fbpx

Cemas Evakuasi Serangan Syiah Hausi

Cemas Evakuasi Serangan Syiah Hausi

Cemas Evakuasi Serangan Syiah Hausi

SEPANG, 8 Apr 2015 – Ibarat berkayuh sambil bertimba bila mendengarkan saat-saat akhir sebelum Dr Nor Azian Hasnan meninggalkan bumi Yaman yang kini bergolak dek perang saudara. Yaman kini memasuki episod baru dengan serangan gabungan tentera bersekutu Arab diketuai Arab Saudi yang cuba menyahkan Yaman daripada kaum syiah Hausi yang telah berani mengangkat senjata secara besar-besaran dengan dokongan syiah Iran.

Dalam temubual khas bersama mediaHALUAN Selasa kelmarin di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur sewaktu tiba bersama 46 rakyat Malaysia yang lain, Dr Nor Azian yang juga ahli Exco Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) menceritakan detik-detik cemas sebelum diarahkan pulang ke tanahair. Beliau merupakan salah seorang daripada ratusan rakyat Malaysia yang sedang menuntut ilmu di sana, mengambil kursus intensif bahasa Arab di Sana’a Institute of Arabic Language selama tiga bulan. Di sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Baru sebulan berlalu dan masih bersedap-sedapan mentelaah pelajaran tetapi keadaan peperangan memaksa beliau pulang ke pangkuan suami dan anak-anak yang ditinggalkan.

“Tentera udara Arab Saudi menyerang Sana’a hari Khamis. Pada malam itu, kami tersentak dari tidur dek bunyi letupan dan tembakan yang kuat, sayup-sayup kedengaran kadangkala. Perumahan universiti kami berhampiran dengan lapangan terbang jadi kami dalam lingkungan sasaran. Pada masa itu, kami tidak tahu yang menyerang itu adalah tentera Saudi. Guru dan rakan Yaman kami kemudian memaklumkan bahawa Saudi hanya serang markas tentera Hausi,” katanya.

“Keesokkannya, serangan semakin intensif di siang hari pula. Semakin dekat bunyi letupan dan tembakan sehinggakan ada seketika pintu bilik kuliah kami bergegar. Saya menjangka pusat serangan sekitar 10 – 20km dari tempat kami. Seharian bunyi serangan macam semakin dekat. Kami terasa amat cemas namun kami gagahi, sehinggalah diarahkan evakuasi oleh pihak Kedutaan Malaysia di sana,” jelas beliau.

Dr Azian bersama lebih 156 orang lagi rakyat Malaysia termasuk beberapa orang rakyat Singapura, Thailand dan Indonesia terpaksa bergegas meninggalkan Sana’a menuju ke arah barat ke bandar pelabuhan Hudaydah di persisiran pantai. Penerbangan dari Sana’a sudah tidak mungkin lagi.

“Semasa di dalam perjalanan, guru dan rakan Yaman kami memberitahu melalui telefon bahawa puak syiah Hausi telah mula memecah masuk ke perumahan awam dan menangkap kaum lelakinya, terutamanya golongan cendekiawan dan profesor-profesor universiti kami. Mereka ini menjadi sasaran syiah kerana mereka disyaki menentang Hausi dan membekal maklumat kepada pasukan Arab Saudi melalui laman media sosial mereka. Saya tidak tahu akan nasib mereka selepas itu,” kata beliau dengan nada sayu.

Beliau juga mendapat maklumat bahawa tentera syiah Hausi telah memecah masuk asrama pelajar Al Ulum tempat beliau belajar di mana kebanyakan mereka adalah warga asing dan menangkap mereka. Nasib mereka tidak diketahui.

“Kami mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia atas sebab keselamatan. Kami diberitahu oleh orang Yaman sendiri bahawa perang kali ini berlainan dari yang dulu-dulu. Kalau dulu perang hanya di antara kabilah-kabilah, tidak sampai mengebom dari udara seperti sekarang. Kini di antara syiah Hausi dengan kerajaan Yaman itu sendiri. Saya amat bersimpati dengan rakan-rakan Yaman saya yang rata-ratanya sangat baik akhlak dan sikap mereka. Mereka terpaksa harungi kepahitan peperangan yang tidak mereka jangka ini. Universiti kami sudah mulai ditutup sejak hari pertama serangan. Saya jangka rakan dan guru-guru saya akan bersembunyi untuk selamatkan diri mereka. Mereka akan berhijrah keluar untuk tidak menjadi sasaran puak Hausi yang ganas itu. Kami diberitahu bahawa serangan mereka adalah mengikut sasaran. Mereka menangkap para pemuda untuk memaksa mereka berperang di pihak mereka menentang Saudi kerana Hausi kekurangan anggota sebenarnya.”

Pada Sabtu lepas, pihak kedutaan memaklumkan perintah evakuasi kepada rakyat Malaysia di sana. Namun proses ini tertangguh seminggu lamanya sebelum mereka dapat bergerak ke Hudaydah beberapa hari selepas itu. Dengan empat buah bas, mereka diangkut ke arah barat dalam perjalanan lebih empat jam menuruni kawasan tinggi gunung. Sana’a terletak di kawasan tinggi melebihi 3,000 kaki dari paras laut.

Di Hudaydah, perancangan asal untuk menaiki pesawat dbatalkan dan mereka bermalam di bandar itu. Keesokannya, rombongan itu diarah memasuki Arab Saudi melalui jalan darat, menghala ke utara ke bandar Jazan. Dari Jazan ke Jeddah perjalanan sejauh 700km itu tidak lagi mengalami apa-apa masalah.

“Kami sekeluarga sudah merasai suasana keheningan menggarap ilmu lughah di bumi Yaman sebelum ini. Pengalaman saya sendiri, saya dapati orang Yaman sangatlah baik, meraikan kami selaku tetamu di sana dan sangat membantu untuk kami cepat memahami Arab. Tiga daripada anak-anak kami pernah di sana selama setahun untuk memahirkan diri dalam Arab. Suami saya juga sempat belajar selama enam minggu di sana. Mendengar pujian mereka tentang budaya dan sistem pembelajaran Arab di sana telah merangsang saya untuk pergi sendiri. Famili saya sokong setelah mereka rasa terkesan dengan kaedah pembelajaran Arabic di sana. Saya gagahi juga untuk pergi walaupun terdengar ada pergaduhan di sana-sini semasa saya hendak terbang ke Yaman,” katanya dengan sedikit kekesalan di wajah kerana terpaksa akur dengan arahan evakuasi itu.

Difahamkan masih ada lagi rakyat Malaysia di sana yang bertahan tidak mahu pulang ke Malaysia kerana meyakini peperangan ini akan singkat dan keadaan akan kembali normal. Ada di kalangan pelajar enggan pulang kerana mereka sudah di akhir pembelajaran mereka, cuma menanti peperiksaan akhir. Dianggarkan ada sekitar 600 pelajar Malaysia di sekitar Sana’a, Hadramaut dan Aden.

Berlawanan dengan apa yang cuba diburuk-burukkan oleh media asing, Dr Nor Azian menyifatkan bumi Yaman sebenarnya damai dan subur dengan pelbagai cabang ilmu sehinggalah suasana diporak-perandakan oleh kaum minoriti syiah Hausi yang cuba mengguling kuasa Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi yang telah memerintah sejak 27 Februari 2012.

Bila ditanya harapan dan aspirasi beliau selepas ini, Dr Nor Azian dengan sedikit sebak berkata, “harapan dan doa saya adalah agar rakyat Malaysia dan Yaman amnya diberikan Allah perlindungan dan kebaikan. Saya mendoakan keamanan akan kembali di bumi Yaman selepas ini dan kami dapat kembali menagih ilmu di sana. Bagi yang telah membantu kami dengan susah payah terutamanya pihak Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia untuk kembali ke tanahair dengan selamat, saya ucapkan berbanyak terima kasih di samping bersyukur kepada Allah SWT.”

World Health Organization (WHO) menganggarkan lebih 540 orang telah terkorban dengan 1,700 lagi tercedera dalam kancah peperangan pelbagai penjuru di Yemen sejak bulan Mac lepas sehingga 6 April. Peperangan sengit terutama di Bandar Aden di selatan Yaman antara syiah Hausi dengan tentera dokongan President Hadi telah meragut seramai 140 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak. Sekurang-kurangnya 74 kanak-kanak disahkan mati sejak Mac 26, sementara 44 orang lagi cedera, menurut United Nations Children’s Fund (UNICEF). Dianggarkan lebih 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Laporan Bro.Y, mediaHALUAN