Jom Belanja Mualaf 2.0 Ceriakan Aidilfitri Mualaf

Jom Belanja Mualaf 2.0 Ceriakan Aidilfitri Mualaf

Jom Belanja Mualaf 2.0 Ceriakan Aidilfitri Mualaf

SEREMBAN, 10 Jun 2018 – HALUAN cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama Team Rakan Ziarah dan Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan telah mengadakan Program Jom Belanja Mualaf 2.0 melibatkan ahli-ahli dan sukarelawan HALUAN Negeri Sembilan semalam.

Para sukarelawan dari beberapa daerah di Negeri Sembilan termasuk Rasah, Sikamat, Seremban 2, Rantau, Ampangan/Paroi dan Senawang itu telah berkumpul sejak 8.30 pagi untuk memulakan aktiviti ziarah dan pemberian cenderahati kepada para mualaf yang dikenalpasti. Upacara perhimpunan bermula dengan sesi pengenalan, bacaan doa, dan kata-kata aluan oleh YDP HALUAN Negeri Sembilan, Encik Jailani Yusof. Kemudian, peserta dibahagikan kepada enam kumpulan untuk menyantuni keluarga mualaf sekitar Negeri Sembilan. Barangan keperluan harian dan wang tunai RM5000 hasil derma ikhlas orang ramai dapat dimanfaatkan oleh 30 keluarga mualaf yang memerlukan.

Program Jom Belanja Mualaf 2.0 adalah kesinambungan daripada program Jom Belanja Mualaf yang telah diadakan tahun lepas. Berdasarkan aktiviti yang dijalankan, ahli HALUAN serta sukarelawan lain dapat merasai sendiri kesusahan hidup mualaf yang kebanyakannya adalah golongan yang susah dan miskin.

Salah seorang penerima bantuan, Puan Maria Abdullah, yang kini seorang diri menguruskan keluarga dan anak-anak seramai lapan orang, berterima kasih atas sokongan moral dan bantuan daripada sukarelawan dan penderma yang prihatin terhadap dirinya dan juga mualaf lain yang berada dalam kesusahan. Seorang lagi penerima bantuan, Encik Firdaus Abdullah yang berstatus orang kelainan upaya (OKU), berkata bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban psikologi dan fizikal yang dihadapinya. Seorang mualaf, Shawera Abdullah yang kini tinggal bersama empat orang anak dan ibunya yang belum muslim, menyara hidup dengan menjual kuih dari rumah ke rumah. Beliau mengakui menghadapi kesukaran mempelajari solat dan al-Quran atas kesukaran hidup beliau kini.

Sukarelawan HALUAN Puan Zainab Aman berkata, “ini kali kedua program Jom Belanja Mualaf diadakan dan ia semakin berkembang dari tahun lepas. Semakin ramai orang menyedari kerja sukarela yang kami buat ini. Program tahunan seperti ini penting kerana mualaf di sini amat memerlukan bukan sahaja daripada aspek bantuan fizikal, tetapi juga sokongan emosi dan psikologi. Ini kerana kebanyakan daripada mereka menghadapi tentangan dan dipulaukan oleh keluarga sendiri kerana mereka pilih untuk memeluk agama Islam. Lebih penting, kebanyakan mereka keciciran daripada aspek pembelajaran dan pendidikan Islam kerana tekanan hidup yang dihadapi.”

Beliau juga menambah bahawa HALUAN Negeri Sembilan bukan sekadar membantu daripada aspek fizikal semata–mata malah ada juga aktiviti–aktiviti berkala yang lain seperti program ziarah dan kelas–kelas bimbingan mualaf bagi membolehkan mualaf dan mereka yang belumIslam hadir dan mempelajari Islam.

Menurut Pengarah program, Encik Noorazmi Ahmad Khariry, program sebegini bukan sahaja dapat menjalinkan kerjasama antara HALUAN Negeri Sembilan dengan Pusat Dakwah Islamiah Paroi, bahkan ia juga dapat merapatkan hubungan ahli HALUAN dengan Team Rakan Ziarah serta mualaf. Ia juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat umum supaya sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan mualaf agar mereka benar-benar dapat merasakan masyarakat muslim adalah seperti saudara mereka sendiri.

Seramai 20 orang sukarelawan HALUAN Negeri Sembilan telah hadir dan membantu menjalankan aktiviti ini. Program Jom Bantu Mualaf 2.0 berkenaan tamat sekitar 2.30 petang dengan diakhiri sesi fotografi beramai-ramai.


Laporan Muhammad Afiq Jamarudin Setiausaha Biro HALUAN Fitrah

Ucapan alua-aluan YDP HALUAN Negeri Sembilan
Peserta mendengar taklimat ringkas sebelum program bermula
Peserta wanita yang hadir
Menyantuni mualaf kawasan Seremban 2
Penyampaian sumbangan oleh YDP HALUAN Negeri Sembilan kepada mualaf kawasan Sikamat
Sumbangan barang dapur dan duit raya kepada mualaf kawasan Ampangan
Sumbangan barang dapur kepada mualaf kawasan Paroi
Mualaf kawasan Seremban 2
Sumbangan duit raya peserta kepada mualaf kawasan Senawang
Sumbangan raya kepada mualaf kawasan Sikamat
Spread the news! ‘Like’ and 'Share'
Whatsapp