fbpx

Bantuan Pendidikan Mangsa Gempa Pelarian Syria

Bantuan Pendidikan Mangsa Gempa Pelarian Syria

Bantuan Pendidikan Mangsa Gempa Pelarian Syria

GAZIANTEP, TURKIYE, 27 Mac 2023 – HALUAN menjadikan bantuan pendidikan antara tanggungjawab utama dalam membantu anak bangsa dan juga umat lslam di luar negara.

Pasukan Misi Kemanusiaan Turkiye-Syria telah melakukan lawatan dan penilaian ke atas salah sebuah pusat pendidikan alternatif untuk anak-anak pelarian Syria semalam di bandar Nizip, Turkiye. Bandar ini terletak 100 km dari sempadan Syria.

Pusat pendidikan ini dikendalikan oleh NGO Duat el Kheir yang menumpukan bantuan khusus untuk pendidikan kepada anak anak pelarian Syria melalui lima buah pusat pendidikan alternatif di Turkiye. Pusat pendidikan mereka di Antakya telah hancur musnah dalam kejadian gempa bumi baru-baru ini.

HALUAN bersetuju bekerjasama untuk membantu membaiki dan menambah baik pusat pendidikan mereka. Pusat berkenaan di Nizip sudah berada dalam keadaan luar kemampuan untuk menampung jumlah pelajar yang ramai. Pelajar belajar dalam keadaan bersesak-sesak dalam kelas yang sempit. Guru-guru mereka yang terdiri daripada pelarian Syria sanggup meneruskan tugas walaupun menerima upah di bawah kadar sepatutnya.

Pelajar serta guru tetap gigih datang ke pusat pendidikan setiap hari walaupun menghadapi serba kekurangan demi memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan. HALUAN akan menambah baik sekolah ini kepada pusat bantuan Syria Community Educare Centre (SCEC) sebagai menggantikan pusat SCEC di Sanliurfa yang ditutup akibat kerosakan gempa tempohari.

Semoga bantuan yang disalurkan oleh dermawan Malaysia melalui kempen Sejuta Barakah Ramadan 4.0 menerusi capaian “Bantuan Pendidikan” akan dapat menceriakan suasana pendidikan pelajar-pelajar yang memerlukan kerana tanpa pendidikan sesebuah negara tidak akan mempunyai masa hadapan yang cerah sebagaimana nasihat Al Marhum Syeikh Dr Yusof Qaradawi dalam kitabnya al-Rasul Wa al-‘Ilm (Rasulullah dan ilmu pengetahuan).

“Orang ramai sibuk berbelanja membina bangunan, tapi lupa membina modal insan. Jika modal insan yang berilmu tidak dibantu, kelak bangunan masjid yang gah dibina tetap kosong kerana tiada insan yang membuat pengisian atau memajukannya.

“Sikap ini perlu diubah. Jangan hanya suka makan telur sehingga lupa mengeramkan telur supaya menetaskan lebih banyak anak ayam yang akan menggandakan jumlah telur pada masa hadapan,” katanya.

——–

Laporan
Mohd Jamil Muda
Ketua Misi Bantuan
Turkiye-Syria 2023