fbpx

Baitulmaqdis Adalah Teras Kepada Isu Palestin

Baitulmaqdis Adalah Teras Kepada Isu Palestin

Baitulmaqdis Adalah Teras Kepada Isu Palestin

DOHA, 7 April 2012 — Baitulmaqdis adalah teras kepada isu Palestin dan ia hanya akan dapat dipulihkan melalui penentangan. Pengerusi Biro Politik Hamas, Khaled Mishaal berkata demikian semasa berucap di Festival Baitulmaqdis Keempat di sini.

Khaled Mishaal menegaskan, “Tidak akan ada Palestin serta isu Palestin tanpa Baitulmaqdis. Cabaran kita sebagai rakyat Palestin, Arab, Islam dan Kristian terletak pada bagaimana kita boleh mengembalikan Baitulmaqdis dan membebaskan Palestin.” Beliau seterusnya menyambung, “Baitulmaqdis telah dicuri dari kami oleh penceroboh dan ia hanya akan dapat dipulihkan melalui penentangan. Hari ini kita perlu lebih kuasa dan perpaduan, dan juga sokongan dunia supaya kita boleh mencapai matlamat tersebut.”

Pemimpin Hamas tersebut turut menekankan keperluan kepada perdamaian nasional dan mengenepikan semua perbezaan. “Tidak ada cara untuk pemulihan Baitulmaqdis dalam keadaan perpecahan. Perpaduan nasional adalah satu kemestian,” Mishaal berkata, sambil menambah bahawa perdamaian nasional itu akan kekal dalam agenda mereka tanpa mengira halangan.

Sebelum mengakhiri ucapan beliau, Khaled Mishaal berkata bahawa Kebangkitan Arab (Arab Spring) tidak akan lengkap sehinggalah “Baitulmaqdis dibebaskan”.

Baitulmaqdis merupakan kota ketiga terbesar dalam Islam, di mana terletaknya Masjid al-Aqsa yang mulia. Di situlah juga, dengan ketetapan Allah, telah berlaku peristiwa besar Israk dan Mikraj. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam, bukan sahaja bangsa Palestin atau bangsa Arab, untuk menyumbang terhadap apa jua usaha untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan keseluruhan bumi Palestin daripada terus dinodai oleh Zionis Yahudi.