fbpx

Bahaya Budaya Hendonisme Dan Kemewahan

Bahaya Budaya Hendonisme Dan Kemewahan

Bahaya Budaya Hendonisme Dan Kemewahan

Orang yang bijak ialah mereka yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan menjadikan dunia ini tempat untuk bercucuk tanam dan akhirat sebagai tempat untuk memetik hasil tanamannya.

عَنْ عَليِ بْنِ اَبِي طَالِبٍ يَقُوْلُ : اِناَّ لجَلُوُسٌ مَعَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَفِي اْلمَسْجِدِ اِذْ طَلَعَ مُصْعَبُ بْنُ عُمَيْرٍ مَا عَلِيْهِ إِلَّا بُرْدَةٌ لَهُ مَرْقُوْعَةٌ بِفَرْوٍ فَلَمَّا رَآهُ رَسُوْلَ اللهِ بَكَى لِلَّذِىْ كَانَ فِيْهِ مِنْ النِّعْمَةِ وَالَّذِىْ هُوَ الْيَوْمَ فِيْهِ ثمَُّ قَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كَيْفَ بِكُمْغَدَا أَحَدُكُمْ فِي حُلَّةٌ وَوُضِعَتْ بَيْنَ يَدَيْهِ صَحْفَةٌ وَرٌفِعُتْ اُخْرَى وَسَتَرْتمُْ بُيُوْتَكُمْ كَمَا تُسْتَرُ اْلَكَعْبَةُ, قاَلُوْا ياَ رَسُوْلَ اللهِ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ خَيْرٌ مِنَّا الْيَوْمَ نَتَفَّرَعُ لِلْعِبَادَةِ وَنُكْفَى اْلمُؤنَةَ فَقَالَ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا أَنْتُمْ الْيَوْمَ خَيْرٌ مِنْكُمْ يَوْمَئِذٍ . رواه الترمذي

Daripada Ali bin Abi Talib Radhiyallahu ‘anhu: “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair Radhiyallahu ‘anhu dan tiada di atas badannya kecuali hanya selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam melihat kepadanya, Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana terharu mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu ( kerana sangat dimanjakan oleh ibunya ) dan kerana melihat nasib Mus’ab sekarang ( ketika berada di madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kemewahan di Mekah. Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi ( menghiasi ) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Ka’abah?. Maka jawab sahabat, “ Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada ibadah sahaja dan tidak perlu mencari rezeki”. Lalu Baginda bersabda : “Tidak, keadaan kamu pada hari ini lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu”. (Hadith Riwayat Al-Tirmizi)

Berapa ramai di kalangan kita yang menyedari hakikat bahawa kemewahan, budaya hendonisme yang keterlaluan untuk mencari hiburan dan keseronokan serta tipu daya dunia banyak menghalang seseorang daripada melaksanakan ibadah kepada Allah, sepertimana fenomena yang berlaku pada umat Islam pada hari ini. Sedar atau tidak, betapa ramai umat Islam pada hari ini yang tertipu dengan keseronokan hiburan yang melampau dan tipu daya dunia yang mempersonakan. Kekayaan, kemewahan dan budaya hendonisme yang ada telah menyibukkan kita dan menghalang dari melaksanakan ibadah untuk mencari keredhaan Allah. Umat Islam pada hari ini dikelabukan mata dengan mengejar kemewahan dan mencari keseronokan yang berpanjangan tanpa memikirkan apakah persiapannya dan amalan untuk dibentangkan di hadapan Allah pada hari Kiamat nanti. Aduh, betapa malangnya nasib mereka yang tidak diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk mendapatkan kesedaran dan kefahaman Islam. Marilah bersama-sama kita saling ingat mengingati antara satu sama lain agar kita tidak tergolong di kalangan mereka yang jauh dari rahmat kasih sayang Allah. Adakah kita juga tergolong di kalangan mereka yang cintakan budaya hendonisme dan mengejar kemewahan dunia??

Kisah yang berlaku di kalangan salah seorang sahabat, iaitu Mus’ab bin Umair Radhiyallahu ‘anhu sudah cukup untuk membuatkan kita menitiskan air mata keinsafan dan sedar betapa hebatnya iman seorang sahabat yang sangat menyentuh hati kita. Memadailah apa yang digambarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam tentang beliau untuk dijadikan sebagai iktibar kepada kita. Hadis di atas menggambarkan kepada kita bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersedih dan menangis apabila mengenangkan nasib yang menimpa Mus’ab bin Umair. Beliau merupakan seorang anak bangsawan, yang selalu dimanjakan oleh ibunya, pakaiannya dahulu diperbuat daripada kain yang mahal, sehinggalah apabila kecintaannya kepada Allah dan RasulNya mengatasi segala-galannya, beliau sanggup tinggalkan segala kemewahan tersebut dengan memilih Allah dan RasulNya mengatasi segala-galanya. Banyak kitab sirah yang merakamkan kisah yang menyentuh hati ini, sehinggakan diceritakan apabila jenazahnya hendak ditutupkan di kepalanya, bahagian kain yang menutupi badannya terbuka di kakinya. Apabila ditarik ke bahagian kaki, kain kafan yang menutupi jenazahnya di bahagian kepalanya pula terbuka kerana kain tidak cukup lebar, sedangkan semasa hayatnya beliau merupakan seorang anak bangsawan yang kaya dan terkenal di Mekah.

Dalam hadith ini juga, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan bahawa umatnya pada suatu hari nanti akan memperolehi kekayaan, kemewahan dan kelapangan dalan kehidupan. Pakaian mereka yang cantik akan silih berganti setiap hari, hidangan makanan yang tidak pernah putus-putus, rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihasi dengan bermacam-macam perhiasan. Begitulah gambaran terhadap sifat tamak dan haloba manusia dalam menghimpun harta kekayaan yang tidak pernah cukup dan tidak puas melayan nafsu. Mereka sentiasa ingin mencari dan menambah kekayaan sehinggalah kematian datang menjemput mereka. Maka pada ketika barulah mereka sedarkan diri dengan seribu satu penyesalan, di saat sudah tidak berguna lagi penyesalan. Benarlah sepertimana yang pernah diingatkan oleh Rasululhah Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadithnya yang bermaksud : “ Seandainya anak adam itu mempunyai satu jurang emas, nescaya mereka akan berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah mereka dimasukkan ke dalam tanah (kematian). Orang yang bijak ialah mereka yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan menjadikan dunia ini tempat untuk bercucuk tanam dan akhirat sebagai tempat untuk memetik hasil tanamannya.

Susunan:
Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Pegawai Penasihat Agama
UiTM Sarawak