fbpx

Biro HALUANITA Johor Anjur Seminar Muhasabah Cinta

Biro HALUANITA Johor Anjur Seminar Muhasabah Cinta

Biro HALUANITA Johor Anjur Seminar Muhasabah Cinta

KOTA TINGGI, 15 Mac 2014 – Biro HALUANITA Johor dengan kerjasama Kolej Profesional Mara (KPM) Bandar Penawar telah menganjurkan seminar Mahligai Impian Siri 1 2014 bertajuk “Muhasabah Cinta” dan bertemakan “Intai Cinta Menuju Jannah” pada 15 Mac di kolej berkenaan di Bandar Penawar.

15 orang ahli HALUANITA telah membantu menjayakan seminar tersebut dengan kerjasama ahli HALUAN lain serta beberapa kakitangan KPM. Seramai 451 peserta terdiri daripada kalangan pelajar IPT dan juga ibu bapa telah mengikuti seminar tersebut yang telah dirasmikan oleh Dr. Baharuddin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan yang mewakili YDP HALUAN Cawangan Johor. Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak KPM kerana terus berkerjasama dengan HALUAN Johor dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang memanfaatkan masyarakat.

Program “Mahligai Impian” merupakan aktiviti tahunan Biro HALUANITA Johor yang terangkum dalam agenda Program Pembangunan Remaja dan Keluarga kelolaan HALUAN. SeminarMuhasabah Cinta ini adalah sebagai pembuka tirai bagi tahun 2014 yang merupakan penganjuran kali yang ke enam sejak tahun 2008. Siri pertama untuk tahun 2014 ini memfokuskan kepada golongan anak muda dalam rangka menangani masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak masyarakat yang amat membimbangkan dalam era teknologi maklumat masakini.

Penceramah Encik Noorazman Shamsudin telah membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Hakikat Cinta Dan Pengurusannya.” Antara lain beliau mengajak peserta memahami tentang makna cinta sebagai zat yang amat besar di dalam jiwa serta agungnya cinta dalam hati sehingga kita menjadi rindu kepada Allah SWT. Beliau menjelaskan tentang cinta yang bermanafaat iaitu cinta akan Allah, mencintai kerana Allah dan mencintai apa yang membantu untuk melaksanakan ketaatan dan menjauhi laranganNya.

Beliau menyentuh juga tentang cinta yang berbahaya iaitu cinta sesuatu bersama Allah (syirik), cinta sesuatu yang dibenci Allah (maksiat) dan mencintai sesuatu yang memutuskan cinta Allah serta menguranginya. Menurut beliau, cinta hakiki adalah sebagai perjuangan dan pengorbanan menuju Allah sambil mengupas konseppengurusan cinta, kesan serangan cinta jahiliyah dan cinta kampus, antara kebahagian dan kehancuran masa depan remaja.

Kertas Kerja 2 bertajuk “Agar Cintamu Meraih Mahabbatullah” telah disampaikan oleh Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin. Beliau menjelaskan tentang cinta nombor satu iaitu cinta pada Allah SWT, serta penting untuk memperbaiki niat dan matlamat hidup. Meraih cinta Allah SWT lebih beruntung daripada segalanya, manakala cinta ibu bapa harus mengalur kepada cinta Allah SWT. Seseorang itu harus bijak memilihsambil celikkan cinta yang buta agar sentiasa bergantung pada Allah SWT.

Dari maklum balas peserta seminar, program ini telah berjaya mencapai objektif yang digariskan. Antara lain para peserta mengharapkan agar pihak HALUAN dapat menganjurkan lagi program seumpama ini di masa terdekat supaya remaja lebih jelas tentang matlamat hidup dan tidak mudah terpedaya dengan permainan dunia. Peserta juga mengharapkan agar program berkenaan dilanjutkan lagi untuk memuatkan lebih pendedahan melalui slot forum, perkongsian pengalaman dan sebagainya. Majlis penutup telah disempurnakan oleh wakil Pengarah KPM, Encik Musa Muhamad Ali, Ketua Jabatan Pengurusan dan Perniagaan merangkap Penasihat Jawatankuasa Surau Dan Usrah KPM, Bandar Penawar.

Laporan oleh Puan Supini Sardan
HALUANITA Johor