fbpx

Bantuan Berjaya Diagih ke Damaskus

Bantuan Berjaya Diagih ke Damaskus

Bantuan Berjaya Diagih ke Damaskus

BANDAR BARU BANGI, 9 Apr 2013 — Berjuta cinta dari kami di Malaysia dan Indonesia untuk saudara di Syria! Syukur kepada Allah SWT, amanah rakyat Malaysia dan Indonesia untuk membantu mangsa kekejaman rejim Bashar di sekitar wilayah Damaskus telah ditunaikan. Dengan bantuan relawan warga Syria dan pelarian Palestin di lapangan, bantuan itu berjaya diserahkan kepada mereka yang sangat memerlukan di kawasan yang masih bergolak sengit itu.

Usaha menyampaikan bantuan yang tidak seberapa ini adalah hasil daripada sumbangan ikhlas rakyat Malaysia dan Indonesia yang disalurkan melalui HALUAN Malaysia dan Sahabat Al-Aqsha/Sahabat Suriah di Indonesia. Manakala kerja- kerja membawa masuk dan mengagih bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Al-Sarraa Foundation, sebuah rakan NGO HALUAN yang ditubuhkan oleh ulamak pejuang Palestin dan beroperasi di Palestin, Lubnan, Syria, Iraq dan negara- negara lain yang didiami oleh pelarian Palestin.

Para relawan Al-Sarraa Foundation bertahan di pinggir kota Damaskus bagi menjaga kebajikan mangsa kezaliman dan serangan rakus rejim Bashar. Mereka tidak pernah berdiam diri, bahkan bergerak secara sembunyi-sembunyi menyampaikan bantuan. “Orang-orang yang membantu rakyat yang kesusahan akan ditangkap oleh perisik. (Mereka yang ditangkap) dipenjara, disiksa. Tidak tahu bila mereka akan dibebaskan,” kata seorang relawan Al-Sarraa Foundation sebagaimana dipetik dalam laporan SahabatSuriah.com.

Kota-kota sekitar Damaskus seperti Douma, Daraya, Al-Kiswah, Ma’dhamiyyah, Joubar, Yarmuk dan lain-lain kini tidak lagi menjadi tempat yang selamat bagi rakyat Syria. Serangan tentera rejim Bashar baik dari darat mahupun udara masih berterusan siang dan malam. Malahan penyerbuan, penangkapan, dan penculikan dari rumah ke rumah juga masih terus berlaku. Tentara mahupun perisik rejim bila-bila masa sahaja boleh memecah masuk ke rumah rakyat dengan alasan mencari orang yang mereka curigai.

Pengarah Al-Sarraa Foundation, Abu Ahmad menyampaikan ucapan terima kasih di atas bantuan berterusan saudara mereka dari Malaysia dan Indonesia. “Kami ucapkan jutaan terima kasih yang tulus kepada masyarakat Malaysia dan Indonesia, yang cintanya bukan hanya di mulut, tapi juga diwujudkan dengan amal soleh. Semoga ini mempercepat turunnya kemenangan dari Allah Ta’ala.”

HALUAN melalui Biro Misi Kemanusiaan sentiasa mengikuti perkembangan terkini di bumi Syria. Ketuanya Dr Baharudin Suri berkata, “sejak awal krisis ini iaitu pada Mac 2011, HALUAN sedaya upaya mengajak masyarakat Malaysia untuk terus cakna terhadap musibah yg sedang dihadapi oleh umat Islam Syria dan menyalur bantuan kepada mereka. Selain daripada bantuan kemanusiaan yang dihantar terus oleh sukarelawan HALUAN di sempadan Turki dan Jordan, kami juga bekerjasama erat dengan NGO luar yang mempunyai akses ke lapangan, seperti Al-Sarraa Foundation di Damaskus dan juga Sahabat Suriah yang mempunyai pengalaman luas tentang Syria.” Tambah beliau, “Insya-Allah sekiranya keadaan mengizinkan beberapa sukarelawan HALUAN akan bersama NGO tersebut di lapangan pada bulan Mei ini.”

Sama-sama kita doakan keselamatan dan kemenangan untuk saudara kita di Syria. Teruskanlah membantu mereka, kerana ianya adalah satu kewajipan ke atas kita sebagaimana sebuah hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik RA, “seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Bahkan Abu Hurairah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda, “sesiapa yang membantu menyelesaikan kesusahan seorang mukmin dari satu kesusahan di antara berbagai kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan memudahkan salah satu kesusahan di antara berbagai kesusahannya pada hari kiamat. Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang dalam kesusahan nescaya akan Allah mudahkan baginya di dunia dan akhirat dan siapa yang menutupi (aib) seorang muslim, Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hambaNya selama hambaNya itu menolong saudaranya.”

Sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan melalui akaun Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN di Maybank no. 5622 6350 2611.