fbpx

40 Keluarga Terima Sumbangan Program Bakul Sabil

40 Keluarga Terima Sumbangan Program Bakul Sabil

40 Keluarga Terima Sumbangan Program Bakul Sabil

BUKIT MERTAJAM, 10 Mei 2020 – Empat puluh buah keluarga yang dihimpit kesusahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Kuala Mengkuang di sini telah menerima sumbangan berupa pek makanan asas bernilai RM50 setiap satu.

Seramai lima orang sukarelawan daripada Kelab Belia HALUAN Pulau Pinang (KBH2U) dan HALUAN Pulau Pinang telah menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada penduduk berkenaan semalam.

Menurut pengarah Projek Bakul Sabil KBH2U, Encik Saiful Azmi Omar, “Saya amat kagum dengan salah seorang ketua keluarga yang sempat kami santuni. Beliau terlantar sakit sudah hampir dua tahun akibat kemalangan. Beliau menghadapi dugaan itu dengan kesabaran yang luar biasa. Hal ini kerana perniagaannya yang merupakan periuk nasi mereka sekeluarga tidak dapat berjalan sejurus PKP dikuatkuasakan.”

Terdahulu, KBH2U dengan kerjasama HALUAN Pulau Pinang telah pun giat menghulurkan sumbangan kepada pekerja barisan hadapan serta masyarakat yang terjejas sekitar Permatang Pauh dan Kepala Batas sejak PKP bermula.

Program Bakul Sabil ini adalah kesinambungan daripada usaha tersebut dan ia telah mula digencarkan sejak 8 Ramadan lepas dengan mensasarkan 200 buah keluarga yang miskin atau hilang punca rezeki.

Saiful Azmi ketika ditemubual berkata, “Program Bakul Sabil KBH2U mensasarkan penerima bantuan sekitar Pulau Pinang dan sekitar Kedah dan Perak Utara yang berhampiran dengan Pulau Pinang. Setakat ini, program ini baru sahaja mencapai 20% daripada sasaran kami.”

Encik Saiful turut menyeru orang ramai yang ada maklumat mengenai individu atau keluarga yang memerlukan manfaat daripada Program Bakul Sabil KBH2U ini untuk menghubungi setiausaha program, Encik Asrul di talian 019-2898 363 untuk tindakan selanjutnya. Anda boleh menghantar pesanan WhatsApp ataupun menelefon beliau terus.

Ramadan bakal berakhir dan Aidilfitri bakal tiba. Berikanlah sedikit keceriaan dalam hidup keluarga-keluarga yang terpinggir ini. Bagi anda yang inginkan pahala berganda dan ingin menyumbang untuk merealisasikan usaha Program Bakul Sabil ini, silalah layari laman Facebook Kelab Belia HALUAN Taman Sungai Dua Utama – KBH2U untuk maklumat lanjut.


Laporan Muhamad Ashiq Akif Ab Aziz HALUAN Pulau Pinang