fbpx

50 Peserta Hadir Bengkel Perancangan Strategik

50 Peserta Hadir Bengkel Perancangan Strategik

50 Peserta Hadir Bengkel Perancangan Strategik

BANGI, 26 Ogos 2013 — Seramai 50 orang peserta telah menghadiri Bengkel Perancangan dan Pelaksanaan Strategik Geran Kementerian Kemajuan Luar Bandar/Unit Perancang Ekonomi (KKLW/EPU) 2013-2014 yang berlangsung di Institut Kemajuan Desa (INFRA) bermula 23 hingga 25 Ogos lalu.

Bengkel anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kerjasama HALUAN telah dirasmi Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Rakyat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Mohamad Abdullah.

Turut hadir Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin; Naib Presiden III HALUAN yang juga Pengerusi Geran KKLW/EPU HALUAN, Prof. Madya Dr. Azizan Ahmad; serta Pengarah Geran KKLW/EPU HALUAN, Dr. Wan Muhaizan Wan Mustaffa.

Dalam ucapannya, Mohamad memuji inisiatif HALUAN mengadakan program bagi membangunkan masyarakat luar bandar kerana ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan di kawasan berkenaan.

“Pertubuhan bukan kerajaan mempunyai peranan penting dan signifikan dalam menyumbang kepada usaha kerajaan untuk mengubah minda masyarakat luar bandar bagi mencapai matlamat membangunkan mereka,” katanya.

Berucap pada majlis yang sama, Dr Wan Muhaizan berkata, kerjasama antara HALUAN dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bermula pada 2009 apabila kementerian itu meluluskan geran bagi pertubuhan berkenaan menjalankan Program Pembangunan Minda Insan dan Program Kecemerlangan Pendidikan di Kedah dan Kelantan.

Mulai 2012 pula, katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Unit Perancang Ekonomi meluluskan geran untuk HALUAN melaksanakan Program Latihan Kemahiran Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan.

“Pada tahun ini, kementerian meluluskan geran untuk melaksanakan empat program, termasuk pembangunan belia dan kesihatan di Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Bengkel berkenaan ditutup oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Rakyat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Sukiman Ahmad.

Beliau turut menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta bengkel berkenaan.


Laporan oleh Mohd Fuad Razali