fbpx

Ayuh Tawan Puncak Gunung Jerai

Ayuh Tawan Puncak Gunung Jerai

Ayuh Tawan Puncak Gunung Jerai

GURUN, KEDAH, 25 Jun 2022 – Pendokong kelab H1KERS bawah Biro Sukan dan Rekreasi HALUAN telah menganjurkan ekspedisi mendaki Gunung Jerai. Seramai 26 orang peserta dan 4 orang juru pandu telah menyertai ekspedisi ini.

Ia  bermula dengan pengenalan oleh Pengarah Program,  Encik Mohd Diah Hamdan serta taklimat ringkas oleh ketua juru pandu, Encik Mohamad Harisan bin Mohd Zain. Pendakian bermula pada  pukul 8.45 pagi bermula di Tempat Parkir Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok. Para peserta mendaki dengan bersemangat menuju checkpoint satu iaitu Kem Kasut.

Mereka telah membuat persiapan yang rapi sebelum memulakan pendakian ini. Bermacam rintangan akan dihadapi bersama di sepanjang program ini. Akhirnya pasukan ini berjaya sampai di Kem Kasut sekitar 11.30 pagi. Di situ, peserta berehat sebentar sambil menikmati keindahan flora dan fauna di sekeliling hutang Gunung Jerai.

Mereka juga menjalankan aktiviti memungut sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung sepanjang perjalanan. Alangkah baiknya sekiranya setiap pendaki di masa hadapan lebih bertanggungjawab dengan membawa pulang semua sampah sarap serta sisa makanan mereka sendiri.  Supaya generasi akan datang dapat menikmati khazanah hutan kita yang tidak tercemar.

Jam 3.00 petang, para peserta selamat tiba di Puncak Kepala Angin berketinggian 1,100 meter dari aras laut. Mereka menikmati pemandangan panorama yang sangat cantik dan makan tengah hari di situ.

Seorang peserta veteran, Encik Hamdan Salleh telah memberikan pengisian yang bermakna untuk semua peserta dalam menempuh liku-liku kehidupan, mengambil ibrah daripada  sirah Rasullullah SAW bersama sahabat dalam perjalanan untuk melaksanakan umrah tetapi tidak diizinkan oleh pemerintah Mekah pada masa itu.

Semua peserta meneruskan pendakian tepat jam 4.00 petang menuju ke kawasan hotel Gunung Jerai, destinasi terakhir mereka. Kesemua peserta selamat sampai jam 5.45 petang, bersolat dan bersantai menikmati pemandangan petang yang indah di atas gunung sebelum bertolak turun. 

Menaiki van, peserta menuju tempat parkir Muzium Arkeologi Lembah Bujang.

Alhamdulillah, semua peserta berpuas hati dengan ekspedisi kali ini walaupun ada yang mengalami kekejangan otot dan diserang pacat rimba sewaktu mendaki.  Program berbentuk fizikal sebegini adalah persediaan pemantapan ahli-ahli HALUAN untuk kuat memikul amanah dakwah Islam, mencernakan minda sambil  mentadabbur alam, mengeratkan lagi silaturrahim dan bekerjasama dalam apa jua kesusahan dan rintangan yang datang.


Laporan oleh Mus’ab Sa’ari, urusetia ekspedisi Gunung Jerai 2022