fbpx

Cabaran cuaca sejuk di Kashmir, Pakistan

Cabaran cuaca sejuk di Kashmir, Pakistan

Cabaran cuaca sejuk di Kashmir, Pakistan

15 Okt 2005 : Dalam kesibukan HALUAN mengatur persiapan terakhir untuk menghantar pasukan perubatannya yang pertama ke Kashmir, Pakistan, pelbagai isu telah dibincangkannya.

Di antaranya ialah mengenai cabaran-cabaran yang dijangka terpaksa dihadapi oleh anggota pasukannya. Ini termasuklah masalah cuaca yang tidak menentu di sana.

Ketika ini, iklim di Kashmir adalah di sekitar 13 darjah Celsius. Dan di dalam beberapa hari yang mendatang, kadar suhu dijangka akan terus menjunam. Keadaan tersebut akan menjadi lebih teruk pada malam hari.

Tambahan pula, menurut beberapa agensi berita antarabangsa, hujan dan angin ribut yang turun melanda di kawasan bencana turut memburukkan keadaan. Malah di sesetengah tempat, telah berlaku banjir hingga menyukarkan pergerakan misi kemanusiaan.

Ketika memberikan taklimat mengenai perkembangan terkini di Kashmir, Dr Roniyuzam Bin Abdul Malek berkata, “Anda perlu membuat persediaan yang rapi memandangkan keadaan cuaca di sana jauh berbeza berbanding dengan iklim tempatan. Pada waktu siang hari, pakaian jenis baju-t mungkin mencukupi untuk anda. Tetapi pada malam harinya, beg tidur yang tebal pun barangkali tidak dapat melindungi anda daripada kesejukan.”

Dr Roniyuzam yang pernah mengunjungi daerah bencana tersebut beberapa tahun yang lalu, turut boleh berbahasa Urdu. Beliau mempunyai pengalaman yang luas di dalam misi perubatan antarabangsa hasil daripada penyertaannya di dalam beberapa pasukan perubatan yang lain sebelum ini. Di dalam Misi Kemanusiaan Pakistan-Kashmir (MKP) yang dianjurkan oleh Haluan Malaysia, beliau akan mengetuai pasukan yang pertama.

Ketika mengulas mengenai bencana gempa bumi tersebut, Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman berkata bahawa peristiwa itu adalah suatu kejadian bencana alam yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji manusia.

Menurutnya lagi, HALUAN akan menghantar pasukan perubatan ke kawasan bencana tersebut pada 19hb Oktober ini. Tindakan ini dibuat berasaskan kepada perintah Allah di dalam surah al-Maaidah, ayat 2 yang berbunyi, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya).”

Kata beliau, “Kehidupan saling bantu-membantu sesama manusia adalah sesuatu yang bersifat tabii berasaskan kepada prinsip asas moral kemanusiaan. Namun sebagai seorang Islam, sifat bantu-membantu tersebut hendaklah berteraskan kepada prinsip asas akhlak keislaman yang dipandukan oleh hubungan dengan Pencipta manusia, iaitu Allah s.w.t.”

“Kita harus memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan, tanpa mengira bangsa, agama dan sempadan kenegerian. Apatah lagi sekiranya mangsa-mangsa adalah terdiri daripada orang Islam, tuntutan kepada kita untuk memberikan bantuan kepada mereka adalah jauh lebih besar lagi kerana itu adalah hak mereka”.

Sambung beliau lagi, “Bantuan yang boleh diberikan tidaklah terhad. Sekiranya kita mempunyai kelayakan dan kepakaran di dalam bidang perubatan, sudah tentulah kita boleh menyumbangkan kepakaran dan tenaga kita itu. Sementara itu, sekiranya kita tidak mempunyai kelayakan di dalam bidang perubatan, kita masih tetap boleh memberi bantuan-bantuan yang bermakna. Ini adalah kerana sumbangan-sumbangan di dalam bentuk yang lain selain daripada perubatan, terutamanya kewangan dan alatan, pasti akan banyak membantu meringankan beban saudara-saudara kita seislam yang sedang menderita akibat bencana gempa bumi tersebut.”

Orang-ramai boleh membuat sumbangan kepada mangsa-mangsa gempa bumi melalui HALUAN di akaun berikut:
Nama Akaun: Tabung Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 14023010025718
Bank: Bank Islam Malaysia Berhad