fbpx

AGM2011 – Presiden HALUAN Garis Agenda Perubahan

AGM2011 – Presiden HALUAN Garis Agenda Perubahan

AGM2011 – Presiden HALUAN Garis Agenda Perubahan

PULAU PINANG, 1 Mei – Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Ke-22 (AGM2011) yang berlansung di Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengukir sejarah apabila berjaya menarik penyertaan seramai 900 orang perwakilan, ahli jawatankuasa dan juga pemerhati luar.


Bertemakan “Memperkasakan Identiti, Membangunkan Ummah,” AGM2011 yang diadakan selama dua hari yang bermula kelmarin ini turut mendapat perhatian ahli-ahli HALUAN yang tidak dapat hadir melalui liputan secara langsung di Internet.   Seperti lazimnya, AGM2011 merupakan perhimpunan tahunan yang penting bagi ahli-ahli HALUAN meneliti dan membahas Ucapan Dasar Presiden di samping merancang penambah-baikan organisasi melalui Mesyuarat Perwakilan Tahunan dan sesi dialog.

Menariknya, tidak seperti perjumpaan-perjumpaan terdahulu, AGM2011 dimulai dengan pemeriksaan perbarisan Unit Beruniform Pemuda HALUAN yang mempamerkan keazaman dan kesungguhan mereka untuk mendukung motto HALUAN, iaitu “Berakhlak, Mendidik & Berbakti.” Tidak ketinggalan, majlis ceramah dan forum yang diisi oleh anggota-anggota HALUAN turut diadakan serentak di lapan buah masjid dan surau di sekitar Pulau Pinang pada sebelah malamnya.

Dalam Ucapan Dasar beliau, Presiden HALUAN Dr Abdullah Sudin Abd Rahman telah memberi fokus kepada prinsip-prinsip utama gerakerja HALUAN dalam menabur khidmat bakti tanpa mengira batasan kaum, agama dan geografi. Menurut beliau, perubahan yang ingin dibawa kepada masyarakat harus menyeluruh dan meliputi seluruh aspek kehidupan dan mesti berpaksikan kepada proses tarbiah (pendidikan) dan dakwah (khidmat bakti). Dr Abdullah menegaskan bahawa dengan berpandukan kepada rujukan Rabbani dan keikhlasan yang benar, usaha ini InsyaAllah akan berjaya dicapai. “Dalam masa yang sama kita mengharapkan pertolongan dan hidayah Allah SWT agar terus dilimpahi kekuatan rohani, aqli, emosi dan fizikal untuk terus menabur bakti,” kata beliau.

Dr Abdullah tidak putus-putus memberi peringatan kepada barisan pimpinan HALUAN bahawa mereka sebenarnya memikul satu amanah yang besar. Beliau menegaskan betapa Allah SWT memberi penghargaan yang besar kepada kepimpinan yang amanah, ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Allah SWT juga menempelak pemimpin-pemimpin yang tidak amanah atau tidak melaksanakan tanggungjawab kepimpinan mereka.

Dalam menggariskan agenda perubahan yang harus dibawa oleh HALUAN, Dr Abdullah antara lain menyeru setiap ahli HALUAN supaya memberi perhatian kepada usaha melahirkan barisan kepimpinan yang berwibawa, menambahkan bilangan anggota, meluaskan kerjasama dengan agensi kerajaan, bukan kerajaan dan orang perseorangan, membantu memantapkan institusi pendidikan, memantapkan sinergi antara biro-biro HALUAN, dan juga mengurus pejabat dan organisasi secara lebih sistematik.

Mengakhiri ucapan beliau, Dr Abdullah berkata “kita tidak sepatutnya merasa selesa dengan berdiam diri atau tenggelam dengan pelbagai angan-angan. Kepada kepimpinan dan ahli-ahli HALUAN saya sekali berseru agar mempersiapkan diri dengan ilmu, keimanan, taqwa, kasih sayang, sedia berkorban dan bersedia untuk berkhidmat.”