Catatan Perjalanan Ke Pekan
Kami bertolak dari Bilik Gerakan Banjir HALUAN Pahang di Kuantan menuju ke Penor. Kawasan Penor sudah surut dari banjir.
Untuk sampai ke Pekan, relawan perlu menaiki bot di Penor. HALUAN mendapat bantuan dari ATM & JPA3. Perjalanan akan menuju ke Kg Ubai, mengambil masa 45minit hingga 1 jam. Dari Ubai, kita boleh menaiki trak perkhidmatan awam, iaitu ATM dan Bomba. Tetapi keadaan jalan yang diliputi arus air deras, kemudahan agak terhad. Kami terlepas satu trak ATM, jadi perlu menuggu kira-kira 4 jam untuk trip seterusnya. Sementara menunggu, kami sempat memberi khidmat di pusat pemindahan di Sek keb Kg Ubai. Khidmat perubatan dan aktiviti anak-anak.
Sambutan sangat-sangat baik. Dalam anak-anak sibuk dengan aktiviti kendalian relawan keARAH, warga dewasa sibuk menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di klinik ‘tergempar’ kami. Dalam kesibukan itu, kami dapat mesej ada trak ATM baru sampai. Mangsa-mangsa banjir kelihatan kecewa, baru sampai dah nak pergi. Kami cuba terangkan keadaan – kalau tertinggal trak ini, mungkin tak akan lepas langsung ke Pekan. Ada yang boleh terima, ada yang seperti tidak puas hati. Tiba-tiba datang mesej baru – tak boleh naik trak, sebab trak tersebut membawa bahan letupan. Jadi, kami teruskan aktiviti yang sedang rancak berjalan.
Kira-kira 40 minit kemudian, datang lagi mesej bahawa satu trak bomba akan tiba. Katanya kami diberi keutamaan kerana keperluan medik di Pekan sangat kritikal. Kami masih teruskan aktiviti. Anak-anak begitu gembira, dapat terima hadiah. Hadiah belon saja, kami tak bawa buah tangan lain, kerana misi kami bukan di Ubai. Ada beberapa majalah HALUAN – kami jadikan juga hadiah. Wah! gembira sungguh anak-anak Ubai. Doktor hadkan bilangan pesakit yang menanti, memandangkan trak hampir tiba.
Trak bomba sampai seperti yang dijanjikan, walaupun lewat sikit. Katanya ada lori tersangkut dan mengganggu perjalanan. Doktor berjaya habiskan rawatan pesakit yang menunggu. Kami bergegas, mengemas barang. Timbul sedikit kekecohan – rupanya makcik-makcik di situ sibuk memasak untuk kami. Mereka sudah siap memasak, sedangkan kami mesti menaiki trak dengan segera. Puas memujuk. Puas mengelak dan meyakinkan mereka. Kami kena pergi jugak! Akhirnya, minum air saja. Mereka setuju dan terima, walaupun airmuka sebahagian dari mereka seperti tidak menerima.
Jadi alhamduliLlah setelah begitu lama menuggu, kami akhirnya berjaya menaiki trak. Mengharung air. Ada tempat perlu berhenti beberapa ketika, tidak pasti kenapa. Ada tempat menggegarkan trak. Arus air melintasi jalan sangat deras.
Selepas satu jam perjalanan, kami sampai di Lamir. Keadaan agak sesak, seperti jeti pengangkutan air. Ada yang baru sampai, ada yang baru hendak pergi. Trak akan terus ke bandar Pekan, tapi kami diminta turun. Saya tak pasti, jadi ikut saja. Rupanya ada 2 kereta Polis dan sebuah van sedang menanti kami. Saya masih tak pasti, sebab maklumat ini tidak diberi kepada kami. Tanya ketua Misi, dia kata Polis akan bawa kita ke SHAH, pusat operasi banjir. Polis suruh naik kereta, selepas semua relawan ready, kami bergerak.
Agak jauh juga. Sempat berborak-borak dengan abang polis tersebut. Dia orang lokal. “Puas pujuk orang tua saya, taknak pindah.” Ramai orang tua yang taknak pindah. Alhamdulillah akhirnya ayah dia setuju. Kata dia lagi, makanan mahal, ikan tenggiri RM23 sekilo. Daging murah, RM8 sekilo. Tapi makanan kat kedai tak ada sangat, habis stok. Minyak tak ada juga. Hari itu Petronas berjaya meredah air dari Rompin. Jadi alhamdulillah ada satu stesen Petronas beroperasi. Dia tunjuk stesen Petronas tersebut – ya Allah, panjangnya beratur. Setiap orang boleh isi RM20 saja.
Tak habis dengar cerita abang polis tersebut, sampai di SHAH. Alhamdulillah, di SHAH mereka memang menunggu ketibaan kami.
Itulah catatan perjalanan kami. Rupanya, khidmat medik tersangat kekurangan. banyak lagi kampung-kampung yang tidak mendapat kunjungan medik. Maka bermulalah tugas.