fbpx

Berhati-hatilah Dengan Ujian Kecintaan Dunia

Berhati-hatilah Dengan Ujian Kecintaan Dunia

Berhati-hatilah Dengan Ujian Kecintaan Dunia

Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Malaysia kini tiba ke hari kedua. Ketika memulakan ucapan aluan beliau pada para perwakilan dan pemerhati, Presiden HALUAN Malaysia Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman menyeru ahli-ahli HALUAN supaya berhati-hati dengan pengaruh kecintaan terhadap dunia yang boleh menyebabkan mereka tercicir daripada meneruskan kerja dakwah dan tarbiah yang telah sekian lama dihayati dalam kehidupan.

Dr Abdullah Sudin berkata, “setiap saat kita akan diuji dan kita bimbang terhadap pengaruh kecintaan kepada dunia akan memalingkan kita dari jalan kebenaran.” Beliau merujuk kepada ayat al-Quran daripada surah al Kahfi, ayat 28 yang bermaksud,

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.”

Memang telah menjadi fitrah, di mana dunia ini dijadikan oleh Allah untuk sebagai medan ujian kepada manusia, apatah lagi kepada hamba-Nya yang beriman. Justeru Dr. Abdullah menyeru agar ahli-ahli HALUAN sentiasa peka dengan tanggungjawab mereka dan berterusan istiqamah membina kekuatan iman dan taqwa.

“Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal,” sebagaimana maksud ayat al-Quran ke-131 daripada surah Thaha.

Di akhir ucapan, Dr Abdullah Sudin mendoakan agar semua anggota HALUAN tetap istiqamah dan berusaha semaksima mungkin mewakafkan diri dengan segala yang dimiliki ke jalan Allah SWT.


Tulisan Abu Ridhwan, 1 April 2012.