fbpx

Barakah Usia Kena Segera Dikejari

Barakah Usia Kena Segera Dikejari

Barakah Usia Kena Segera Dikejari

PUTRAJAYA, 13 Apr 2020 – Semakin berusia seseorang muslim itu, semakin beliau perlu sedar akan pentingnya menjaga barakah usia agar ia menjadi insan yang berjaya ketika penyudah usianya nanti.

Barakah umur ini amat perlu dipupuk dan dijaga supaya tidak menjadi sia-sia begitu sahaja, pesan Naib Presiden 2 HALUAN, Ustaz Salleh Saad dalam kuliah Santai Dhuha bertajuk “Muhasabah Keberkatan Usia” yang disiarkan secara langsung oleh TV HALUAN pagi semalam.

“Nikmat iman dan nikmat Islam adalah dua anugerah Allah SWT yang paling besar untuk kita yang bergelar Muslim. Hanya orang Islam yang layak dapat yang ini. Walaupun manusia sedar akan kebesaran nikmat-nikmat ini, mereka tetap masih terpedaya dan alpa. Kata Sayidina Umar RA., wahai manusia, hisablah diri kamu sendiri terlebih dahulu sebelum kamu dihisab oleh Allah SWT. Bermakna, amalan muhasabah diri perlu diamalkan oleh setiap daripada kita dengan mengambil iktibar daripada peristiwa dan kisah yang lepas-lepas. Kita tidak mahu lagi mengulangi perkara-perkara yang ditegah Allah, maka kita cuba pertingkatkan kebaikan lebih daripada kejahatan dan maksiat, semua amalan yang bercanggah dengan hukum syarak kita tinggalkan dan kita segera bertaubat selepas itu,” pesan beliau.

Pada suatu hari, ada seorang lelaki bertemu dengan Rasulullah SAW dan bertanya, mana satukah manusia yang baik? Jawab baginda, orang yang Allah SWT panjangkan umurnya dan bertambahlah kebaikan pada dirinya dengan usia panjangnya itu. Orang itu bertanya lagi, mana satukah manusia yang dikatakan jahat? Jawab baginda pula, mereka adalah orang yang Allah SWT panjangkan usia mereka dan dengan itu bertambah-tambah kejahatan yang mereka perbuatkan.

“Sedarkah kita? Kita kadang kala meminta doa agar Allah SWT panjangkan umur kita, murahkan rezeki, tetapi kita sering lupa untuk minta Allah SWT jadikan diri kita ini manusia yg lebih baik akhlaknya, imannya. Kita masih ada sedikit lagi masa berbaki. Sudah tiada pilihan lagi untuk kita sebenarnya, kecuali memperbanyakkan amal kebaikan yang akan dapat menolong kita untuk balik kepada Tuhan dengan bukti amalan kita semasa hidup sebentar di dunia ini,” berkata Ustaz Salleh.

“Nabi dan Rasul Allah zaman dahulu Allah SWT panjangkan umur mereka sehingga 1,000, 300, 100 tahun. Tapi Allah SWT wafatkan Rasul SAW ketika berusia 63 tahun. Menunjukkan di akhir zaman, sabda Rasul SAW bahawa umur purata umat baginda adalah di antara 60-70 tahun. Sedikit sahaja yang akan dapat menjangkaui umur itu. Sebab itulah pentingnya kita menjaga agar umur kita ini sentiasa duduk dalam suasana barakah – segala kebaikan bertambah, berkembang dan bercambah semakin kita tua,” ulas beliau.

Umumnya, maksud barakah itu adalah memohon restu daripada Allah SWT agar kita diberikan kebaikan secara umumnya; umur, keluarga, sahabat, rezeki, anak pinak, harta dan lain-lain. “Barakah ini akan datang hanya dengan izin Allah SWT. Sebab itu kita kena rajin meminta dariNya,” katanya.

Seterusnya, Ustaz Salleh menggariskan apakah langkah-langkah yang boleh dimulakan agar barakah masih boleh raih sebelum tibanya ajal maut yang sering kita takuti.

Untuk mengetahui mutiara pesanan ini, silalah tonton rakaman penuh ceramah beliau di pautan di bawah.

HALUAN juga giat melaksanakan aktiviti kebajikan semasa pandemik COVID-19 ini dengan membantu para petugas Frontliners serta masyarakat umum yang terputus belanja dan bekalan makanan. Sukarelawan kami di seluruh negara sentiasa bergiat melaksanakan projek-projek sokongan ini untuk meringankan beban petugas dan masyarakat.


Laporan unit mediaHALUAN