fbpx

Ada Bahagia Dalam Memberi, Kata HALUANITA

Ada Bahagia Dalam Memberi, Kata HALUANITA

Ada Bahagia Dalam Memberi, Kata HALUANITA

BANDAR BARU BANGI, 7 Mei 2020 – Forum live di TVHALUAN 4 Mei lepas bertajuk Bahagia Dalam Memberi telah mencuit hati ramai penonton dan pengikut siaran berkenaan di media sosial. Ia bersempena projek Sejuta Barakah Ramadan yang telah dilancarkan HALUAN April lepas untuk mendana projek-projek kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam dan luar negara.

Forum khas itu telah mengetengahkan penglibatan Biro HALUANITA, salah satu sayap aktif dalam HALUAN, dalam menyantuni masyarakat terpinggir.

Fokus utama forum berkenaan adalah berbakti kepada ibu tunggal dan frontliners yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 ini. Forum telah menampilkan persona HALUANITA Putrajaya, Dr. Norhaiza Nordin dan aktivis HALUANITA Terengganu, Puan Rohaya Abd Kadir dan juga moderator Puan Ahlami Akhili. Dr. Norhaiza merupakan Naib Yang Dipertua 3, Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga, HALUAN Putrajaya. Puan Rohaya pula adalah Ketua Unit Profesional dan Agensi daripada Biro HALUANITA Terengganu.

Dr. Norhaiza telah berkongsi tentang definisi ibu tunggal dan inisiatif HALUANITA Putrajaya dalam membantu golongan ini. Ibu tunggal ada tiga kelompok kategori pertama, wanita yang menjadi ketua isi rumah di mana suaminya sudah mati atau bercerai, dan mempunyai anak yang belum berkahwin. Kelompok kedua, wanita yang menjadi ketua isi rumah di mana beliau masih bersuami tetapi suaminya tidak berkemampuan untuk bekerja, yang juga mempunyai anak yang belum berkahwin. Kelompok ketiga pula adalah wanita yang menjadi ketua isi rumah yang tidak pernah berkahwin tetapi mempunyai anak angkat atau anak tidak sah taraf. Statistik 2010 menunjukkan terdapat 235,000 ibu tunggal di Malaysia.

Menurut Dr. Norhaiza lagi, pada Januari lepas, HALUANITA Putrajaya telah menjalin hubungan dengan Persatuan Ibu Tunggal Islam Bangi (PITIB). Ahli persatuan ini kebanyakannya terdiri daripada golongan asnaf (berpendapatan rendah dan sederhana). Hubungan yang dibina itu bertujuan memberi sokongan kepada mereka dalam menghadapi cabaran kehidupan.

“HALUAN telah bertindak sebagai penghubung di antara masyarakat dan persatuan ibu tunggal, melalui penyaluran bantuan bersifat jangka panjang. Antara bantuan berbentuk material yang telah diberikan adalah pembelian komputer dan mesin cetak bagi melancarkan pengurusan PITIB ini. Selain itu, sumbangan telah diberikan dalam bentuk pembayaran sebahagian deposit tapak perniagaan milik ibu-ibu tunggal yang menjalankan perniagaan di Bangi,” katanya.

Seterusnya, Dr. Norhaiza berkongsi tentang statistik sumbangan derma kilat yang disalurkan kepada PITIB di dalam bulan Ramadan. Sumbangan ini telah mencapai lebih RM9,000 dan sumbangan masih diterima hingga kini.

Panel kedua, Puan Rohaya Abd Kadir pula berkongsi tentang aktiviti HALUAN Terengganu sepanjang PKP berjalan. Bantuan disalurkan dalam bentuk barangan asas kepada masyarakat setempat dan pelarian Rohingya, pemberian pek makan tengah hari kepada frontliners dan juga penyediaan Personal Protection Equipment (PPE).

Lima jenis PPE telah disediakan iaitu isolation gown, shoe cover, foot cover, nursing cap dan head cover. Penyediaan PPE ini telah melibatkan beberapa kolaborasi, antaranya Jabatan Kesihatan Terengganu, Squad Bantu Terengganu dan kira-kira 40 orang sukarelawan yang bertindak sebagai tukang jahit dan runner. Sepanjang proses penyediaan PPE ini, kira-kira 2,700 isolation gown, 900 foot cover, 500 shoe cover dan 300 head cover telah terhasil.

Kemudian, Puan Rohaya berkongsi pesanan akan signifikan motto HALUAN – Berakhlak, Mendidik dan Berbakti berkaitan kerja-kerja kesukarelawanan yang telah dilaksanakan oleh HALUAN Terengganu.

“Pengalaman kami menghasilkan PPE ini telah menimbulkan rasa tanggungjawab untuk kami laksanakan hingga ke akhir walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti mesin jahit rosak dan keletihan sukarelawan semasa menjahit. Amal kebaikan yang kami rasakan sedikit itu sebenarnya mampu mencapai matlamat yang lebih besar. Jari-jari yang memegang kain di mesin jahit merupakan usaha kita untuk ke arah kebaikan, sama seperti burung-burung kecil yang berusaha memadamkan api ketika Nabi Ibrahim dibakar oleh Namrud. Keberkatan atas usaha yang dilaksanakan pula dapat dirasai apabila timbul rasa seronok dalam memberi dan memudahkan orang lain. Saya ingin berseru agar penonton sentiasa mengambil peluang untuk memberi sumbangan, berdasarkan lingkungan kemampuan kerana Allah SWT yang akan menilai amal mana yang diterima sebagai amal soleh,” tegas beliau kepada moderator forum.

Moderator telah membuat kesimpulan bahawa sumbangan dan usaha-usaha untuk berbakti kepada masyarakat ini akan menjadi refleksi di mata masyarakat tentang keindahan Islam dan keindahan akhlak-akhlak penganut agama Islam.

HALUANITA sentiasa bersedia menerima sumbangan dan dengan amanah yang diberi akan mengagihkannya kepada golongan yang memerlukan, pesan beliau. HALUANITA merupakan sebuah biro di bawah Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga (WPK), yang merupakan sayap kanan kepada HALUAN. Biro ini memfokus kepada isu dan kesejahteraan wanita, kanak-kanak, belia dan siswi serta masyarakat amnya.

Ingin menyaksikan rakaman adegan forum berkenaan? Sila klik pada pautan ini:

Teruskan infak anda untuk kami salurkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Derma ke pautan berikut:

Pek Makanan Negaraku

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.


Laporan oleh Nazeerah Abdul Hakim, Unit Media Biro HALUANITA