fbpx

AGM2012 Melabuh Tirai, Kini Waktunya Untuk Bekerja

AGM2012 Melabuh Tirai, Kini Waktunya Untuk Bekerja

AGM2012 Melabuh Tirai, Kini Waktunya Untuk Bekerja

PENGKALAN CHEPA, 30 April 2011 – Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Kali ke-23 (AGM2012) telah melabuhkan tirai hari ini. Seramai 618 orang para perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara menjayakan acara yang sederhana tetapi penuh mahabbah dan berkesan itu.

Berlangsung di kampus Kolej Teknologi Darulnaim (KTD,) mesyuarat tahunan yang membawa tema “Sinergi Kekuatan Memacu Perubahan” itu telah dirasmikan oleh wakil kepada YAB Menteri Besar Kelantan, iaitu YB Hj Che Abdullah Mat Nawi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi Negeri Kelantan. Dalam ucapan beliau, YB Hj Che Abdullah melahirkan harapan supaya HALUAN Malaysia mampu menjadi peneraju ummah dan tampil sebagai kelompok yang membawa kelainan dalam menyampaikan risalah dakwah yang agung.

Seperti lazimnya, Ucapan Dasar Presiden menjadi acara yang ditunggu oleh para hadirin. Dalam menyampaikan Ucapan Dasar tersebut, Presiden HALUAN Dr Abdullah Sudin bin Abd Rahman menyeru kepada gerakerja yang terancang, pengukuhan diri setiap ahli, kepekaan terhadap realiti masyarakat dan cita-cita serta semangat yang kuat untuk memacu perubahan.

Dr Abdullah turut menggariskan lima cabaran yang perlu diberi perhatian pada setiap ketika, iaitu cabaran syaitan dan hawa nafsu, cabaran serangan pemikiran, cabaran keruntuhan akhlak, cabaran sekularisma dan cabaran lemah semangat bekerja untuk Islam. “Cabaran ini sentiasa berlegar-legar di sekeliling kita dan menunggu masa yang sesuai untuk melemahkan kita,” nasihat beliau.

Berkenaan kerja-kerja membawa perubahan dalam masyarakat, Dr Abdullah Sudin menyebut, “kita amat merindui kepada perubahan. Kita tidak ada pilihan lain lagi. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk melaksanakan kerja-kerja perubahan ini tanpa kita memulakannya dahulu. Kita tidak boleh hanya menadah tangan ke langit memohon pertolongan Allah SWT sebelum kita memaksimakan kerja-kerja kita.”

Semoga mesyuarat kali ini telah dapat meningkatkan ukhuwah dan membina semangat baru untuk bekerja dengan lebih gigih. Benarlah apa yang dipetik oleh Dr Abdullah Sudin tentang kata-kata Amir Syakib Arsalan Rahimahullah, “apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan tersendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?”

Kita berada pada waktu yang tepat untuk bekerja dengan sungguh-sungguh guna membangun kembali masyarakat kita.

Sekalung tahniah buat Jawatankuasa Pelaksana dan juga seluruh perwakilan dan pemerhati yang bertamu di Kelantan untuk AGM2012.