepat kerana dakwah kepada masyarakat kini perlu seiring dengan teknologi dan media baharu memandangkan tiada siapa yang dapat menghalang keterbukaan media sosial ini kecuali dengan kembali kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Ini saja yang akan dapat memimpin kita untuk memperbetulkan akhlak manusia. Dengan akhlak inilah kita akan mendapat panduan dalam menggunakan media baharu secara positif,” jelas beliau.

Sebelum itu, majlis telah diserikan dengan alunan bacaan ayat Al-Qur’an oleh Ustaz Mohammad Naqib Hamdan. Ini diikuti dengan nyanyian penuh bertenaga lagu NegaraKu dan lagu rasmi HALUAN.

Ucapan aluan disampaikan oleh Pengarah Konvensyen merangkap Ketua Biro HALUANITA, Dr. Zurina Muda. Beliau mengalu-alukan kehadiran semua peserta dari seluruh Malaysia kerana telah memanfaatkan hujung minggu dan kesempatan yang Allah SWT berikan untuk menghadiri majlis yang bermanfaat bagi menambah ilmu pengetahuan. Beliau turut menyentuh tentang Revolusi Industri Ke-Empat (4IR) atau revolusi digital dan betapa perkembangan teknologi perlu seiring dengan manusia sebagai pengguna dengan kata-kata ungkapan ‘teknologi itu baik namun tangan yang menggunakan teknologi itu juga perlu lebih baik.’

Konvensyen kali ini diserikan dengan slot penyampaian kertas kerja bertajuk ‘Pendidikan dan Perkembangan Anak-anak di Zaman Teknologi Masa Kini’ oleh Prof. Madya Dr. Zulaiha Ali Othman. Manakala di sebelah petang pula dibentangkan forum bertajuk ‘Sinergi Keluarga dan Kerjaya’ yang membariskan ahi panel terdiri daripada Ustaz Salleh Saad, Prof. Madya Dr. Fariza Md Sham serta moderator forum, Ustazah Amirah Ahmad Zain.

Objektif konvensyen antara lain adalah untuk menyedarkan wanita tentang peluang dan cabaran dalam berperanan dalam Era Media Baharu. Ia juga bertujuan membincang dan menggariskan panduan dalam proses pendidikan dan perkembangan anak di zaman teknologi masa kini, sertai mengimbangi urusan rumahtangga, keluarga dan kerjaya.

Selain daripada pembentangan kertaskerja, kovensyen turut menampilkan pelbagai pameran dan gerai jualan barangan dan perkhidmatan bagi memeriahkan lagi suasana. Program khusus untuk anak-anak kecil dan remaja turut disediakan bagi memberi peluang dan ruang kepada ibubapa mereka agar lebih fokus dalam konvensyen yang berlangsung.


Laporan oleh Jawatankuasa Dokumentasi, Konvensyen Wanita Kebangsaan 2017

Barisan tetamu kehormat
Ucaptama dan perasmian, Encik Mohd Hazimin
Penyampaian kertas kerja oleh PM Dr Zulaiha Ali Othman (kanan)
Sesi forum “Sinergi: Keluarga dan Kerjaya”
Peserta sedang tekun mendengar pengisian