fbpx

BHF Gandingi Pasukan Banun FC Orangasli

BHF Gandingi Pasukan Banun FC Orangasli

BHF Gandingi Pasukan Banun FC Orangasli

GRIK, PERAK, 23 April 2018 – Semangat dakwah di kalangan orangasli di daerah ini disemarakkan dengan sukan bola sepak yang melibatkan para pemuda dari beberapa buah kampung di kawasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun, Tasik Banding di daerah Grik.

Melalui sukan bola sepak yang digemari, selain sepak takraw, semangat kesukanan ini membangkitkan syiar dakwah dengan para remaja dan pemuda apabila teriakan “Allahu Akbar, subhanAllah dan ya Allah” berkumandang di padang bola. Di bawah pimpinan Ustaz Askee Ali selaku pengurus pasukan serta jurulatih mereka, nama-nama kampung terpencil jauh di pedalaman hutan diharumkan bila bakat-bakat bolasepak diserlahkan semasa proses seleksi pemain.

“Saya berterima kasih kepada Biro HALUAN Fitrah (BHF) kerana sudi membantu kami di sudut kewangan. Bukan mudah untuk saya jelajah kampung-kampung mencari pemain dan membawa mereka setempat untuk latihan dan perlawanan,” kata beliau yang juga orang asal suku Jahai pemastautin di Kampung Sungai Raba dekat sini dan pendakwah di lokaliti.

“Ada peserta yang kami kena angkut dengan bot dan 4WD. Kena beli minyak bot, sewa bot, makan-minum semasa latihan, jersi dan lain-lain kos. Ini semua saya lakukan untuk menampilkan keyakinan diri mualaf-mualaf orangasli yang merasa rendah diri kerana mereka orang susah. Tapi dengan Islam, saya berhasrat untuk mereka merasa yakin dengan diri dan mampu jadi yang terbaik,” katanya penuh yakin kepada wartawan HALUAN.

Pemain dipilih dari Kampung Sungai Raba seramai 11 orang, Kampung Sungai Tiang empat orang, Kampung Semelor dua orang dan Kampung Pengkalan Permai tiga. Ustaz Askee mahukan yang terbaik untuk pasukan gandingan orangasli beliau. Anak muda yang dilatih menjadi pendakwah oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Perak serta JAKIM itu sangat bercita-cita tinggi.

“Untuk perlawanan pada tahun ini, kami selesai dengan hanya satu perlawanan dan akan bermain semula selepas raya puasa. Perlawanan pertama pasukan kami tewas dengan Basia FC 2-1. Ini sedikitpun tidak mematahkan semangat juang kami orang asli di RPS Air Banun ini. Bagi saya, team muda kami ini perlukan lebih banyak pendedahan untuk memantapkan semangat mereka bermain berpasukan,” ujar beliau.

Pada setiap tahun, pasukan Banun FC akan menyertai liga Gerik yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Gerik. Askee berhasrat membawa pasukan orang kampungnya ke peringkat yang lebih tinggi.

Bila ditanya apakah kelebihan pasukan beliau yang dianggap underdog, Ustaz Askee penuh bersemangat menjawab, “kelebihan pasukan Banun FC adalah disiplin pemain kami yang amat baik, dengar dan patuh arahan, dan sentiasa beri komitmen yang tinggi. Sukar bagaimana sekalipun, mereka akan keluar dari bukit dan lembah menyeberangi Tasik Banding ini semata-mata kerana mahu menaikkan nama Air Banun. Ini saya tidak dapat nafikan.”

Proses pemilihan pemain biasanya akan berdasarkan prestasi semasa perlawanan-perlawanan yang dianjurkan di peringkat liga atau kalah singkir RPS Banun. Beliau mengakui bahawa banyak kelemahan yang masih perlu diperbaiki oleh pasukan rimba belantara beliau terutama komunikasi bersuara di tengah padang. Ini kerana lazimnya orangasli tidak menempik dalam kehidupan seharian melainkan perlu semasa masuk memburu.

“Harapan saya sebagai pengurus pasukan Banun FC ialah supaya masyarakat saya ceburi dalam bidang sukan dan manfaatkan bakat serta kebolehan yang ada hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Saya cuba membantu dan mengubah kehidupan anak-anak muda masyarakat saya dari segi sukan dan apa aktiviti yang mereka gemari,” katanya.

“Dengan cara ini juga, mudah untuk saya mengajak mereka ke arah kebaikan dan mendidik tentang solat, aurat dan sebagainya. Saya harap HALUAN akan terus membantu pemuda-pemudi masyarakat kami supaya kami tidak ketinggalan dan insyaAllah nanti di setiap aktiviti yang kita rancang saya akan libatkan mereka sekali untuk membantu kita bersama,” kata Ustaz Askee penuh yakin.

Semangat berkobar ustaz muda ini turut disokong oleh Ketua Biro HALUAN Fitrah (BHF), Dr. Basir Towil. Kata beliau, yang sudah beberapa kali menziarahi perkampungan orangasli sekitar RPS Air Banun, usaha mendekati remaja dan pemuda-pemudi di situ memang menjadi agenda utama HALUAN Malaysia yang meletakkan nilai yang tinggi terhadap potensi orang muda.

“Saya yakin jika diberikan peluang, anak-anak orangasli akan cemerlang sama dengan anak-anak orang lain di luar sana. Kesedaran, keyakinan diri dan suadaya akan terus BHF salurkan kepada mereka. Saya difahamkan bahawa ada beberapa orang anak remaja kampung sekitar Air Banun ini telah berjaya memasuki kolej-kolej vokasional di Perak ini. Dan khabarnya mereka berjaya di segi akademik dan ada yang menjadi atlit dan ahli sukan yang unggul di kolej masing-masing. Kami di BHF akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Ustaz Askee agar projek dakwah melalui sukan beliau terus mendapat sambutan,” tambah beliau.


Laporan mediaHALUAN

Barisan ulung Banun FC
Bergiat jalani latihan
Lambang Banun FCrah
Ustaz Askee Ali selaku pengurus Banun FC dan jurulatih