fbpx

Dakwah Itu Seni

Dakwah Itu Seni

Dakwah Itu Seni

Dakwah Itu Seni, Dan Seni Itu Indah, Maka Dakwah Itu Indah. Berada jauh dari tanah air tercinta. Nun, di tanah gersang Syam yang menjadi saksi pertempuran hebat tentera muslimin menentang Roma dalam peperangan Yarmouk.

Biarpun berada di bumi gersang, jiwa-jiwa yang tercampak jauh di sini bukanlah gersang, malah semuanya merupakan jiwa-jiwa yang mahu diisi dengan keimanan dan kesemuanya berpotensi besar.

Jika di lihat dari kaca mata pendakwah, semuanya objek dakwah yang harus dirancang proses pentarbiahan, agar potensi besar yang dimiliki mereka benar-benar diasaskan keimanan dan tidak dimanipulasikan oleh jahiliah.

Penyebaran fikrah Islamiah, pembentukan rijal-rijal aqidah perlu diagendakan.

Dakwah itu indah.

Bagaimana yang dikatakan bahawasanya dakwah itu indah? Bagaimana tidak indah apabila ianya adalah berkongsi rasa indah. Berkongsi indahnya nikmat iman dan Islam. Kata orang, makan berkongsi menggunakan talam itu lebih indah dan akan menyimpan kenangan manisnya yang tersendiri berbanding dengan makan sendirian.

Begitu juga nikmat iman dan Islam. Ianya indah dan akan menjadi lebih indah apabila dikongsi rasa indah tersebut. Maka rugilah bagi mereka yang tidak mahu berkongsi keindahan nikmat iman dan Islam kerana mereka sebenarnya belum mengecapi keindahan yang lebih indah.

Dakwah itu seni.

Dakwah itu ada seninya yang tersendiri. Langkah-langkah dalam berdakwah itu ternyata perlu kepada ‘kepala’ sang daie yang yang sangat seni dan kreatif. Setiap mad’u rencananya berbeza. Ittisol fardi, ‘surat cinta’ buat mad’u, ziarah menziarahi, hadiah istimewa buat mutarabbi dan lain-lain lagi. Belum lagi kisah mahu ajak mereka serius dan konsisten dengan proses pentarbiahan diri, perlu kepada cara halus lagi berseni.

Maka pendakwah itu seharusnya seorang pakar seni. Namun untuk menjadi pakar seni dakwah ini tidak boleh hanya dengan mempelajari teori-teori, namun ia memerlukan semangat tinggi untuk memulakan karya seni dan memulakan karya! Mungkin akan berlaku beberapa kesalahan sepanjang berkarya, namun belajar untuk memperbaik karya dari hari ke hari itu juga ada seninya. Dan yang paling penting, jangan biar diri antum tidak berkarya kerana gusar antum akan punya ‘tangan kayu’ jika antum tidak memulakannya dari sekarang.

*Tangan kayu: Tangan yang sudah tidak mampu berkarya. Menyamakan dengan seseorang sudah tidak mampu dibentuk lagi.
Awas! Jangan terlalu lama di medan teori.

Jauh dari murabbi, asah potensi besar kita.

Jauh dari mereka yang sudah lama lagi berpengalaman dalam dakwah dan tarbiah itu sebenarnya ada keistimewaannya yang tersendiri. Syuyukh, murabbi tempat rujuk anak-anak muda yang baru mengenal dunia dunia dakwah dan tarbiah. Mereka yang jauh dari syuyukh dan murabbi pula bagaimana?

Jauh dari murabbi itu bukan alasan untuk tidak bergeraknya dakwah dan tarbiah. Namun, jauh dari mereka itu membuka peluang untuk kita belajar menjadi murabbi.

Perlu mengurus, menangani dan mengatasi masalah. Semuanya memerlukan kefahaman yang mendalam dalam amal Islami. Ia benar-benar melatih untuk menjadi murabbi. Latihan untuk menjadi murabbi!

Ingat lagi aduan biasa yang kami nyatakan kepada seorang syuyukh:

“Kami tiada murabbi di sini.”

Kata Syuyukh:
“Jika begitu, kalianlah murabbi.”

Iya, mengapa meminta sesuatu yang agak mustahil wujud. Jika tiada murabbi, maka proses diri serta sahabat-sahabat untuk sama-sama menjadi murabbi.

Akhir Kalam

Penulisan ini adalah dari seorang yang baru berjinak dalam dakwah dan tarbiah. Namun tidak mahu berada di pinggiran tarbiah sahaja, kerana berada dipinggiran itu menyamai tidak bergabung dengan dakwah dan tarbiah itu sendiri. Moga Allah menguatkan kita dan moga Allah ampuni kita.

Wallahu’alam.

‘Adnin Binti Ibrahim
Tahun 3, Fiqh dan Usul Fiqh
Universiti Yarmouk.