fbpx

200 hadiri Seminar Menangani Gejala Sosial

200 hadiri Seminar Menangani Gejala Sosial

200 hadiri Seminar Menangani Gejala Sosial

1 Jun 2009, Bangi – HALUANITA dengan kerjasama JAKIM telah mengadakan Seminar Menangani Gejala Sosial bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM,) Bangi.


Seminar 3 hari yang bermula dari 30hb Mei hinga 1hb Jun tersebut telah dihadiri oleh seramai 200 orang peserta, menjangkau bilangan sasaran awal di mana hanya seramai 160 orang yang telah mendaftar untuk hadir.

Beberapa kertas kerja yang membincangkan fakta dan permasalahan semasa berkaitan sosial dan remaja telah dibentangkan. Antaranya, Naib Cancelor Universiti Teknikal Melaka, Profesor Dr Ahmad Yusof Hassan telah membentangkan kertas kerja bertajuk “Gejala Sosial di Kalangan Remaja,” manakala seorang penyelidik dari Universiti Malaya, En Zahir bin Zainudin, membicarakan tentang “Senario Gejala Sosial di Malaysia.” Satu lagi kertas kerja menarik yang menyentuh tentang kaitan psikologi dengan permasalahan sosial telah dibentangkan oleh Prof Madya Dr Asmarawati bt Desa, seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM.) Kertas kerja beliau bertajuk “Memahami Psikologi Remaja.”

Selain dari pembentangan kertas kerja, seminar tersebut juga diisi dengan forum yang bertajuk “Keluarga Cemerlang Masyarakat Gemilang.” Ahli-ahli panel forum tersebut terdiri daripada Presiden HALUAN, Prof Madya Dr Abdullah Sudin bin Ab Rahman, Timbalan Presiden HALUAN yang juga merupakan seorang pensyarah di UKM, Dr Azizan bin Ahmad, dan penceramah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM,) Ustaz Mohd Ajib bin Ismail. Sesi forum ini telah dikendalikan oleh moderator Ustaz Mohd Najib bin Abdullah, seorang pensyarah dari Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM.)

Pengisian seminar telah dimantapkan lagi dengan satu sesi bengkel perbincangan yang dipimpin oleh Tuan Hj Rosdi bin Baharum, seorang pakar motivasi kekeluargaan dan pendidikan anak. Beliau telah membincangkan tajuk “Komunikasi Keluarga Bahagia.” Manakala seorang lagi pengendali bengkel, Puan Maimunah bt Hashim, mengutarakan perbincangan bertajuk “Menerap Keimanan Dalam Jiwa Anak-anak.”

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Yang Berbahagia Dato’Hj Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz.

Peserta sememangnya telah mendapat begitu banyak manfaat berguna dari seminar ini. InsyaAllah, proses pengukuhan institusi keluarga yang berteraskan agama akan dapat membendung permasalahan sosial yang semakin meruncing sekarang ini. Manakala kerosakan sesebuah keluarga akan terus menyumbang kepada perkembangan masalah gejala sosial, terutama dari kalangan anak-anak remaja yang meminggirkan agama.

Pihak Penyelaras program bersama, iaitu Ustazah Wan Nadzirah bt Wan Mohamad dan Dr Azizan bin Ahmad, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.