fbpx

Bersyukur Itu Senang Tetapi Sering Kita Lupa

Bersyukur Itu Senang Tetapi Sering Kita Lupa

Bersyukur Itu Senang Tetapi Sering Kita Lupa

“Bila musim sejuk datang, cuaca terus berubah. Suhu turun mendadak, selalu hujan dan angin pun mula bertiup dengan kencang. Di saat-saat inilah teringat negara sendiri.

Panas, sampai berpeluh bagai tetapi alangkah bertuahnya kalau setiap hari pun adalah musim bunga. Tak terlalu panas, tak terlalu sejuk. Pemandangan pun cantik, penuh dengan tulip yang berwarna-warni. Kan bagus kalau Malaysia ada musim bunga…”

Walaupun hanya sekadar luahan hati yang kadang-kadang kita sendiri pun tak sedar, tetapi di situlah nilai syukur kita kepada Allah SWT diuji. Kita mungkin bersyukur apabila doa kita dikabulkan. Kita mungkin bersyukur sekiranya apa yang kita inginkan tercapai. Tetapi di saat-saat sukar, di saat kita ditimpa bencana, adakah lafaz syukur masih meniti di bibir kita. Sebenarnya dalam apa jua keadaan pun kita kena bersyukur.

Walaupun ditimpa ujian dan kesulitan hidup, bersyukurlah kerana Allah pilih kita untuk menjadi orang yang dekat denganNya. Kerana Allah mahukan hambaNya untuk sentiasa mengingatinya dan meminta kepadanya. Sebesar manapun ujian yang kita hadapi, ingatlah ada ramai lagi orang lain yang ditimpa ujian yang lebih dasyat lagi. Dengan itu, kita akan nampak ujian yang kita hadapi itu sebenarnya kecil sahaja. Pasti Allah akan memberi jalan keluar. Ada disebutkan di dalam ayat al-quran yang meminta kita untuk bersyukur:

Hai orang-orang yang beriman! Makanlah di antara rezeki yang baik yang kami berikan kepadamu. Dan bersyukurlah kepada Allah jika memang hanya dia saja yang kamu sembah. (Al-Baqarah: 172)

Jika kita hitung nikmat Allah, memang cukup banyak. Tak terkira. Dari hujung kepala sehinggalah ke hujung kaki. Semuanya adalah nikmat. Makanan dan rezeki yang kita dapat setiap hari adalah nikmat. Dilahirkan dan dibesarkan dalam islam adalah nikmat. Berpeluang menyambung pelajaran di luar negara juga adalah nikmat. Betapa banyaknya nikmat Allah yang kita lupa. Dan kita sibuk menghitung kurniaan-kurniaan Allah kepada orang lain yang tidak ada pada kita. Kerana itulah kita tidak pernah merasa puas dengan apa yang kita ada. Setiap manusia diciptakan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tetapi yang membezakannya adalah bagaimana kita memaksimakan segala potensi dan kelebihan yang kita ada untuk islam dan sejauh mana usaha kita untuk mengubah kekurangan tersebut menjadi satu peluang.

Kata orang jauh perjalanan luas pemandangan. Memang luas. Tetapi yang luasnya adalah pemikiran. Berada di negara orang menyebabkan kita cenderung untuk membuat perbandingan. Contohnya kawan-kawan yang berbeza agama. Kawan sekelas yang sama-sama belajar, sama-sama menyiapkan assignment, sama-sama lewat ke kuliah tetapi sayangnya berbeza fahaman. Sedih. Tidak ada yang kurang pun pada mereka. Baik hati, suka menolong orang, memahami, sentiasa bersama kita sewaktu susah dan senang tetapi hidayah itu milik Allah SWT dan hanya Dia sahaja yang berhak menentukan siapa yang akan mendapat hidayah tersebut. Jadi bersyukurlah kerana kita dilahirkan sebagai seorang islam dan agama yang kita anuti hari ini adalah agama yang diredai Allah SWT iaitu islam. Kita tidak ditakdirkan untuk berada di tempat mereka, untuk menganuti agama lain dan hidup dalam keadaan merasakan itulah agama yang terbaik. Bersyukurlah.

Pernah sekali ana mengikuti program yang dianjurkan oleh badan ISOC disini dan itu adalah kali pertama ana berjumpa dengan seorang lelaki berbangsa inggeris yang memeluk islam pada usianya 32 tahun. MasyaAllah, apabila ana dengar kuliah yang disampaikan olehnya, ana terpegun dengan semangat yang dia ada dan ilmu yang dia cari sedangkan dia masih baru memeluk islam. Katanya setiap dari kita mempunyai potensi yang cukup besar yang boleh kita sumbangkan kepada agama. Cuma persoalannya mahu ataupun tidak. Dan dia melahirkan rasa bersyukur yang amat kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi salah seorang yang boleh menyumbang kepada Islam kerana dia merupakan seorang pensyarah. Dia menggunakan segala medium yang ada untuk tujuan dakwah dan mencari sumber ekonomi yang stabil dengan berniaga. Strategi yang cukup mantap.

Begitulah yang sepatutnya kita buat. Bersyukur kerana mampu menyumbang sesuatu untuk Islam. Tak kiralah dalam bidang apa sekalipun, pasti ada sesuatu yang kita boleh beri kepada islam sebagai membalas rasa syukur kita kepada Allah SWT Sehinggakan dengan diri kita pun kita boleh berdakwah kerana di tengah-tengah masyarakat yang beragama Kristian, kita adalah duta kepada Islam. Tanpa sedar, sebenarnya gerak-geri kita sentiasa diperhatikan oleh mereka. Tunjukkanlah contoh yang baik kepada mereka. Bukannya susah, percuma je, tak perlu bayar pun.

Semoga Allah memelihara hidayah yang kita ada dan semoga Allah memberi hidayah kepada kawan-kawan kita yang lain untuk memeluk Islam.

Syahidah bt Zulkifli
B.Ed TESL,
University College Plymouth St. Mark & St. John, UK.