600 Perwakilan dan Pemerhati Hadiri Mesyuarat Tahunan Perwakilan HALUAN Kali Ke-35
KUANTAN, 22 Julai 2024 – Lebih 600 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara telah menghadiri dan menjayakan Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN Kali Ke-35 yang diadakan di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.
Bertemakan “Gencar Dakwah, Cakna Tarbiah, Memacu Perubahan”, mesyuarat selama dua hari itu diserikan dengan pelbagai program dan aktiviti menarik termasuk forum, pameran dan jualan, riadah santai, serta ceramah di masjid-masjid bersama masyarakat setempat. MTP merupakan perjumpaan kebangsaan besar-besaran tahunan dalam kalangan ahli HALUAN.
Majlis perasmian MTP kali ini telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Dr. Zulkifle Ali Al-Hafiz. Turut hadir menyerikan majlis perasmian termasuk wakil-wakil agensi kerajaan dan NGO seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Pertubuhan IKRAM Malaysia, Yayasan Amal Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Kesatuan Murabbi Umat (KERAMAT), International Educational Scientific and Cultural Organisation (IESCO) serta Al Tawasul Development Foundation.
Dalam ucapan perasmian beliau, Datuk Dr. Zulkifle menyeru semua pihak berkepentingan terutamanya NGO Islam mengeratkan kerjasama, hormat-menghormati serta mengenepikan perbezaan untuk memastikan kerja-kerja dakwah terus gencar berkembang.
“Amanah dakwah ini tidak mudah untuk dilaksanakan, ianya sangat berat. Kita perlu perkasakan kerjasama dan muafakat terutamanya dalam mendidik serta melahirkan para pelajar untuk menjadi pemimpin masyarakat di semua peringkat,” jelas beliau. Beliau juga menyeru supaya dicontohi sikap serta kekuatan akidah rakyat Palestin berhadapan dengan kezaliman zionis sehingga menjadi dakwah praktikal kepada seluruh masyarakat dunia.
Terdahulu melalui ucapan aluan beliau, Presiden HALUAN Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman menyentuh tentang kepentingan bekerjasama memikul tanggungjawab dakwah dan tarbiah. Menurut beliau, umat Islam hari ini lemah dalam pelbagai sudut – politik, ekonomi, sosial, moral, bahkan juga aspek pengurusan. Pada masa yang sama mereka terus dalam keadaan tertindas dan berpecah belah. “Kita tidak harus kecewa dengan keadaan umat hari ini, tetapi terus berusaha melalui program-program dakwah dan pembinaan masyarakat.“
Majlis perasmian turut dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian nasyid oleh kumpulan pelajar dari Sekolah Rendah Ibnu Abbas (SeRIA), yang merupakan sekolah angkat HALUAN cawangan Pahang.
Selain mendengar pengisian penting melalui Ucapan Dasar Presiden, majlis forum dan kuliah duha, para perwakilan dan pemerhati turut berkesempatan bergaul bersama masyarakat setempat melalui program ceramah berkaitan Palestin yang telah disampaikan oleh aktivis dan juga Presiden HALUAN di masjid-masjid sekitar Kuantan. Sebanyak enam buah masjid dipilih untuk tujuan tersebut, termasuk Masjid Saidina Othman Al-Affan di Bukit Rangin, di mana Dr. Abdullah Sudin menyampaikan kuliah bertajuk “Palestin Mendamba Dokongan Ummah”.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana MTP Kali Ke-35 yang juga merupakan Setiausaha Agung HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin merakamkan ucapan penghargaan atas kehadiran para jemputan daripada kalangan agensi kerajaan dan NGO yang telah dapat mengeratkan hubungan serta kerjasama memperhebatkan agenda membangunkan masyarakat. Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua perwakilan dan pemerhati, serta petugas dan jawatankuasa pelaksana yang melibatkan gandingan tenaga daripada HALUAN cawangan Pahang dan HALUAN Pusat.
Laporan Media HALUAN