fbpx

84 Pelajar SMK Tun Hussein Onn Sertai Kem Pemantapan Syaksiah (MUSLiH)

84 Pelajar SMK Tun Hussein Onn Sertai Kem Pemantapan Syaksiah (MUSLiH)

84 Pelajar SMK Tun Hussein Onn Sertai Kem Pemantapan Syaksiah (MUSLiH)

PENDANG, 20 Julai 2009 — Seramai 84 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (SMKTHO), Seberang Jaya telah berjaya melalui Kem Pemantapan Syaksiah (MUSLiH). Mereka adalah terdiri daripada 50 putera dan 34 puteri yang terpilih.


Program yang dianjurkan bersama oleh SMKTHO dan HALUAN ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada peserta terhadap Islam serta tanggungjawab mereka sebagai khalifah Allah S.W.T.  Kelab Guru HALUAN Pulau Pinang dan Kelab Remaja Haluan (KeARAH) yang diketuai oleh saudara Mohd Fazlon Bin Abdul Rahim telah bersatu tenaga merancang dan melaksanakan program selama tiga hari dua malam ini, iaitu dari 17 hingga 19 Julai.

Aktiviti-aktiviti yang dirancang telah berjalan dengan baik dan mendapat reaksi memberangsangkan daripada pihak guru-guru SMKTHO dan para pelajar sekolah berkenaan. Guru-guru SMKTHO melahirkan harapan agar anak-anak murid mereka akan peka terhadap tanggungjawab mereka sebagai pelajar, anak dan khalifah Allah di muka bumi ini.

Pada hari pertama, para peserta telah berpeluang untuk mengikuti sesi berkenalan sesama mereka. Mereka juga dapat mengikuti satu ceramah motivasi yang bertajuk ‘Anda Adalah Harapan.’ Melalui ceramah ini, mereka diingatkan tentang kedudukan pelajar sebagai harapan agama, negara dan keluarga  untuk menjadi pemangkin kecemerlangan ummah.

Para peserta juga telah dapat melaksanakan aktiviti qiamullail seawal pukul 5 pagi. Selepas menunaikan solat Subuh, mereka telah mengikuti tazkirah secara berkumpulan yang dikendalikan oleh fasilitator masing-masing. Tazkirah secara berkumpulan ini adalah lebih berkesan kerana penyampai lebih dekat dengan peserta dan boleh mewujudkan suasana komunikasi dua hala.

Selain daripada aktiviti berbentuk pengisian ilmu dan kesedaran, para peserta juga dapat menyertai aktiviti berbentuk fizikal yang di panggil ‘kembara ilmu,’ di mana mereka mengadakan larian berhalangan melalui beberapa ‘check points.’ Di setiap ‘check point’ ini mereka dikehendaki menyelesaikan soalan-soalan yang berkaitan dengan pendidikan Islam. Antaranya ialah soalan berkaitan sirah, permainan puzzle wajah para ulama’ seperti Hamka, amali berwuduk dan bersolat, hafazan surah dan juga menjawab soalan kuiz yang berkaitan dengan fekah. Selain dari itu mereka juga ditanya tentang perkara berkaitan akidah seperti rukun ihsan, rukun iman dan rukun Islam. Para fasilatator memberi ulasan dari setiap permainan tersebut, yang secara tidak langsung dapat memberi latihan dan ilmu kepada para peserta.

Anak-anak remaja ini juga telah mengikuti aktiviti ‘creative thinking’ di mana mereka perlu menyelesaikan pelbagai soalan yang menguji minda. Mereka juga telah dapat bersukan dan berekreasi melalui aktiviti akitiviti berkayak di Tasik Pendang yang luas dan tenang itu.

Seperti lazimnya, waktu malam adalah amat sesuai untuk mengikuti sesi muhasabah. Cikgu Azmi Bahari yang merupakan seorang motivator HALUAN telah menyampaikan perbincangan bertemakan ‘Harapan dan Kasih.’ Perbincangan ini menekankan tentang tanggungjawab anak-anak terhadap ibubapa mereka. Ramai anak-anak remaja para peserta yang tersentuh dengan perbincangan ini, sehingga menitiskan air mata.

Menjelang berakhirnya program ini, para peserta telah dapat mengikuti penyampaian oleh Dr Adib Omar dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang bertajuk ‘Pengurusan Diri Pelajar Muslim’. Dr Adib memberi tumpuan kepada pengurusan diri yang perlu dilakukan oleh para peserta sebagai pelajar Muslim.

Majlis penutup program ini telah dihadiri oleh Pengerusi PIBG SMKTHO. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak HALUAN kerana dapat memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan program ini.

HALUAN berharap semoga program ini telah dapat memberi perubahan kepada para peserta dan mengerakkan mereka untuk menjadi pelajar Muslim yang lebih baik dan cemerlang. Diharap program seperti ini diteruskan di tempat-tempat lain untuk memberi manfaat secara menyeluruh kepada generasi muda kita. InsyaAllah HALUAN sentiasa bersedia untuk bekerjasama, sebagai sebahagian daripada agenda mendidik dan berbakti kepada masyarakat.