fbpx

Belia Pasca Pandemik – Baris Hadapan Pencetus Pembaharuan

Belia Pasca Pandemik – Baris Hadapan Pencetus Pembaharuan

Belia Pasca Pandemik – Baris Hadapan Pencetus Pembaharuan

BANDAR BARU BANGI, 27 Nov 2021 – KOBAR semangat melalui atas talian – julung kali pertemuan cendekiawan muda berdiskusi mengenai masa depan mereka. Biro Pemuda HALUAN menganjurkan konvensyen tahunan Konvensyen Belia Relawan HALUAN (KOBAR)  dengan bertemakan slogan “Belia Sebagai Frontliner Norma Baharu” pada 27 November 2021. 

Berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, KOBAR 2021 diadakan secara atas talian kerana bahaya perebakan wabak COVID-19. Konvensyen ini telah berlangsung dari pukul 8:30 pagi hingga ke pukul 4 petang.

Berikutan keadaan wabak tersebut yang melanda dunia, begitu ramai yang menerima impak buruk – terutamanya belia. Tidak cukup dengan kehilangan pekerjaan, situasi ekonomi, sosial, rohani, mental dan emosi mereka turut terkesan. Maka, penganjuran konvensyen ini sedikit sebanyak bertujuan mengajak para belia mengambil nilai positif daripada musibah yang melanda, dalam masa yang sama mencari peluang untuk duduk di barisan hadapan dan menjadi peneraju utama pembaharuan umah meskipun berada dalam suasana yang sulit.

Sinonim dengan namanya, konvensyen ini mensasarkan penyertaan belia berusia 18 hingga 30 tahun. Pendaftaran yang telah dibuka sejak Oktober telah menarik lebih 700 penyertaan yang terdiri daripada belia seluruh Malaysia.

KOBAR 2021 telah dirasmikan oleh Naib Presiden 1 HALUAN, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Solehuddin Shuib. Dalam penyampaian ucaptamanya, beliau telah menyebutkan bahawa melibatkan diri dengan tugas sukarelawan merupakan tugas yang mulia serta dapat meningkatkan jati diri seseorang belia. Mereka juga perlu tahu cara memajukan diri dalam keadaan semasa serta perlu cuba mewujudkan pembaharuan, dalam masa yang sama tidak merobohkan perkara positif yang sedia ada.

Selesai acara perasmian, konvensyen diteruskan dengan diskusi pertama bertajuk “Kesukarelawanan Belia dalam Norma Baharu” yang disampaikan oleh pengasas Tadabbur Centre Sdn. Bhd, Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman. Sebelum rehat dan solat zohor, peserta disajikan dengan forum yang menampilkan insan-insan hebat seperti Ustazah Fatimah Syarha, Ustaz Izzat Ibrahim dan Encik Abdullah Fahmi yang merupakan ikon yang tidak asing bagi belia. 

Forum yang bertajuk “Belia dan Kesukarelawanan: Menyatu Ummah dengan Tugas Kemasyarakatan” ini mengupas pelbagai isu antaranya keikhlasan dalam melakukan kebaikan. Diskusi terakhir disampaikan oleh tokoh kewangan Islam Malaysia, Dr Zaharuddin Abd Rahman dengan tajuk “Kelestarian Ekonomi Belia dalam Norma Baharu.”

Konvensyen ini juga telah menerima tajaan daripada 13 penaja termasuklah PMA RICH (M) Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Mokti’s sebagai penaja utama. Penaja emas terdiri daripada Huecoatings Resources (M) Sdn Bhd, Bina Integrated Technology (Perak) Sdn Bhd, Saljoo Ice Cream serta Kelab Belia Haluan Ipoh atau KBHI Crew,. Kopsel Bhd, Perunding Ukur Ridhwan, SMA Rich Abundance Enterprise dan Versi Niaga Enterprise pula merupakan penaja perak. Tidak ketinggalan, Tisal Enterprise, CP Ample Trading, AHR Niaga Enterprise, serta Bashirah Collection sebagai penaja gangsa.

Maklumbalas yang diterima dari para peserta terhadap keseluruhan konvensyen menunjukkan komen dan respon positif. Ramai peserta menyatakan harapan agar dapat menyertai KOBAR lagi tetapi secara bersemuka pula di masa hadapan.


Laporan Biro Dokumentasi KOBAR 2021