fbpx

COVID 19: Ubah Masalah Kepada Peluang

COVID 19: Ubah Masalah Kepada Peluang

COVID 19: Ubah Masalah Kepada Peluang

SHAH ALAM, 19 Apr 2020 – Islam meletakkan harapan yang cukup tinggi buat mahasiswa dan mahasisiwi Muslim agar menjadi tunjang dalam menegakkan agama Islam.

Dengan penularan pandemik COVID-19 sekarang ini, semua pihak turut terkesan termasuk golongan mahasiswa. Perkongsian bersama Naib Presiden 1 HALUAN, Prof. Madya Dr. Solehuddin Shuib dalam slot “Bicara Siswa” mengenai bagaimana mengubah masalah kepada peluang disiarkan secara langsung di Facebook HALUAN semalam.

“Jika sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahasiswa sering dikaitkan dengan pelbagai permasalahan terutamanya sindrom 4K iaitu kuliah, kafeteria, katil dan khayal (media sosial), adakah permasalahan ini masih berlaku ketika musim PKP? Segelintir mahasiswa mudah menurut hawa nafsu mereka sendiri hingga mereka kehilangan identiti sebagai seorang Muslim. Mereka dengan mudah melayari laman-laman web yang tidak sepatutnya dilayari. Hakikatnya, semua permasalahan ini sebenarnya boleh diubah menjadi satu peluang jika mereka bijak menanganinya,” tegas beliau.

Sebagai seorang mahasiswa Muslim, kita perlu jelas tentang hala tuju kita yang sebenarnya. Seorang Muslim yang hidupnya tanpa hala tuju yang jelas, tidak akan terlepas daripada menjalani kehidupan yang terumbang-ambing. Oleh itu, kita perlu jelas tentang konsep hidup yang betul, objektif kita menuntut ilmu juga mesti betul dan dalam masa yang sama kita haruslah membina kekuatan dalam menghadapi realiti kita sekarang.

Terdapat beberapa action plan yang boleh dilaksanakan untuk mencapai hala tuju yang sebenar. Action plan ini tidaklah terhad semasa musim PKP sahaja, malah boleh dilaksanakan juga sebelum dan selepas PKP.

Yang pertama, kita perlu bina kekuatan iman dengan meninggalkan segala larangan Allah SWT dan memperbanyakkan amal soleh. Iman yang kuat boleh menjadi benteng buat kita seperti yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang bermaksud,

“Sungguh menghairankan urusan orang beriman. Semua urusannya baik, apabila mendapat nikmat kesenangan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.”

Yang kedua, memantapkan ilmu fardu ain dan fardu kifayah.

Yang ketiga, persiapkan diri kita dengan sahsiah dan akhlak islamiah yang mantap. Rasulullah SAW merupakan contoh dan ikutan terbaik buat kita dalam menerapkan sahsiah yang mantap. Sifat-sifat yang tercela harus kita singkirkan daripada diri kita dan terapkan sifat-sifat yang baik sahaja.

Yang keempat, persiapkan diri kita dengan pengalaman-pengalaman. Experience is the best teacher. Pendedahan dan pengalaman kita dalam organisasi Islam sangat penting kerana dari situ kita dapat mengasah bakat kepimpinan, komunikasi dan menjadikan kita orang yang matang,” kongsi beliau.

Seterusnya, Dr. Solehuddin turut berkongsi mengenai cara-cara untuk mengubah masalah kepada peluang. Langkah-langkah tersebut ialah:

  1. Terima apa jua keadaan dengan hati terbuka.
  2. Fokus kepada jalan penyelesaian.
  3. Nilai pilihan yang kita ada.

Kesimpulannya, untuk menjadi pendokong-pendokong Islam yang hebat, kita haruslah membuat persiapan yang mantap daripada segi keimanan, ilmu, fikrah dan sahsiah.

Semoga perkongsian beliau dapat memberi suntikan buat mahasiswa di seluruh Malaysia untuk mempersiapkan diri sebagai pendokong-pendokong Islam dan memanfaatkan fasa PKP ini dengan perkara-perkara yang membina kompetensi diri. Ikuti rakaman penuh video Bicara Siswa ini di pautan berikut:

Sukarelawan HALUAN bergegas melaksanakan projek kebajikan membantu Frontliners dan masyarakat terpinggir yang terkesan akibat pandemik virus COVID-19 ini. Anda juga boleh turut serta membantu kami dengan menderma melalui pautan di bawah ini. Semoga derma anda termasuk amal soleh yang diredai Allah SWT:

Pek Makanan Negaraku

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.


Laporan Tengku Hannah Tengku Abd Rashid, Biro Media Kelab Siswa HALUAN