fbpx

Aidilfitri Bersama Anak-anak Syria Di Bawah Cengkaman Kezaliman

Aidilfitri Bersama Anak-anak Syria Di Bawah Cengkaman Kezaliman

Aidilfitri Bersama Anak-anak Syria Di Bawah Cengkaman Kezaliman

duma-01BANDAR BARU BANGI, 23 Ogos 2013 — Sudah lebih dua setengah tahun kehidupan mereka dibayangi peperangan dan kezaliman yang mengerikan. Begitu ramai dari kalangan mereka yang sudah tidak dapat lagi bersama ayah, ibu, saudara dan rakan tempat bermanja dan bergelak ketawa.

Walaupun hidup di dalam wilayah peperangan yang masih tidak menunjukkan tanda kesudahan, anak-anak Syria di kawasan Duma, Ghuta Syarqiyyah di pinggiran kota Damaskus menyambut Aidilfitri kali ini dengan ceria dan senyuman. Melalui kerjasama dengan Al-Sarraa Foundation, sebuah NGO yang ditubuhkan oleh aktivis-aktivis Robitah Ulamak Palestin dan beroperasi di wilayah bergolak itu, HALUAN Malaysia dan Sahabat Suriah dari Indonesia telah berjaya menganjurkan satu majlis keraian dan pembahagian hadiah sempena hari perayaan dan kebesaran umat Islam itu.

Anak-anak di sini merupakan sebahagian daripada mangsa keganasan rejim Bashar Assad yang masih terperangkap dan tidak dapat keluar dari bumi Syria. Dianggarkan lebih sejuta kanak-kanak Syria terpaksa keluar dari bumi Syria dan menjadi pelarian.

Sungguhpun terpaksa membesar di bawah dentuman bom dan gemuruh helikopter serta jet pejuang, anak-anak ini teguh dalam keimanan dan tetap melaksanakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan baru lalu. Itulah jatidiri yang ada pada anak-anak Syria di Duma. Bahkan Rasulullah SAW pernah menyebut Duma sebagai tempat berkumpulnya pasukan Muslimin di akhir zaman ketika bertempur melawan pasukan Dajjal.

Pengarah Al-Sarraa Foundation, Abu Ahmad dalam laporannya menyebut, “kita akan terus bersama anak-anak Syria, terutama mereka yang terpaksa meninggalkan tempat kediaman tetapi tidak dapat keluar dari Syria.”

Benar, apa yang dianjurkan ini merupakan satu usaha yang sangat kecil. Namun kita harapkan ia tetap menjadi amal soleh yang diterima oleh Allah. Semoga nanti akan lahir generasi baru Duma yang berjuang membawa keamanan, kebaikan dan kemenangan di wilayah itu dan seterusnya membebaskan seluruh Bumi Syams serta Masjid al-Aqsa.

HALUAN Malaysia sangat berterima kasih di atas keprihatian masyarakat Malaysia dan Indonesia dalam membantu anak-anak ini. Semoga Allah memberkati kehidupan anda dan membalasnya dengan limpahan kebaikan di dunia dan akhirat.

Sumbangan ikhlas berterusan boleh disalurkan melalui “Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN”, di Maybank 5622 6350 2611.

NOTA: Alhamdulillah, maklumat yang diterima melalui Sahabat Suriah mengesahkan bahawa anak-anak ini terselamat daripada serangan terbaru di Damaskus. Serangan tersebut didakwa melibatkan penggunaan senjata kimia dan membunuh ramai kanak-kanak dan penduduk awam.