fbpx

29 Jurulatih Rekreasi HALUAN Terima Sijil Kepimpinan Rekreasi Luar Tahap 2

29 Jurulatih Rekreasi HALUAN Terima Sijil Kepimpinan Rekreasi Luar Tahap 2

29 Jurulatih Rekreasi HALUAN Terima Sijil Kepimpinan Rekreasi Luar Tahap 2

Kuala Kangsar, 26 Februari  – Seramai 29 ahli HALUAN telah berjaya menamatkan Kursus Kepimpinan Rekreasi Luar dan dianugerahkan Sijil Tahap 2 oleh Jabatan Belia dan Sukan negeri Perak.


Kursus yang berlangsung dari 21 hingga 26 Februari itu adalah anjuran bersama HALUAN Malaysia, Persatuan Mendaki Negeri Perak dan Persatuan Kenu Negeri Perak. Kursus tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh perunding rekreasi, Tropical Outdoor Pursuit (TOP) Centre.

Pelbagai aktiviti darat dan air yang mencabar telah dirangka khusus untuk memantapkan lagi  sifat-sifat kepimpinan peserta serta menguji ketahanan fizikal dan mental mereka. Akitiviti tersebut telah dijalankan di beberapa lokasi yang menarik di sekitar daerah Lenggong dan Taiping, Perak seperti Taman Rekreasi Tasik Raban, Banjaran Bintang Hijau, Lata Kekabu dan Bukit Larut.

Penasihat kepada Biro Sukan & Rekreasi HALUAN, Mohd Abdoh Zainal Abidin berkata dalam ucapan pembukaan bahawa objektif kursus adalah untuk melahirkan barisan pelapis kepemimpinan dalam bidang rekreasi luar dalam HALUAN yang tahan lasak dan mampu menjadi penggerak aktiviti tersebut di seluruh negara.

“Peserta yang hadir dari pelbagai negeri juga diharap akan menjadi jurulatih dalam program-program yang dilaksanakan oleh HALUAN pada masa akan datang seperti program Jatidiri dan Kesukarelawanan (JDK), Kem Minda Kreatif (KMK), misi-misi kemanusiaan dan lain-lain program,” ujar Mohd Abduh.

Antara aktiviti mencabar yang dilalui peserta adalah aktiviti berkayak sejauh 4 km sebelum meredah hutan (jungle trekking) di hutan Tanjung Pak Ngah sejauh 10 km dan kemudian berkayak balik ke kem utama pada waktu malam. Peserta juga didedahkan pelbagai subjek secara teori dan amali termasuk subjek ikhtiar hidup dimana peserta diajar kaedah meneruskan kelangsungan hidup apabila berada di dalam hutan. Dalam aktiviti ‘solo camping’, peserta ditinggalkan bermalam sendirian di dalam hutan Bukit Larut Taiping. Keadaan menjadi bertambah mencabar apabila hujan turun dengan lebat diikuti dengan kilat sabung menyabung.

Aktiviti pembacaan peta dan kompas pula memaksa peserta berjalan lebih 15 km dengan mengalas beg yang sarat muatan sambil mengharungi sungai, bukit, hutan belukar serta kebun kelapa sawit dan getah untuk sampai ke destinasi yang ditetapkan. Terdapat kumpulan yang sesat dan terpaksa berkhemah di dalam hutan pada waktu malam sebelum sampai ke destinasi tersebut.

TOP Centre juga mempunyai jurulatih yang berpengalaman luas dibidang pengendalian tali di kawasan tinggi dan curam untuk aktiviti seperti abseiling dan flying fox. Peserta bukan sahaja diberi peluang untuk mencuba aktiviti tersebut tetapi juga didedahkan secara terperinci tentang tali-tali dan peralatan yang digunakan serta kaedah untuk memasang kemudahan tersebut.

Walaupun keletihan dalam melaksanakan aktiviti dan tugasan yang diberikan sehingga larut pagi, peserta tetap ceria dan menunjukkan semangat yang cekal untuk memastikan tugasan yang diberi dilakukan dengan sempurna. Ini diakui sendiri oleh ketua jurulatih, Hj Johar Arifin dari TOP Centre semasa membuat ulasan pada majlis penutup kursus.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pegawai Rekreasi dan Sukan dari Jabatan Belia dan Sukan Perak, En Mohammad bin Md Zain. Dalam ucapannya beliau memuji usaha yang dilakukan oleh HALUAN dalam melahirkan penggerak aktiviti rekreasi luar.

“Bidang rekreasi adalah suatu bidang yang sesuai bagi membentuk ciri-ciri kepimpinan seorang pemimpin dan merupakan lapangan yang terbaik untuk menguji tahap kepimpinan seseorang,” ujar En Mohammad.

Di dalam kursus ini, peserta dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu Merah Saga, Samudera Biru, Permata Hitam, Bangau Putih dan Pelangi Jingga. Kumpulan Pelangi Jingga telah diumum sebagai kumpulan terbaik kursus.

Semua yang hadir menjadi ahli Kelab Sukan dan Rekreasi HALUAN secara automatik dan turut dilantik sebagai jurulatih rekreasi HALUAN Malaysia.