Mualaf Orangasli Desa Kemandol Dirai

Mualaf Orangasli Desa Kemandol Dirai

Mualaf Orangasli Desa Kemandol Dirai

KUALA LANGAT, 19 Mei 2018 – Surau Al Hidayah Taman Desa Kemandol menjadi saksi pertemuan di antara bekas guru dan pelajar dalam satu majlis berbuka puasa dan sumbangan Ramadan daripada HALUAN kepada mualaf masyarakat orang asli di sini. Program yang bertujuan mendekati masyarakat orangasli Desa Kemandol itu mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk di samping memberi peluang kepada HALUAN untuk memberi sumbangan makanan asasi sempena Ramadhan Al Mubarak ini.

Seramai 39 orang penerima sumbangan HALUAN telah tampil, semuanya mewakili keluarga muda, sebagai sinar baru buat masyarakat penduduk orangasli situ. Turut hadir dalam program itu adalah Pendakwah Tetap JAKIM Khas Desa Kemandol, Ustaz Mohd Ariff Abd Rahim selaku Penggerak Masyarakat Orangasli, dan wakil daripada HALUAN iaitu Timbalan Yang Dipertua HALUAN Selangor, Encik Hamdan Mokhtar dan Encik Mohd Nasaruddin Abdul Manaf.

Majlis dimulai dengan ucapan aluan dan tahlil ringkas, sebelum berbuka puasa ringan dan solat maghrib. Setelah itu hadirin menjamu selera sambil beramah mesra berkenal–kenalan antara satu sama lain. Ini diikuti dengan solat isyak dan terawih berjemaah di samping mendengar tazkirah oleh Pengarah Program, Cikgu Khairuddin Hamzah, seorang guru yang lama berkhidmat di kampung berkenaan. Sumbangan barangan Ramadan disampaikan oleh Encik Hamdan.

Ustaz Mohd Ariff berkata program sebegini perlu diteruskan dan berterima kasih atas kerjasama NGO HALUAN kerana memilih Desa Kemandol untuk melaksanakan aktiviti seperti itu. Cikgu Khairuddin , mantan guru Sek. Keb. Bukit Kemandol juga menzahirkan rasa syukur dengan terlaksananya program ziarah tersebut. Sambutan daripada penduduk tempatan sungguh hebat. Majoritinya orang muda dan anak- anak kecil yang mempunyai harapan masa depan yang cerah untuk perkembangan Islam di desa berkenaan.
_
Laporan Biro Kebajikan HALUAN Cawangan Selangor

Berbuka ringan seusai azan maghrib
Gotong Royong menyediakan juadah berbuka
Majlis Tahlil ringkas sebelum berbuka puasa
Sesi Agihan barangan sumbangan kepada masyarakat
Penyampaian sumbangan
Surau Al Hidayah Taman Desa Kemandol
Ucapan Aluan oleh Pengarah Program
Spread the news! ‘Like’ and 'Share'
Whatsapp