fbpx

Bola dan Derma Seiringan

Bola dan Derma Seiringan

Bola dan Derma Seiringan

BUKIT JALIL, 9 Dis 2012 – Kempen Kutipan Kecemasan Palestin yang dilancarkan oleh Biro HALUAN Palestin pada 21 November yang lalu terus digencarkan sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil semalam apabila pemuda HALUAN mengambil inisiatif bekerjasama dengan pihak pentadbiran stadium melaksanakan kutipan dana di perkarangannya tersebut sempena perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 di mana Malaysia menentang Thailand.

Bermula seawal jam 3 petang, seramai 40 tenaga relawan HALUAN dari pelbagai daerah sekitar Lembah Klang mula berkumpul di perkarangan surau berhadapan Star LRT Bukit Jalil sebelum memulakan operasi. Walaupun hujan lebat mulai turun, perancangan tetap diteruskan dan ia sedikit pun tidak melunturkan semangat para relawan yang berkobar-kobar untuk memulakan operasi kutipan dana.

Para relawan HALUAN memulakan operasi dengan meredah hujan membimbit tabung dana Biro HALUAN Palestin menuju ke perkarangan dan pintu-pintu masuk stadium tersebut. Penyokong-penyokong bola Malaysia telah memberikan sambutan yang hangat terhadap kempen kutipan tersebut. Dalam masa yang singkat sejumlah RM10,202.60 telah dapat dikumpul.

Selesai solat maghrib, operasi Kutipan Kecemasan Palestin diakhiri dengan ucapan penutup oleh Ketua Biro Pemuda HALUAN Cawangan Selangor, Encik Hasri Ahmad. Antara kata-kata beliau, “Saya berasa amat gembira dengan kehadiran pemuda-pemuda yang begitu prihatin dengan masalah ummah dan mampu meluangkan masa bersama-sama dengan aktiviti kesukarelawanan untuk membantu saudara kita di Palestin. Kepada para penderma saya ucapkan syabas. Pengorbanan tuan-puan akan diganjari Allah SWT.”

Bagi penderma yang ingin turut sama menyumbang bolehlah menghulurkan sumbangan anda ke akaun berikut:

Tabung Palestin HALUAN
Maybank: 564490208528
Bank Islam: 14023010034292

“Bersatu Untuk Palestin.”


Laporan Ahmad Salman Ali, MediaHALUAN