fbpx

Apakah niat kita dalam kehidupan ini?

Apakah niat kita dalam kehidupan ini?

Apakah niat kita dalam kehidupan ini?

Apakah niat kita dalam kehidupan ini?

Adakah niat kita untuk mendapatkan kekayaan sebanyak-banyaknya? Adakah niat kita untuk mendapatkan segala bentuk kemewahan? Adakah niat kita untuk mendapatkan kemasyhuran? Adakah niat kita untuk mendapatkan kekuasaan?

Kita perlu tanya hati kita, apakah yang kita inginkan?

Apakah niat kita dalam kehidupan ini?

Allah swt berfirman, “TidakKu jadikan jin dan manusia melainkan untuk berubudiyah kepadaKu” (Az-Zariyat-Ayat 56). Ayat ini menunjukkan bahawa buatlah apa saja, asalkan niat kita ialah berubudiyah kepada Allah swt. Belajar, makan gaji, berniaga atau bekerja untuk NGO semuanya bernilai jika diniatkan untuk berubudiyah kepada Allah swt. Bernilai di sisi Allah swt bermakna segala yang kita lakukan diterima untuk mendapat keredhaan Allah swt. Semoga dengan itu kita diberikan keampunan dan rahmat Allah swt. Sebaliknya jika ubudiyah kepada Allah swt itu bukan menjadi niat kita, kita akan dapat habuan dunia semata-mata sekadar yang ditentukan oleh Allah swt jua.

Apakah niat kita dalam kehidupan ini?

Sekiranya kita tidak menjadikan ubudiyah kepada Allah sebagai tujuan kehidupan, ertinya kita menjadikan objek lain sebagai sembahan kita. Sembahan di sini bermaksud menjadikan sesuatu pekerjaan itu sebagai tujuan akhir kita. Contohnya, kita jadikan kekayaan sebagai sembahan kita. Kita jadikan kemewahan sebagai sembahan kita. Kita jadikan kemasyhuran sebagai sembahan kita. Kita jadikan kekuasaan sebagai sembahan kita. Dengan kata lain, kekayaan, kemewahan, kemasyhuran dan kekuasaan menjadi tujuan akhir kita di dunia ini kerana itulah yang kita sangka dapat memberikan kepuasan dan kebahagiaan. Sedangkan Allah swt berfirman dalam Surah az-Zaariat ayat 51, “Dan janganlah kamu mengada-adakan tuhan yang lain selain Allah, sesungguhnya Aku pemberi peringatan yang jelas kepada kamu.”

Apakah niat kita dalam kehidupan?

Allah swt menyatakan dengan jelas dalam Surah al-Hujurat ayat 15, ”Sesungguhnya orang-orang Mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang beriman kepada Allah dan rasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.”

Ayat di atas memberikan ciri-ciri Mukmin dalam erti kata yang sebenarnya iaitu orang-orang yang:

Beriman kepada Allah dan Rasul
Tidak ragu-ragu dengan Allah dan Rasul
Berjihad dengan harta dan jiwa

Beriman kepada Allah dan Rasul
Marilah kita bina niat untuk kita tarbiyahkan diri kita sehingga benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul. Kita perlu tarbiyahkan diri kita secara faham dan sedar. Kita perlu faham bahawa tarbiyah berlaku apabila hati kita terpengaruh dan terbina. Kita perlu faham bahawa kita perlu mewujudkan suasana yang diwarnai dengan warna iman. Kita perlu wujudkan suasana yang dipenuhi aktiviti yang menguatkan iman kita. Kita perlu wujudkan suasana yang diisi dengan tazkirah dan perbincangan tentang iman. Suasana yang diperlukan perlu berterusan baik formal atau informal. Baik di rumah atau di luar rumah. Hati kita perlu diasuh dengan suasana iman. Marilah kita jadikan proses mendidik hati dengan iman ini sebagai niat hidup kita sehingga kita diiktiraf sebagai Mukmin di sisi Allah swt.

Tidak ragu-ragu terhadap Allah dan Rasul
Seterusnya marilah kita niatkan untuk mendidik hati supaya hati kita yakin tanpa ragu-ragu terhadap Allah dan Rasul. Kita perlu sedar bahawa suasana kehidupan hari ini dipengaruhi oleh pemikiran dan cara hidup barat yang jauh daripada Allah dan Rasul. Suasana kehidupab pada hari ini diwujudkan mengikut kehendak nafsu manusia dan seolah-olah menolak kehendak Allah dan Rasul. Lihatlah media massa global yang menjadi tatapan dan rujukan manusia, kebanyakannya menjauhkan hati kita daripada Allah swt. Oleh itu, kita perlu menjauhkan diri daripada dikuasai oleh suasana yang jauh daripada Allah dan Rasul ini. Sebaliknya kita perlu bina suasana yang menjadikan kita sebagai mukmin yang tidak ragu-ragu. Tidak ragu-ragu bermakna mengambil Islam sepenuhnya. Menerima dan mengamalkan Islam sebagai sistem kehidupan sepenuhnya. Sekiranya sistem ini belum wujud sepenuhnya, kita perlu berusaha untuk mewujudkannya. Kita perlu mencontohi para sahabat Rasulullah saw yang tidak ragu-ragu terhadap Allah dan Rasul. Marilah kita jadikan proses mendidik hati supaya tidak ragu-ragu sebagai niat hidup kita.

Berjihad dengan harta dan jiwa
Marilah kita jadikan jihad dengan harta dan jiwa sebagai niat hidup kita. Dengan iman tanpa ragu-ragu, akan lahirlah jihad yang ikhlas semata-mata kerana Allah swt. Jihad yang ikhlas ini tidak mengaharapkan sebarang balasan walaupun ucapan terima kasih. Apa yang diharapkan ialah keridhaan Allah swt semata-mata. Keupayaan ini pun perlu kepada latihan dan pendidikan. Kita perlu didik hati kita supaya bersedia untuk memberikan sedikit daripada harta dan masa kita untuk kepentingan Islam. Kepentingan Islam bermaksud melakukan aktiviti untuk mebangunkan sistem hidup Islam. Ini termasuklah kerja dakwah dan tarbiyah untuk membina masyarakat yang faham dan mengamalkan Islam. Ini termasuklah melakukan kerja kebajikan untuk mendekati masyarakat sebagai wasilah untuk menyampaikan kefahaman Islam. Marilah kita jadikan jihad dengan harta dan jiwa ini sebagai niat dalam kehidupan kita yang sebentar ini.

Apakah niat kita dalam kehidpan ini?

Mengapakah soal niat ini begitu penting untuk kita. Niat merupakan titik tolak yang menentukan corak hidup kita. Apa yang lebih penting, niat merupakan faktor penentu yang menjadikan sesuatu amal itu bernilai atau tidak. Bukankah Rasulullah saw pernah bersabda, “Sesungguhnya sesuatu amal itu dengan apa yang diniatkan, barangsiapa yang berhijrah untuk Allah dan Rasul, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul, barangsiapa yang berhijrah untuk mendapatkan habuan dunia atau wanita yang hendak dikahwini, maka hijrahnya untuk apa yang diniatkannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Akhirnya, marilah kita berdo’a semoga Allah swt membantu kita yang lemah ini supaya kita mampu memperbetulkan niat kita sehingga benar-benar nita hidup kita untuk mentarbiyah diri sehingga beriman kepada Allah dan Rasul tanpa ragu-ragu dan berjihad dengan harta dan jiwa. Kita juga memohon bantuan Allah swt untuk menjaga dan menyuburkan niat kita itu. Seterusnya kita juga memohon bantuan Allah swt untuk melindungi niat kita supaya kekal dan berterusan sehingga akhir hayat kita.

Wallahua’lam
Wassalamualaikum wm. wb.

Prof. Sr. Dr. Abdul Hakim Mohamad
Naib Presiden 1
HALUAN Malaysia.