fbpx

Dakwah Cina: BHF Latih Mahasiswa MEDIU

Dakwah Cina: BHF Latih Mahasiswa MEDIU

Dakwah Cina: BHF Latih Mahasiswa MEDIU

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2018 – Membujur lalu melintang patah. Itulah semangat yang ditanamkan dalam minda mahasiswi jurusan agama Al-Madinah International University (MEDIU) yang sangsi untuk berkongsi Islam dengan warga bukan Islam.

Bertempat di bilik seminar Masjid Al Khosyiin di Taman Desa Petaling pada 20 Mei lepas, seramai 11 orang pelajar IPT berkenaan didedahkan mengenai kaedah berkongsi Islam dengan masyarakat Cina secara berhikmah. Latihan diberikan oleh dua jurulatih Biro HALUAN Fitrah (BHF).

“Objektif utama kami adalah melatih relawan BHF di kampus kami agar berkeyakinan dalam berdakwah kepada masyarakat not yet muslims, khususnya orang Cina yang ramai tinggal di kawasan perumahan sewaan mahasiswa MEDIU di kawasan ini,” menurut Cik Saliemah Azmin selaku penganjur kursus separuh hari itu.

Beliau turut mengakui bahawa kebanyakan mahasiswa aliran agama sangat terhad pendedahan mereka kepada budaya dan pergaulan dengan masyarakat majmuk sehinggakan mereka kekok walaupun untuk bertegur sapa.

“Inilah polemik yang kami sedang hadapi. Sedangkan kita tahu mereka adalah orang-orang yang baik tetapi tidak pernah mendengar pasal Islam. Terasa ruginya kami bila tidak dapat berkongsi dengan mereka kecantikan dan keunikan agama ini. Fear factor kami terlalu menebal hingga dakwah tidak dapat berjalan,” ujar beliau.

Pembentangan tajuk “Cina Malaysia Sebagai Mad’uu Kita” telah dibuat bersama oleh Ketua BHF, Dr Basir Towil, dan Exco BHF Pusat, Encik Mohamad Najib Mohd Noor. Pembentangan berkenaan sangat bermanfaat kepada peserta kursus kerana ia telah berjaya mengupas tatasusila bangsa Cina di Malaysia hingga boleh mengenalpasti budaya, suku kaum, kosentrasi lokasi, dialek, ketuhanan dan pantang-larang bila berkongsi Islam dengan mereka. Rata-rata peserta menjadi amat teruja dengan pembentangan ini yang menjadi bahan pendedahan terbaru bagi mereka dalam membuka jalan untuk berdakwah.

Dengan penerangan selama dua jam tersebut yang tersemat dalam minda mereka, mahasiswi berkenaan diajar pula tentang tajuk Jom Dakwah Kampus oleh Encik Mohamad Najib.

“Sesi empat jam bersama jurulatih BHF ini benar-benar membuat kami teruja kerana kami tidak pernah tahu atau alami sebelum ini apa yang bermain dalam fikiran masyarakat Cina di Malaysia. Kami sudah mulai faham bahawa terlalu banyak prejudis dalam fikiran mereka, kebanyakannya kerana mereka tidak mendapat penjelasan yang logik serta kesilapan kita orang Melayu Islam sendiri yang membuat Islam itu jadi tidak menarik kadangkalanya.”

“Kami diajarkan untuk muhasabah diri dan dakwah ini tidak boleh stereotype kerana setiap bangsa, setiap suku dan setiap agama akan ada kelainannya yang kena kita fahami dan santuni dengan betul,” jelas Saliemah, pelajar tahun tiga bidang bahasa dan kesusasteraan arab.

Tambah Dr Basir pula, “melalui sesi soal-jawab di jam terakhir, kita berjaya capai kata sepakat dengan para mahasiswi MEDIU bahawa pintu dakwah dengan Cina Malaysia terbuka amat luas. Borang soalselidik kursus berkenaan rata-rata menunjukkan bahawa peserta sudah mula memahami kaedah dakwah yang betul dan masih inginkan pendedahan tambahan untuk mempersiapkan diri mereka berdakwah di sekitar kampus baru mereka.”


Laporan Mohd Najib Mohd Noor, Biro HALUAN Fitrah

Peserta kursus MEDIU khusyuk pelajari ilmu dakwah
Mohd Najib (kanan) fokus kepada Dakwah Kampus
Majoriti peserta dari aliran agama
Dr. Basir dalam mode mengajar peserta MEDIU