fbpx

27 Ribu Pelarian Syria Perlukan Bantuan

27 Ribu Pelarian Syria Perlukan Bantuan

27 Ribu Pelarian Syria Perlukan Bantuan

ANTAKYA, TURKI, 15 Jun 2012 — HALUAN Malaysia telah berjaya melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Syria 2 (MBKS2), kali ini di daerah sempadan Turki-Syria dengan menghulurkan bantuan yang diterima daripada rakyat Malaysia.

Pasukan MBKS2 terdiri daripada Ketua Misi, Dr Baharudin Suri, yang merupakan Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, Dr Roniyuzam Abd Malek dan juga dua sukarelewan siswa medik dari Irbid, Jordan iaitu Ahmad Ikhwan Subberi dan Afiq Fawwaz Mohd Salleh. Mereka tiba di pusat operasi NGO Turki, Insani Yardim Vakfi (IHH), pada 12 Jun dan disambut oleh petugas-petugas IHH diketuai oleh En Selahattin Özer. Beliau amat gembira dengan kehadiran pasukan HALUAN Malaysia dan berterima kasih di atas keprihatinan rakyat Malaysia.

Dalam taklimatnya, En Selahattin memberitahu bahawa sehingga kini terdapat hampir 27,000 pelarian Syria di Turki memerlukan bantuan. Angka tersebut adalah fakta rasmi bagi mereka yang berdaftar, sedangkan hampir tiga ribu orang lagi tidak berdaftar. Mangsa-mangsa kekejaman rejim Bashar Assad ini sebahagian besarnya tinggal di kem-kem pelarian manakala ada juga yang tinggal di kawasan-kawasan perumahan.

Mereka yang masuk secara sah dengan menggunakan paspot dibenarkan tinggal di kawasan perumahan. Namun mereka tidak dibenarkan untuk bekerja di Turki. Sebaliknya mereka dibantu oleh beberapa badan atau individu yang bermurah hati. Manakala pelarian yang tidak mempunyai paspot ditempatkan di beberapa kemah pelarian yang dibiayai oleh kerajaan Turki.

Terdapat 11 buah kem pelarian Syria di Turki, di mana kebanyakannya terletak di bandar Antakya yang bersempadan dengan Syria. Beberapa kem pelarian telah ditutup dan pelarian terbabit ditempatkan di kem pelarian Kilis. Di Kilis, kerajaan Turki membina tempat penginapan daripada kontena bagi meningkatkan keselesaan untuk para pelarian. Tempat ini mampu menampung lebih ramai pelarian, iaitu sehingga 12,000 orang berbanding kem-kem lain yang masih menggunakan kemah.

Bermula dengan kemasukan pertama seramai 250 orang pada bulan April 2011, bilangan pelarian terus meningkat sehingga kini mencecah hampir 27,000 orang. Walaupun begitu, pada bulan November dan Disember tahun lepas jumlah pelarian berkurangan kerana ada daripada kalangan mereka yang pulang ke Syria. Kebanyakan pelarian di Turki terdiri daripada anak-anak kecil, wanita dan orang tua. Golongan lelaki yang masih berupaya dan sihat tidak sanggup meninggalkan negara bahkan turut serta berjuang mempertahankan hak rakyat.

Terdapat tiga buah hospital yang memberikan rawatan kepada para pelarian, iaitu Hospital Reyhani, Hospital Universiti dan Hospital Antakya. Mereka yang masuk ke Turki dalam keadaan cedera parah dan memerlukan pembedahan akan dihantar terus ke hospital dengan mengunakan ambulan. Lebih kurang 1,200 orang telah menerima rawatan di hospital-hospital ini. Ini merupakan salah satu tindakan murni kerajaan Turki yang perlu dicontohi oleh masyarakat dunia.

Untuk memasuki negara Turki, pelarian Syria terpaksa melalui beberapa jalan yang mana kebanyakannya merentasi jalan bukit bagi mengelak daripada bertembung dengan tentera. Sebaik sahaja tiba di sempadan Turki, mereka akan disambut oleh tentera Turki dan kemudian terus dibawa ke kem pelarian yang berdekatan. Di situ, mereka akan didaftarkan dan diberikan tempat tinggal dan keperluan asas harian.

Hanya badan-badan yang mendapat kebenaran kerajaan Turki dibenarkan memberi bantuan di sini, iaitu IHH dan Red Crescent. Oleh itu, segala bentuk bantuan yang ingin disampaikan ke kem pelarian mestilah melalui salah satu daripada NGO tersebut.

Alhamdulillah, berkat hubungan baik di antara HALUAN Malaysia dan IHH, urusan menyalurkan bantuan rakyat Malaysia kepada mangsa-mangsa kezaliman rejim Bashar ini dipermudahkan, samada untuk diagihkan di kem-kem pelarian di sempadan Turki mahupun untuk dibawa masuk ke dalam daerah Syria sendiri. Pasukan relawan MBKS2 telah menyampaikan bantuan makanan dan kelengkapan perubatan “first aid” untuk kegunaan di kem pelarian dan juga sebahagian daripada keluarga mereka yang masih berada di dalam Syria. Makanan asas seperti beras, pelbagai kekacang, minyak masak, minyak zaitun dan gula dibungkus di dalam kotak yang setiap satunya bernilai RM150. Barangan ini diagihkan kepada keluarga-keluarga yang tinggal di sekitar Antakya.

Kerajaan Turki sangat menjaga kebajikan setiap pelarian Syria yang berada di semua kem pelarian. Mereka membelanjakan sebanyak USD8 setiap hari untuk kos makanan kepada setiap orang pelarian. Perbelanjaan itu tidak termasuk kos kemudahan sosial seperti pendidikan anak-anak, rehabilitasi, rawatan dan pelbagai bentuk kebajikan lain yang diperlukan. Kos untuk menyediakan sebuah kemah yang lengkap dengan kipas angin dan peti ais kecil dianggarkan sebanyak USD1,200 setiap satu. Kipas angin dan peti ais sangat diperlukan terutamanya pada musim panas. Menurut Encik Mustafa Bey, seorang penyelaras di salah sebuah kem, sehingga kini amat sedikit bantuan yang diterima dari negara-negara luar.

Para relawan MBKS2 HALUAN juga diberi peluang menghantar bantuan ke kem-kem pelarian di Yayladagi dan Boynuyogun, yang masing-masing terletak kira-kira 80km dan 30km dari Antakya. Kem-kem ini dikawal rapi oleh polis dan tentera Turki, di mana mereka hanya membenarkan pelawat dan NGO yang berkaitan sahaja untuk masuk. Di Yayladagi, kami tidak dibenarkan untuk membuat pemeriksaan perubatan dan mengambil foto pelarian. Walau bagaimanapun taklimat yang kami perolehi di sini amat berguna bagi menyusun keperluan bantuan kebajikan pelarian. Melalui IHH, HALUAN dibenarkan untuk memasuki kem dan menyalurkan bantuan-bantuan seterusnya.

Di kem Boynuyopun pula, kami dibawa melawat hospital lapangan dan bertemu dengan doktor yang bertugas. Menurut doktor-doktor di sini, setiap hari tidak kurang daripada 100 pelarian mendapatkan rawatan dan ada yang dihantar ke hospital di Antakya dan Istanbul untuk rawatan lanjut.

Dalam kalimat akhir mereka, kedua-dua koodinator di kem pelarian yang kami lawati melahirkan harapan supaya HALUAN dan kerajaan Malaysia menjelaskan kepada rakyat fakta yang sebenar berkenaan apa yang berlaku dan apa yang sebenarnya diinginkan oleh rakyat Syria, iaitu kebebasan yang hakiki. Mereka berharap rakyat Malaysia dapat terus membantu dengan menyalurkan bantuan-bantuan melalui cara yang sah.

HALUAN akan terus bekerjasama dengan pasukan relawan IHH Turki untuk menyampaikan bantuan makanan dan keperluan asas lain dan juga rawatan perubatan kepada para pelarian Syria dan juga mereka yang masih bertahan di dalam negara Syria. Orang ramai yang ingin turut membantu mangsa-mangsa kezaliman di Syria boleh menyalurkan bantuan melalui akaun khusus untuk misi kemanusiaan iaitu:

Nama akaun: HALUAN
Nombor akaun: 14-023-01-002571-8
Nama bank: Bank Islam Malaysia Berhad

Laporan oleh Dr Baharudin Suri, Ketua Misi Bantuan Kemanusiaan Syria 2 (MBKS2) yang sedang berbakti di Antakya, daerah sempadan Turki-Syria.