fbpx

Amanah Sampai Ke Tangan Rakyat Gaza

Amanah Sampai Ke Tangan Rakyat Gaza

Amanah Sampai Ke Tangan Rakyat Gaza

HALUAN pastikan sumbangan masyarakat Malaysia memberikan manfaat segera dan dapat membantu keperluan jangka panjang warga Gaza.

Masyarakat Malaysia sudah tidak asing lagi dengan isu yang menimpa bumi Palestin. Serangan tentera Israel ke atas penduduk Gaza sejak 7 Julai lalu sekali lagi membuka mata kita terhadap keperitan hidup yang mereka lalui sepanjang sejarah pergolakan, terutamanya sejak bermula embargo haram oleh Israel dan sekutu-sekutuya pada tahun 2007.

Kemusnahan dalam serangan kali ini bagaikan kemuncak kepada apa yang berlaku sejak serangan pada tahun 2008-2009, sehinggakan sekitar 500,000 penduduk sudah kehilangan tempat tinggal serta terputus bekalan air bersih, makanan mahupun elektrik.

Namun perlu kita sedari bahawa rejim Israel bukan hanya membunuh melalui serangan tentera darat, udara dan laut, bahkan lebih parah lagi dengan menafikan hak kemanusiaan penduduk awam Gaza untuk mendapatkan makanan, rawatan perubatan dan semua keperluan asas sebagaimana yang terkandung di dalam Deklarasi Hak Asasi Universal. Ini adalah hak yang tidak boleh dirunding, sedangkan rejim Israel telah lebih daripada enam dekad menutupi kejahatan mereka melalui rundingan demi rundingan yang bukannya bermotifkan perdamaian.

Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan kemuliaan akhlak masyarakat sejagat melalui pendidikan dan kesukarelawanan, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) secara berterusan berusaha menyebarluaskan kesedaran tentang permasalahan Palestin dan memikul cabaran untuk menyalurkan amanah bantuan masyarakat Malaysia ke Palestin, terutama sekali untuk penduduk Gaza dan pelarian Palestin di Syria, Lubnan dan Iraq.

Langkah Pertama: Tingkatkan Kesedaran Masyarakat

Kesungguhan HALUAN untuk bersama-sama menangani permasalahan Palestin jelas terbukti dengan tertubuhnya Biro HALUAN Palestin (HALUAN Palestin) pada tahun 2007. Usaha mempertingkatkan kesedaran masyarakat bermula dengan siri-siri kuliah dan pameran di surau, masjid, sekolah dan pejabat, dengan menekankan pentingnya memahami konflik yang berlaku daripada perspektif keagamaan, sejarah dan kemanusiaan.

“Kami berpendapat bahawa langkah menyampaikan fakta sejarah dan memberikan kesedaran secara langsung ini telah dapat membina asas kepada sikap prihatin masyarakat terhadap isu Palestin,” berkata Ketua HALUAN Palestin, Dr Mohd Arba’ai Shawal. “Kemudian dengan ledakan maklumat melalui internet dan media sosial, semua maklumat tersebar dengan lebih luas dan cepat, sekaligus dapat melahirkan penglibatan secara langsung masyarakat kita dalam membantu Palestin.”

Melalui latihan dan kempen kesukarelawanan, HALUAN juga dapat melahirkan para aktivis serta sukarelawan yang sedia turun kepada masyarakat untuk mencambahkan kesedaran di pusat tumpuan masyarakat seperti pusat membeli-belah, karnival sukan bahkan juga pasar tani.

Segera Menghantar Bantuan

Pada 12 Julai lalu, iaitu empat hari selepas bermulanya serangan sengit tentera Israel ke atas Gaza, HALUAN melalui kerjasama para relawan di Gaza mula bertindak menghantar bantuan kepada pesakit dan keluarga mangsa serangan.

Dr Mohd Arba’ai menyebut, “Kita telah menghantar bantuan segera bernilai RM320,000 untuk bahan perubatan, makanan dan pakaian asas.” Bantuan untuk pesakit telah dihulurkan di Hospital Kamal al-Udwan di Jabaliya dan Hospital as-Shifa di Gaza City. Manakala sumbangan bantuan makanan disampaikan dari rumah ke rumah, sungguhpun para relawan tersebut berhadapan dengan risiko serangan tentera darat Israel yang membedil kawasan perumahan awam tanpa belas kasihan.

HALUAN turut membantu operasi menyelamat dengan menyewa kenderaan untuk dijadikan ambulan.

Di samping itu, para doktor, jururawat, pemandu ambulan dan staf sokongan di Hospital Abu Yusuf An-Najjar di Rafah juga menerima sumbangan kewangan hasil dermawan Malaysia. Mereka merupakan sebahagian daripada pekerja di Gaza yang tidak menerima bayaran gaji sejak lebih empat bulan lalu, namun tetap komited bekerja membantu mangsa serangan tentera Israel. Beberapa hari lalu, HALUAN turut membiayai kos rawatan dan pembedahan pesakit di hospital tersebut.

Sehingga 31 Julai, HALUAN telah menghantar bantuan kecemasan sebanyak tiga kali dengan jumlah sumbangan bernilai RM1.12juta disalurkan untuk penduduk Gaza.

Masyarakat Malaysia Tetap Bersama Gaza

Kesungguhan dan komitmen masyarakat Malaysia dalam membantu rakyat Palestin bagaikan satu pemangkin baharu kepada HALUAN. Jutaan ringgit amanah rakyat Malaysia telah disampaikan sebelum ini melalui berbagai misi bantuan kecemasan dan kemanusiaan serta projek pembinaan instrastruktur asas.

Sejurus selepas serangan Israel pada tahun 2009, HALUAN memainkan peranannya sebagai penyampai amanah masyarakat Malaysia dengan membina empat buah telaga tiub bagi membekalkan air bersih kepada masyarakat di Khan Younis dan Gaza City, di samping membina masjid sementara dan membantu projek pemulihan ekonomi setempat melalui bantuan mikro kredit.

Bantuan juga disampaikan secara terus kepada keluarga yang memerlukan di Gaza dalam bentuk wang tunai dan pakej makanan serta pakaian secara berkala. HALUAN juga membantu mereka berdikari dengan menaja pembelian baka ternakan arnab serta kelengkapan pembiakan, di mana selain daripada mendapat bekalan makanan untuk keluarga mereka juga berpeluang menjana pendapatan.

Sumbangan masyarakat Malaysia turut melibatkan bantuan jangka panjang bagi membina semula keperluan infrastruktur asas di Gaza. Bagi HALUAN, penekanan diberikan kepada dua sektor utama iaitu pendidikan dan kesihatan.

Melalui kerjasama Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Gaza dan persefahaman dengan beberapa buah NGO antarabangsa, HALUAN telah memulakan projek pembinaan Sekolah Rendah Syar’iyah di kem pelarian Deir Balah sejak bulan Mei 2013. Pembinaan sekolah yang bakal memberi pendidikan kepada 800 pelajar ini bagaimanapun tertangguh akibat masalah bekalan bahan binaan dan peperangan.

Dalam sektor pendidikan juga, HALUAN menyalurkan sumbangan masyarakat untuk menaja kos sarahidup 30 pelajar perubatan Palestin yang menuntut di universiti Sudan sejak tiga tahun lalu. Harapan kami semoga mereka ini akan kembali ke Palestin dengan membawa kepakaran perubatan yang sangat diperlukan di sana. Dana pendidikan juga disumbangkan untuk program tahfiz al-Quran di Markaz Ibda’ Masjid Umari al-Kabir di Gaza City, sebuah masjid tertua di Palestin yang turut dibedil pesawat tentera Israels bulan lalu.

Manakala dalam sektor kesihatan pula, masyarakat Malaysia amat bertuah kerana mendapat peluang bekerjasama membina Pusat Rawatan Kanser Al-Huda di al-Rimal Tal Islam, Gaza City. Pusat ini telah beroperasi sejak pertengahan tahun lepas dan masih memerlukan dana yang banyak bagi menyediakan bekalan perubatan dan peralatan rawatan.

Di samping itu, HALUAN turut bekerjasama dengan beberapa NGO antarabangsa dalam usaha membina sebuah hospital bedah dan pakar mata di Gaza City, dan sebuah poliklinik di Rafah, yang turut tertangguh sejak pertengahan tahun lalu. Ini semua tidak mungkin terjadi tanpa belas ihsan rakyat Malaysia yang dermawan.

Kami Bersedia Untuk Belayar Ke Gaza Lagi

Lima orang relawan HALUAN merupakan sebahagian daripada 12 wakil Malaysia yang pernah menyertai misi bantuan antarabangsa konvoi laut Freedom Flotilla pada tahun 2010.

Pengalaman pahit berhadapan dengan serangan komando tentera laut Israel serta diculik dan dipenjarakan tidak pernah menghalang relawan HALUAN untuk sekali lagi bekerjasama dengan rakan NGO antarabangsa dalam merancang satu lagi misi pelayaran seumpama itu.

Dalam satu mesyuarat Freedom Flotilla Coalition (FCC) di Istanbul pada 12 Ogos lalu, misi pelayaran dirancang bergerak sebelum akhir tahun 2014 bagi tujuan menghantar bantuan kemanusiaan dan mendesak rejim Zionis itu menghentikan sepenuhnya embargo zalim ke atas penduduk Gaza.

Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin, yang mewakili Malaysia dalam mesyuarat gabungan tersebut menerangkan, “tujuan utama misi ini adalah untuk mendedahkan kejahatan sekatan rejim Zionis Israel ke atas Gaza. Sekiranya perancangan pelayaran ini berjaya, InsyaAllah kita akan dapat memecah sekatan tersebut serta menghantar bantuan secara terus tanpa sekatan rejim Israel dan Mesir.”

Pengalaman misi pelayaran pada tahun 2010 dapat memberi pengajaran yang sangat berharga. “FCC sedang meneliti semua aspek keselamatan, perundangan dan logistik sebelum mengambil tindakan seterusnya.”

Teliti Dalam Mengurus Amanah

“Amanah masyarakat ini merupakan satu bebanan yang berat bagi kami,” kata Dr Mohd Arba’ai. Menurut beliau, sungguhpun garis panduan kerajaan membenarkan NGO mengguna pakai sehingga maksimum 40% daripada sumbangan orang ramai untuk menampung kos pengurusan, HALUAN tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang boleh diambil mudah.

“Sejak dari awal menguruskan bantuan untuk Palestin, kami tidak pernah menggunakan wang sumbangan untuk tujuan pengurusan kecuali pada tahun 2012 dan 2013. Dalam tahun tersebut, perbelanjaan pengurusan menghantar bantuan yang digunakan tidak melebihi sembilan peratus daripada kutipan tahun berkenaan.”

Malahan perbelanjaan menghantar relawan ke Gaza ditanggung sendiri oleh para relawan terbabit. “Adapun kos membiayai kakitangan kami diambil daripada keuntungan jualan amal yang kami buat dalam kempen-kempen kesedaran,” jelas beliau lagi.

Laporan Nizam Awang, MediaHALUAN