Bantuan Bencana Dihantar ke Kampung Dagang Tatau

Bantuan Bencana Dihantar ke Kampung Dagang Tatau

Bantuan Bencana Dihantar ke Kampung Dagang Tatau

TATAU, BINTULU, 13 FEB 2025 – Sebanyak 80 keluarga di Kampung Dagang di sini menerima bantuan kemanusiaan selepas dilanda bencana banjir yang melanda Bintulu baru-baru ini. Bantuan tersebut disalurkan melalui Masjid Darul Ibadah dengan kerjasama HALUAN Malaysia dan Yayasan Hasanah demi meringankan beban mangsa yang terjejas.

Aktiviti agihan bantuan diserahkan oleh Pengerusi Masjid Darul Ibadah, Encik Rizal Julaihi yang turut hadir untuk menyampaikan sumbangan berkenaan bersama pasukan HALUAN.

Sumbangan yang diberikan termasuklah barangan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, garam, sardin, kopi, teh, biskut, kicap dan sebagainya. Bantuan ini diharap dapat membantu mengurangkan kesulitan penduduk Kampung Dagang yang masih berusaha pulih daripada trauma banjir tersebut.

Sumbangan ini merupakan komitmen berterusan pihak HALUAN Malaysia dalam memberi sokongan kepada mangsa-mangsa bencana di kawasan tersebut. Bantuan seperti ini sangat penting dalam membantu masyarakat kembali pulih dan menjalani kehidupan mereka pasca bencana alam.

Menurut laporan daripada Team 1 Sarawak-Bintulu, program bantuan ini berjalan lancar dengan sokongan penuh daripada pihak masjid dan kepimpinan penduduk setempat. Penduduk kampung meluahkan rasa terima kasih mereka atas bantuan yang diterima.

Anda juga berpeluang berbakti membantu mangsa bencana dengan menderma secara dalam talian melalui pautan berikut: https://www.haluan.org.my/donations/bantuan-bencana-banjir-monsun-timur-laut-2024-2025/


Laporan Mahmood Izzat Ikhwani Huzaidi
Wartawan Media HALUAN di Bintulu.