fbpx

Ahli-ahli HALUAN Perlu Jadi Pemandu, Bukan Penumpang

Ahli-ahli HALUAN Perlu Jadi Pemandu, Bukan Penumpang

Ahli-ahli HALUAN Perlu Jadi Pemandu, Bukan Penumpang

KUALA TERENGGANU, 3 Mac 2012 — Ahli-ahli HALUAN Cawangan Terengganu khususnya digesa supaya meningkatkan iltizam mereka dengan gerakerja HALUAN melalui empat ciri utama, iaitu iman, ikhlas, kesungguhan dan amal.

“Setiap ahli HALUAN mestilah menghayati moto HALUAN iaitu berakhlak, mendidik dan berbakti, supaya dia tidak hanya menjadi penumpang, malahan menjadi pemandu,” tegas Yang DiPetua HALUAN Cawangan Terengganu, Tn Hj Ishak Yusof, ketika memberi ucapan aluan kepada ahli-ahli Mesyuarat Agung HALUAN Cawangan Terengganu di Dewan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Jalan Sultan Omar di sini. Ucapan beliau itu merujuk kepada gesaan supaya setiap ahli HALUAN aktif meneraju dan memimpin aktiviti dan usaha mendidik dan berbakti kepada masyarakat, sesuai dengan visi HALUAN iaitu “HALUAN Perubah dan Pemimpin Masyarakat.”

Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh wakil HALUAN Pusat, Tn Hj Sidek bin Abdul Latif, yang merupakan Ketua Biro Ekonomi HALUAN. Dalam ucapan beliau, Tn Hj Sidek menggesa ahli-ahli HALUAN supaya sentiasa ikhlas dan gigih melaksanakan agenda HALUAN, selari dengan seruan Allah SWT dalam surah Aali Imran yang bermaksud, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

Antara usul yang telah dibahaskan dalam mesyuarat ini termasuklah cadangan supaya memberi tumpuan kepada usaha mendidik pemuda dan pemudi yang akan mewarisi gerakerja HALUAN. Biro Kebajikan HALUAN Cawangan Terengganu juga diminta lebih aktif dalam membantu urusan generasi muda untuk mendirikan rumahtangga.


Laporan oleh Nor Alias bin Mohamad.