fbpx

3M Bincang Pahala dan Graduan Cemerlang

3M Bincang Pahala dan Graduan Cemerlang

3M Bincang Pahala dan Graduan Cemerlang

Shah Alam, Okt 3  –  Bukan selalu mahasiswa dapat berkumpul berbincang dosa, pahala, syurga dan mengaspirasikan kecemerlangan dalam akademik pada waktu yang sama.


Tetapi itulah yang mampu dicapai oleh Motivasi Minda Medik (3M) yang dianjurkan bersama oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dan HALUANSiswa Medics (HS2) sehari suntuk semalam.

Program berkala cetusan KKH ini merentakkan kelainan dengan menggabungkan garuminda (mindteaser) bersama unsur feqah dalam mendekatkan hati-hati siswa dan siswi universiti tempatan bidang perubatan dan paramedik ke arah menjadi seorang graduan yang holistik dan takut serta patuh kepada Tuhannya.

”Api….Api….!’” jerit Dr Azizan Ahmad sekuat-kuat hati dalam perkongsian beliau dalam melahirkan mahasiswa yang peka dan bersegera dalam menyambut dakwah dan tarbiyah. Api yang menyambar dan menyala-nyala marak dan panas perlu segera dipadamkan dan kita berlari menyelamatkan diri. Begitulah juga hati dan jiwa kita bila diserang penyakit cintakan dunia, malas dan meninggalkan amalan soleh, maka kita harus segera sedar dan bingkas bangun untuk menewaskan kelengahan yang ada dengan mentauhidkan Allah SWT.

Dalam kupasan kertaskerja beliau, Kefahaman Islam Sebenar Melahirkan Mahasiswa Rabbani, Dr Azizan seorang pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia serta pakar motivasi Islam bertanyakan lebih 80 peserta itu samada mereka akan beroleh pahala sepanjang pengajian mereka di kampus hinggalah tamat dengan konvokesyen.

”Yang kita mahu sepatutnya adalah segolong ijazah dan mardhatillah ataupun keredhaan Allah SWT sepanjang kita belajar dan sepanjang hidup kita. Barulah bermakna perlumbaan kita semasa di universiti. Kejayaan kita yang hakiki adalah bilamana setiap detik hidup kita ini dibajai dengan iman dan taqwa. Inilah kecemerlangan hakiki,” tegas beliau.

Tambah beliau lagi, untuk mencapai hakikat ini, setiap pelajar harus merasakan dirinya perlu dididik dan diproses hinggalah timbul kesedaran bahawa matlamat hidup ini sangat jauh dan sukar serta memerlukan bimbingan daripada mentor-mentor yang mampu membimbing ke arah yang betul. Beliau memuji penganjur program 3M berkenaan dan menganggap ianya suatu jalan yang mampu menggembeling kekuatan kalangan medik dan paramedik serta seiring membina kekuatan ruhi dan jatidiri.

”Menurut Syeikh Yusuf Al-Qardhawi, umat Islam hari ini bukan lemah, tetapi mereka kurang kesedaran tentang jahiliah yang menimpa mereka sehinggakan mereka jadi keliru dengan peredaran dunia di sekeliling mereka. Matlamat mereka kabur dan jalan mereka menuju pengakhiran hayat mereka menjadi bersimpang siur. Maka sudah menjadi tanggungjawab kamu selaku mahasiswa untuk pergi kejutkan mereka – ibarat lari dari api yang marak –  supaya cepat bangun dan kembali bertaqwa,” tambahnya lagi.

Program 3M ini dilaksanakan secara berkala beberapa kali setahun oleh KKH dengan kerjasama HS2. Sambutan kali ini adalah yang paling menggalakkan sejak ianya bermula dua tahun yang lalu. Dalam ucapan beliau, pengarah program 3M Cik Safiyah Ahmad Yusof (gambar) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggesa agar para peserta menceduk setiap ilmu yang dibekalkan semasa kertaskerja, sesi soal-jawab dan perbengkelan pada hari itu. Ianya akan memberikan mereka manfaat yang banyak di suatu masa nanti semasa sudah berada di alam pekerjaan.