fbpx

Biro Ekonomi HALUAN Lancar Portal Jaringan Usahawan (MuBIN)

Biro Ekonomi HALUAN Lancar Portal Jaringan Usahawan (MuBIN)

Biro Ekonomi HALUAN Lancar Portal Jaringan Usahawan (MuBIN)

Kota Kinabalu Dis 19 – Suasana perniagaan hari ini begitu kompetitif dan memerlukan jaringan kerjasama yang strategik.


Usahawan seharusnya mempunyai jaringan yang luas bagi mendapat kelebihan persaingan yang kuat. Jaringan ini akan dapat membina dan mengekalkan semua hubungan oleh seseorang usahawan dengan pengguna di sekelilingnya untuk faedah bersama.

Menyedari hakikat penting ini, Biro Ekonomi HALUAN mengambil satu inisiatif bagi menyediakan kemudahan bagi usahawan dan masyarakat pengguna untuk membina jaringan pemasaran dan kerjasama dengan menggunakan kemudahan teknologi internet.

Portal jaringan yang dinamakan “Multi Business International Network,” atau ringkasnya MuBIN, telah dilancarkan dalam satu majlis ringkas sempena Seminar Usahawan, Profesional dan Koperasi yang sedang berlangsung di sini.

Dalam ucapannya ketika melancarkan MuBIN, Ketua Biro Ekonomi HALUAN Tn Hj Rosli Adam berkata bahawa MuBIN akan memberi kemudahan kepada semua lapisan masyarakat untuk berkongsi maklumat perniagaan dan pemasaran secara meluas. “Melalui MuBIN, insya Allah kita akan dapat membina jaringan kerjasama di kalangan usahawan samada di dalam negara mahupun di peringkat serantau. Kita harapkan kemudahan ini dapat membuka peluang perniagaan dan kerjasama dengan lebih luas dan sentiasa berkembang maju,” kata beliau.

Tn Hj Rosli juga berharap agar usahawan akan menjadi lebih maju dan kompetitif dengan menggunakan kemudahan internet dan teknologi komunikasi yang ada pada hari ini. “Adalah menjadi satu kelemahan yang serius sekiranya kita tidak dapat memanfaatkan teknologi yang ada pada hari ini untuk cuba menandingi perniagaan-perniagaan besar,” tegas Tn Hj Rosli lagi.

Antara lain, MuBIN menyediakan kemudahan direktori perniagaan bagi usahawan membina jaringan dan mempamerkan produk dan servis mereka. Bagi pengguna-pengguna awam, mereka juga dapat menggunakan MuBIN untuk memasarkan jualan mereka melalui kemudahan pengiklanan.

MuBIN juga menyediakan khidmat soal-jawab bagi usahawan dan pengguna mendapat penjelasan dan maklumat berkaitan keusahawanan, pengurusan, dan lain-lain bidang muamalat. Bagi tujuan ini, beberapa orang pakar dalam bidang keusahawanan, pengurusan dan fiqh muamalat akan menjawab semua persoalan yang dikemukakan.

Semua kemudahan ini disediakan secara percuma. MuBIN boleh dicapai di www.mymubin.com.